2024 MarsdenLR 22
MAHKAMAH RAYUAN PUTRAJAYA
MUHAMMAD FITRI SAAD LWN. TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI MALAYSIA & YANG LAIN
[Rayuan Sivil No: A-01(A)-335-07/2023]
Keperluan untuk mengemukakan Alasan-Alasan dan Pengataan Fakta tidak terpakai bagi Perintah Sekatan di bawah Akta Dadah Berbahaya, kerana tiada proses representasi diperlukan.
Headnote:(A) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 - Seksyen 6(3) dan 11C - Rayuan terhadap Perintah Sekatan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri - Permohonan tidak bermerit kerana tiada ketidakpatuhan prosedur yang ditunjukkan - Keperluan untuk mengemukakan Alasan-Alasan dan Pengataan Fakta tidak terpakai bagi Perintah Sekatan - Perayu didapati terlibat bersama sekumpulan besar orang dalam aktiviti pengedaran dadah. (Paras 31, 33, 39, 51)
(B) Semakan Kehakiman - Tiada ruang untuk mencabar keputusan Menteri melainkan atas alasan ketidakpatuhan prosedur - Mahkamah menekankan bahawa penglibatan dengan sekumpulan besar orang perlu dibuktikan bagi pengeluaran Perintah Sekatan. (Paras 31, 32, 40, 50)
PENGHAKIMAN
A. Latar Belakang Rayuan
[1] Ini adalah rayuan oleh Muhammad Fitri Bin Saad ("Perayu") terhadap keseluruhan penghakiman oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Ipoh ("YA HMT") yang telah menolak permohonan Lampiran 1 Perayu untuk mendapatkan perintah deklarasi dan/ atau certiorari bagi membatalkan Perintah Sekatan bertarikh 17 Ogos 2022 yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri menurut s 6(3) Akta Dadah Berbahaya [Langkah-Langkah Pencegahan Khas] 1985 [Akta 316] ("Akta tersebut").
[2] Berdasarkan Perintah Sekatan bertarikh 17 Ogos 2022 tersebut ("Perintah Sekatan tersebut"), Perayu telah diperintahkan untuk disekat selama tempoh dua (2) tahun di dalam Mukim Sungai Petani, Daerah Kuala Muda, Kedah bermula 17 Ogos 2022 berserta beberapa syarat tambahan.
[3] Pada 22 Jun 2023, YA HMT telah memutuskan bahawa permohonan Lampiran 1 Perayu adalah tidak bermerit kerana Perayu telah gagal menunjukkan berlakunya sebarang ketidakpatuhan prosedur (procedural non-compliance) di pihak Responden-Responden, sepertimana diperuntukkan dalam s 11C(1) Akta tersebut. Justeru, YA HMT telah menolak permohonan Lampiran 1 Perayu tersebut. Perayu yang tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan YA HMT ini telah merayu ke Mahkamah ini.
B. Fakta Kes
[4] Pada 23 Jun 2022 jam lebih kurang 6.00 petang, Assisten Superintenden Polis (ASP) Mohd Ridzuan Bin Md Salleh telah menangkap Perayu di bawah s 3(1) Akta tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, 08000 Sungai Petani, Kedah.
[5] Pada 24 Jun 2022 jam 2.00 petang, Inspektor Muhammad Syihabuddin bin Suble, Pegawai Penyiasat Polis telah merakamkan percakapan Perayu di bawah s 4 Akta tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah. Pada jam 4.50 petang tarikh yang sama, Inspektor Syihabuddin telah memberikan kebenaran untuk Perayu ditahan selama lebih daripada dua puluh empat (24) jam, selaras dengan kehendak s 3(2)(a) Akta tersebut.
[6] Pada 26 Jun 2022 jam 3.00 hingga 4.30 petang, Inspektor Syihabuddin telah merakamkan percakapan saksi di bawah s 4 Akta tersebut. Selanjutnya, pada 27 Jun 2022 jam 2.00 hingga 3.30 petang dan 28 Jun 2022 jam 3.30 hingga 4.30 petang, Inspektor Syihabuddin telah merakam percakapan saksi-saksi yang berkaitan dengan fail kes Perayu.
[7] Pada 2 Julai 2022, Inspektor Muhammad Syihabuddin Bin Suble, Pegawal Penyiasat Polis telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan Perayu kepada Deputi Superintendan Polis Azizan Bin Abdul Aziz.
[8] Deputi Superintendan Polis Azizan Bin Abdul Aziz telah menerima fail kes Perayu dan telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan Perayu kepada Asisten Komisioner Polis Shahidi Bin Abdullah, Pegawal yang dilantik di bawah s 3(2)(c) Akta tersebut oleh Ketua Polis Negara.
[9] Asisten Komisioner Polis Mohamed Shahidi Bin Abdullah telah menerima laporan hal keadaan penangkapan dan penahanan Perayu. Pada 05 Julai 2022, Asisten Komisioner Polis Mohamed Shahidi Bin Abdullah telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan Perayu kepada Menteri Dalam Negeri. Datuk Jonathan Bin Yasin, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah menerima laporan mengenai hal keadaan penahanan dan penangkapan Perayu.
[10] Pada 14 Julai 2022, Inspektor Muhammad Syihabuddin Bin Suble, Pegawai Penyiasat Polis telah mengemukakan Laporan Lengkap Penyiasatan di bawah s 3(3) Akta tersebut kepada Menteri Dalam Negeri dan Pegawai Siasatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN). Datuk Jonathan Bin Yasin, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah menerima Laporan Lengkap Penyiasatan oleh Nurul Faraheen Binti Yahya, Pegawai Siasatan KDN telah menerima Laporan Lengkap Penyiasatan.
[11] Pada 17 Julai 2022 jam lebih kurang 4.00 petang, Nurul Faraheen Binti Yahya, Pegawai Siasatan KDN pada telah menjalankan siasatan fizikal ke atas Perayu. Pada 28 Julai 2022, Nurul Faraheen Binti Yahya, Pegawai Siasatan KDN telah mengemukakan laporan lengkap bertulis d