2017 MarsdenLR 986
MAHKAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
RADIN IRWAN ISKANDAR ISAGANI LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: W-05(M)-46-01/2017]
The court established that the integrity of the prosecution's evidence was not upheld and significant procedural irregularities compromised the fairness of the trial.
Headnote:Dalam kes ini, Mahkamah mempertimbangkan kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak pendakwaan mendapati bahawa semua elemen pertuduhan telah dibuktikan tetapi Hakim Mahkamah Tinggi tidak berpuas hati dengan pembelaan dari Perayu, yang merujuk kepada kesilapan dalam melakukan pertimbangan yang adil. Mahkamah menyimpulkan bahawa sabitan tidak terjamin dan membenarkan rayuan Perayu.
| Table of Content |
|---|
| 1. initial facts of the drug trafficking charge. (Para 1 , 2 , 3) |
| 2. details of the police raid and evidence of drug possession. (Para 4 , 5 , 6 , 7) |
| 3. court's findings regarding the credibility of evidence and the trial judge's observations. (Para 8 , 9 , 10 , 12 , 13) |
| 4. arguments presented by the appellant's legal counsel. (Para 14 , 15 , 16 , 17 , 18 , 19 , 20) |
| 5. concluding remarks on procedural failures impacting trial fairness. (Para 30 , 31 , 32 , 40) |
| 6. court's take on the need for thorough evidence handling and consideration of the defence. (Para 34 , 38 , 42) |
Pendahuluan
[1] Ini ialah rayuan Perayu terhadap sabitan dan hukuman mati yang telah dijatuhkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ('Hakim bicara') atas kesalahan memperedarkan dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 ('Akta')
[2] Butir-butir pertuduhan terhadap Perayu ialah seperti berikut:-
"Bahawa kamu pada 13 Julai 2015, jam lebih kurang 11.00 malam di rumah beralamat C-8-6, Mutiara Apartment, Jalan Klang Lama, Taman Pasir Permata, di dalam Daerah Brickfields, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 3,139 gram. Oleh itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah s 39B(2) Akta yang sama."
[3] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 25 Ogos 2017 dan dengan sebulat suara kami telah membenarkan rayuan Perayu. Sabitan dan hukuman mati diketepikan dan Perayu diperintah untuk dibebaskan dengan serta merta. Kini kami memperincikan alasan-alasan membenarkan rayuan Perayu.
Kes Pendakwaan
[4] Bertindak atas maklumat, pada 13 Julai 2015 jam lebih kurang 11.00 malam, Inspektor Mohamad Sukri bin Hat (SP6) bersama satu pasukan polis telah membuat pemerhatian dan serbuan ke atas premis sebagaimana yang terdapat dalam pertuduhan. SP6 mendapati pintu gril hadapan premis tersebut dalam keadaan sedikit terbuka dan pintu papan dalam keadaan tidak berkunci. Setelah masuk ke dalam premis tersebut, SP6 melihat seorang lelaki (kemudiannya dicamkan sebagai Perayu) sedang duduk di atas sofa bersama dengan seorang kanak-kanak perempuan. Perayu dan kanak-kanak perempuan tersebut ialah orang yang sama yang SP6 lihat menaiki lif sebelum serbuan itu dilakukan.
[5] Pemeriksaan badan Perayu oleh SP6 tidak menjumpai sebarang barang salah. SP6 dan anggota pasukannya seterusnya telah membuat pemeriksaan dalam tiga buah bilik dalam premis tersebut. Dalam bilik ketiga, SP6 telah menemui dan merampas sebuah beg berwarna biru belang kuning bertulis 'New York' (P6). SP6 menemui 3 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja (P14A, P14B dan P14C) berada di dalam beg P6 tersebut.
[6] Pada jam lebih kurang 11.30 malam dan semasa SP6 dan pasukannya masih berada dalam premis tersebut, seorang wanita sampai dan masuk ke dalam premis tersebut dengan memperkenalkan dirinya sebagai penyewa premis tersebut. SP6 telah mengarahkan wanita itu untuk masuk ke dalam bilik tidur utama bersama dengan kanak-kanak perempuan dan menunggu di dalam bilik sehingga SP6 dan pasukannya selesai menjalankan pemeriksaan. Wanita itu kemudiannya dikenali sebagai Nor Azura binti Jumri (SP1) dan kanak-kanak perempuan yang berada bersama Perayu ialah anak perempuan kepada Perayu dan SP1. Siasatan mendapati bahawa Perayu adalah merupakan bekas suami kepada SP1 dan kehadiran Perayu di premis tersebut adalah untuk melawat anak perempuannya.
[7] Tiga (3) ketulan mampat daun-daun kering (P14A, P14B, dan P14C) telah dihantar kepada ahli kimia, Dr. Vanita a/p Kunalan (SP3), untuk dianalisis. Hasil analisis yang dijalankan, SP3 mengesahkan bahawa barang-barang kes iaitu (3) ketulan mampat daun-daun kering tersebut mengandungi Cannabis dengan jumlah berat 3,139 gram, hal perkara dalam pertuduhan. SP3 turut mengesahkan bahawa Cannabis adalah sejenis dadah berbahaya yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta.
Dapatan Hakim Bicara Diakhir Kes Pendakwaan
[8] Di akhi