2004 MarsdenLR 499
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR
LIM TENG HOOI & CO LWN. TJUI TJUI PENG & SATU LAGI
[Civil Suit No: P23-217-1986]
PENGHAKIMAN
Arifin Zakaria H:
Ini adalah rayuan terhadap keputusan Timbalan Pendaftar yang diberikan pada 29 Ogos 2001 yang memerintahkan bahawa Notis Penetapan Kos Plaintif (Lampiran 66) dibatalkan dengan kos dengan kebebasan memfailkan semula mengikut skala kos Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 ("KMR").
Latar belakang kepada kes ini secara ringkasnya adalah sepertimana berikut. Tindakan ini telah difailkan pada 11 November 1986 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk jumlah wang sebanyak RM174,347. Pada masa yang berkenaan bidangkuasa Mahkamah Sesyen hanyalah RM25,000. Kes ini telah diputuskan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi pada 20 Oktober 2000 di mana defendan-defendan diperintahkan membayar kepada plaintif jumlah sebanyak RM56,747 bersama dengan faedah pada kadar 8% setahun dari 23 September 1986 sehingga tarikh penyelesaian penuh dan defendan-defendan juga diperintahkan membayar kepada plaintif kos tindakan ini.
Sejak dari tarikh kes ini difailkan sehingga tarikh penyelesaian Akta Mahkamah Rendah 1948 telah dipinda sebanyak dua kali, yang di antara lainnya menyentuh bidangkuasa Mahkamah Sesyen berhubung dengan kes-kes sivil. Pertamanya melalui Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1987 yang berkuatkuasa mulai dari 1 Ogos 1987 di mana bidangkuasa Mahkamah Sesyen dinaikkan kepada RM100,000. Pindaan kedua ialah melalui Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1994 di mana bidangkuasa Mahkamah Sesyen telah dinaikkan kepada RM250,000 berkuatkuasa mulai dari 24 Jun 1994.
Perbicaraan kes ini telah bermula pada 12 April 1995 dan berakhir pada 1 November 1995 dengan keputusannya diberikan pada 20 Oktober 2000.
Dua Arahan Amalan yang berkaitan dengan kes ini ialah Arahan Amalan No. 4 tahun 1994 dan Arahan Amalan No. 1 tahun 1998. Untuk kemudahan rujukan kedua-dua Arahan-Arahan berkenaan diperturunkan di bawah ini:
Arahan Amalan No. 4 tahun 1994
Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1994
Bidangkuasa Tambahan kepada Mahkamah Sesyen
Adalah saya dengan hormatnya merujuk kepada perkara tersebut di atas dan memaklumkan bahawa Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1994 telahpun berkuatkuasa mulai 24 Jun 1994.
2. Pindaan tersebut memberi kuasa kepada Mahkamah sesyen untuk mendengar semua tuntutan gantirugi yang berbangkit daripada kemalangan kenderaan motor, kes tuantanah atau tuanrumah dan penyewa, dan distress bagi sewa, serta juga lain-lain kes di mana amaun atau nilai hal perkara itu tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit.
3. Sehubungan dengan itu, YAA Hakim Besar Malaya mengarahkan agar semua kes-kes baru bagi kategori di atas, yang difailkan selepas 24 Jun 1994 hendaklah difailkan di Mahkamah sesyen yang bekenaan. Manakala kes-kes berkenaan yang telah sedia ada (pending) di Mahkamah Tinggi hendaklah terus didengar dan diselesaikan di peringkat Mahkamah Tinggi sehingga arahan baru dikeluarkan.
Arahan Amalan No. 1 tahun 1998
Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1997
Bidangkuasa Tambahan kepada Mahkamah Sesyen
Adalah saya dengan hormatya merujuk kepada perkara di atas dan juga Arahan Amalan No. 4 tahun 1994.
2. Dimaklumkan bahawa dengan pindaan seksyen 65(1) Akta Mahkamah Rendah 1948 yang berkuatkuasa mulai 24 Jun 1994 Mahkamah Sesyen telah diberi kuasa untuk mendengar semua tuntutan yang berkaitan dengan:
Ganti rugi yang berbangkit daripada kemalangan bermotor
Kes tuan tanah dan penyewa
Kes distress yang mana amaun atau nilai hal perkara tanpa had.
3. Sejak dari pindaan seksyen tersebut, masih terdapat lagi kes-kes di dalam kategori di atas yang masih menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Sehubungan dengan itu YAA Hakim Besar Malaya mengarahkan agar semua kes-kes di dalam kategori di atas yang telah sedia difailkan di Mahkamah Tinggi yang masih belum dibicarakan hendaklah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen yang berkaitan.
4. Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengendalikan perpindahan kes-kes berkenaan.
Plaintiff menghujahkan di dalam keadaan kes ini adalah mustahil bagi plaintif untuk mematuhi Arahan Amalan No. 1 tahun 1998