2008 MarsdenLR 141
MOHD ZAWAWI SALLEH PK
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, JOHOR BAHRU
NAM OITHANTIP - Appellant
Versus
PP - Respondents
(SEMAKAN JENAYAH NO: MT(3) 44-12-2008)
Decided On : 06/13/2008
Mohd Zawawi Salleh PK:
Latar Belakang
[1] Ini adalah satu permohonan semakan di bawah peruntukan Bab XXXI Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) terhadap perintah Mahkamah Majistret Johor Bahru, yang telah menolak permohonan pegawai penyiasat untuk mendapatkan perintah perlindungan di bawah s. 51(3) Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) (Akta tersebut) kerana mahkamah mendapati bahawa kesemua 17 Warganegara Thailand berkenaan, termasuklah responden, bukanlah orang yang diperdagangkan. Mahkamah Majistret telah memerintahkan supaya mereka dilepaskan kepada pihak Imigresen untuk tindakan susulan yang diperlukan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 seperti kehendak s. 51(3)(b)(ii) Akta tersebut.
Fakta Kes
[2] Pada 24 Mac 2008, Mahkamah Majistret telah memberi perintah interim di bawah s. 44(2) Akta tersebut kepada seramai 17 orang Warganegara Thailand, termasuklah responden, bagi tujuan penyiasatan dan siasatan di bawah s. 51 Akta tersebut.
[3]Seksyen 44 Akta tersebut memperuntukkan:
44. (1) Seseorang pegawai penguat kuasa boleh, atas syak yang munasabah bahawa orang yang dijumpai atau diselamatkan ialah orang yang diperdagangkan, mengambil orang itu ke dalam jagaan sementara dan mengemukakan orang itu ke hadapan Majistret dalam masa dua puluh empat jam, tidak termasuk masa yang perlu bagi perjalanan ke Mahkamah Majistret, bagi maksud memperoleh perintah perlindungan interim.
(2) Majistret boleh membuat perintah perlindungan interim bagi orang yang ditempatkan di tempat perlindungan selama tempoh empat belas hari bagi maksud menjalankan penyiasatan dan siasatan di bawah s. 51.
(3) Pegawai penguat kuasa hendaklah, apabila memperoleh perintah yang dikeluarkan di bawah subseksyen (2), menyerahkan orang yang diperdagangkan itu kepada Pegawai Pelindung untuk menempatkan orang yang diperdagangkan itu di tempat perlindungan yang dinyatakan dalam perintah.
[4] Pada 6 April 2008, kes ini dirujuk semula kepada Mahkamah Majistret Johor Bahru oleh pegawai penyiasat untuk mendapatkan perintah perlindungan di bawah s. 51(3) Akta tersebut terhadap 17 orang Warganegara Thailand itu kerana disyaki merupakan orang yang diperdagangkan bagi maksud Akta tersebut. Seperti yang dinyatakan terdahulu, permohonan tersebut telah ditolak.
Keputusan Mahkamah Majistret
[5] Dalam keputusannya, Puan Majistret menyatakan "mahkamah selepas meneliti kesemua laporan yang dikeluarkan oleh Pegawai Pelindung di bawah s. 51(2), berdasarkan peruntukan di bawah s. 51(3)(b)(ii), dengan ini mendapati semua penama adalah bukan orang yang diperdagangkan." (penekanan dibuat).
Keputusan Mahkamah
[6] Selepas meneliti keputusan Puan Majistret, dengan hormat, mahkamah berpendapat bahawa beliau telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menolak permohonan bagi perintah perlindungan di bawah s. 51(3) Akta tersebut atas alasan-alasan yang berikut:
6.1 Adalah jelas bahawa Puan Majistret hanya membuat rujukan kepada laporan Pegawai Pelindung sahaja tanpa membuat rujukan dan mempertimbangkan laporan yang disediakan pegawai penyiasat yang dikemukakan kepadanya. Justeru, kehendak-kehendak s. 51(3) Akta tersebut telah tidak dipenuhi sewajarnya. Seksyen 51(2) Akta tersebut ialah seperti yang berikut:
51. (2) Apabila selesai sesuatu penyiasatan dan siasatan di bawah subseksyen (1), pegawai penguat kuasa dan Pegawai Pelindung hendaklah menyediakan suatu laporan dan mengemukakan laporan itu bersama-sama dengan orang itu ke hadapan Mahkamah Majistret bagi maksud memuaskan hati Majistret bahawa orang itu adalah orang yang diperdagangkan di bawah Akta ini. (Penekanan dibuat).
Seksyen 51(3) Akta itu pula menghendakki seseorang Majistret yang memutuskan sama ada orang yang dibawa ke hadapannya ialah orang yang diperdagangkan bagi maksud Akta itu atau tidak membaca kedua-dua laporan yang dikemukakan oleh pegawai penguatkuasa dan Pegawai Pelindung dan bukan hanya laporan Pegawai Pelindung sahaja. Laporan yang dikehendaki dibaca oleh Majistret ialah laporan yang dike