2007 MarsdenLR 1242
MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH KUALA TERENGGANU
KERAJAAN NEGERI TERENGGANU LWN. YAM TENGKU IBRAHIM SULTAN ISMAIL NASARUDDIN SHAH
[Rayuan Mal No: 11000-040-001-2006]
PENGHAKIMAN
Fakta Kes
[1] Perayu dalam kes ini merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah berhubung dengan keputusan yang telah dibuat oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 25 Oktober 2005 yang mensabitkan setengah (1/2) bahagian daripada Cap Zuriat Sungai Mengkuang adalah harta pusaka Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III (SZII) dan memerintah Perayu (Defendan) Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan surat hakmilik separuh (1/2) bahagian daripada Cap Zuriat Sungai Mengkuang atas nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III yang mempunyai keluasan 27,000 ekar dan membahagikannya kepada ahli-ahli waris yang berhak pada masa kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1918M dan waris-warisnya yang masih hidup ketika ini termasuk Responden yang merupakan cucunda Sultan Zainal Abidin III.
[2] Perayu tidak bersetuju di atas tuntutan tersebut dan menyatakan bahawa harta yang dituntut bukanlah harta pusaka dari Sultan Zainal Abidin III, tetapi harta tersebut telah berpindah kepada Tengku Embong Fatimah semasa hayat Sultan Zainal Abidin III dan seterusnya harta tersebut telah diserahkan oleh Tengku Seri Bijaya Raja kepada Kerajaan Negeri Terengganu (Perayu). Penyerahan tersebut telah dibuat di dalam satu mesyuarat mengikut tatasusila pentadbiran negeri dengan disaksikan oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, sultan yang memerintah ketika itu, serta disaksikan oleh JL Humphreys iaitu Penasihat British, Naib Menteri Besar dan diterima oleh Tengku Setia Raja selaku Setiausaha Kerajaan bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang merupakan waris Sultan Zainal Abidin III dan waris lain yang hidup pada masa itu tidak membuat sebarang bantahan terhadap penyerahan itu.
Penghakiman Pengerusi Panel Rayuan, Datuk Sheikh Ghazali Bin Haji Abdul Rahman, HMRyS
[3] Dalam pernyataan tuntutan, Responden/Plaintif telah memohon satu pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Syariah 1/2 bahagian daripada jumlah keluasan tanah seluas 27,000 ekar tanah milik Tengku Besar Hafsah yang dikenali sebagai Cap Zuriat Sungai Mengkuang adalah Pusaka Sultan Zainal Abidin III (SZA III). Pusaka ini hendaklah dibahagikan kepada ahli waris yang berhak mengikut hukum faraid, dan Kerajaan Negeri hendaklah memberi surat milik atas nama SZA III. Seterusnya Responden mendakwa Tengku Besar Hafsah telah diberi milik kawasan tanah seluas 27 ribu ekar tanah yang dikenali sebagai Cap Zuriat.
[4] Pada tahun 1916 Tengku Besar Hafsah mangkat dengan meninggalkan seorang puteri bernama Tengku Embong Fatimah binti Tengku Besar Umar dan ayahandanya SZA III. Mengikut pendapat Mufti, Tengku Embong Fatimah mendapat 1/2 bahagian pusaka bondanya dan 1/2 bahagian lagi dapat kepada ayahandanya iaitu SZA III. Bahagian-bahagian ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu melalui sijil faraid bernombor 41-002/4/2000 bertarikh 24 Ogos 2000. Pembahagian ini tidak pernah dibuat sehingga 16 Mac 2003. Melalui penyata tuntutan Responden/Plaintif memohon satu pengisytiharaan bahawa (1/2) bahagian Cap Zuriat Sungai Mengkuang adalah harta pusaka DYMM SZA III yang diwarisi oleh baginda selepas kemangkatan Tengku Besar Hafsah. Secara alternatifnya pemohon pohon satu perintah pampasan yang wajar mengikut nilai semasa kepada waris-waris SZA III yang berhak ke atas pusaka baginda.
[5] Defendan dalam pembelaannya berkata sijil faraid dan pendapat Sahibus Samahah tidak mengikat penentang kerana fakta terperinci dan sebenarnya tidak dikemukakan dan/atau dibentangkan oleh Plaintif kepada pihak yang berkenaan sewaktu sijil faraid dan pendapat mufti tersebut diminta, dan harta-harta peninggalan Al-Marhum SZA III telah pun dibahagi semasa hidup baginda dan bukan selepas kemangkatan baginda. Tengku Seri Bijaya Raja yang dilantik oleh baginda sebagai penguasa kepada Tengku Embong Fatimah telah menyerahkan keseluruhan bahagian Cap Zuriat Sungai Mengkuang tersebut kepada Defendan.