2024 MarsdenLR 3160
MAHKAMAH MAJISTRET KUALA TERENGGANU
PENDAKWA RAYA LWN. CLARE BROWN
[Kes Jenayah No: TA-83-232-09/2021]
Perbicaraan in absentia dibenarkan di bawah s 425A Kanun Tatacara Jenayah apabila tertuduh melarikan diri dan gagal hadir untuk menjawab pertuduhan.
Headnote:(A) Kanun Keseksaan - Seksyen 500 - Fitnah - Tertuduh didapati bersalah kerana menerbitkan kenyataan fitnah terhadap KDYMM Sultanah Terengganu dalam buku 'The Sarawak Report' - Perbicaraan dijalankan secara in absentia di bawah s 425A Kanun Tatacara Jenayah setelah tertuduh gagal hadir dan melarikan diri ke luar negara. (Paras 1, 4, 66)
(B) Elemen Pertuduhan - Elemen-elemen bagi pertuduhan di bawah s 500 termasuk penerbitan kenyataan yang merosakkan nama baik - Mahkamah berpuas hati bahawa semua elemen telah dibuktikan dengan keterangan saksi. (Paras 37, 64)
Facts of the case:
Tertuduh, Clare Brown, dituduh di bawah s 500 Kanun Keseksaan kerana menulis kenyataan fitnah dalam buku yang diterbitkan. Perbicaraan dijalankan secara in absentia setelah tertuduh tidak hadir ke mahkamah dan berada di luar negara. (Paras 1, 4)
Findings of Court:
Mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 2 tahun. (Paras 72)
Issues: Isu utama termasuk sama ada tertuduh telah menerbitkan kenyataan fitnah dan keperluan untuk perbicaraan in absentia. (Paras 24, 64)
Ratio Decidendi: Mahkamah berpendapat bahawa tertuduh telah melepaskan hak untuk hadir di mahkamah melalui tindakan melarikan diri dan tidak melantik peguam untuk membela diri. (Paras 21, 66)
Result: Clare Brown didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun. (Paras 72)
PENGHAKIMAN
[1] Orang kena tuduh (OKT), Clare Brown adalah seorang warganegara United Kingdom telah dituduh dibawah s 500 Kanun Keseksaan kerana menulis sebuah buku yang bertajuk "The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose" di mana di dalamnya pada ms 3, perenggan 4 baris 7 mengandungi tohmahan iaitu "...the wife of the sultan..." kepada KDYMM Sultanah Terengganu yang menjadi kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 500 Kanun Keseksaan .
[2] Pertuduhan adalah sebagaimana berikut:
"Bahawa kamu pada 14 September 2018 jam lebih kurang 8.00 pagi di Lot 60048, Taman Chendering Utama, 21080, di dalam Daerah Kuala Terengganu dalam Negeri Terengganu telah menulis sebuah buku yang bertajuk "The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose" di mana di dalamnya pada ms 3, perenggan 4, baris 7 mengandungi tohmahan seperti mana yang digariskan iaitu "the wife of the sultan," terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah yang merupakan satu fitnah di mana kamu mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 500 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama."
Hukuman: Penjara yang boleh sampai tempoh 2 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
[3] Perbicaraan telah dijalankan secara tanpa kehadiran tertuduh ("in absentia") sebagaimana peruntukan di bawah s 425A Kanun Tatacara Jenayah . Usaha membawa OKT ke mahkamah telah gagal setelah beberapa kali lanjutan waran tangkap telah gagal disempurnakan dan juga "Red Notice" juga telah dinafikan oleh pihak Interpol atas dua prinsip termaktub dalam art 2 & 3 Interpol.
[4] Setelah perbicaraan tertangguh akibat permohonan peguam OKT di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akhirnya perbicaraan dapat diteruskan pada 16 Oktober 2023 dan seterusnya Mahkamah ini pada 7 Februari 2024 telah membuat membacakan keputusan tanpa kehadiran OKT (in absentia) dimana OKT didapati bersalah dan disabitkan sebagaimana pertuduhan. OKT telah dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun.
[5] Satu rayuan telah difailkan oleh Messrs Guok Partnership yang mewakili OKT pada 8 Februari 2024 merayu terhadap keseluruhan kes terhadap sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Kronologi Kes
[6] Pada 23 September 2021 Pihak Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa, Raya Engku Ahmad Rashdi Bin Engku Abdilah (Pengarah Pendakwaan Negeri Terengganu) bersama Timbalan Pendakwa Raya, Puan Haslinda Che Seman dan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkifli telah hadir di hadapan Majistret Puan Nordiana binti Abd Aziz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu (2) bagi membuat pertuduhan terhadap OKT dalam kes ini.
[7] Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah yang mulia ini bahawa Pegawai Penyiasat ada berkomunikasi dengan OKT dan memaklumkan berkenaan pertuduhan yang akan dibuat pada tarikh tersebut. Namun tertuduh memaklumkan tidak akan hadir perbicaraan di Mahkamah dan pihak pendakwaan telah memohon perbicaraan ini dijalankan secara "in absentia" di bawah s 425A Kanun Tatacara Jenayah memandangkan OKT kini berada di United Kingdom.
[8] Puan Majistret yang bersidang pada ketika itu telah membuat dapatan bahawa tertuduh telah dimaklumkan untuk hadir prosiding Mahkamah pada hari tersebut, namun enggan hadir ke Mahkamah dan dengan itu telah mengenepikan haknya untuk hadir semasa perbicaraan. Prosiding akan dijalankan tanpa kehadiran tertuduh di bawah s 425A Kanun Tatacara Jenayah dan satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap OKT sebagaimana peruntukkan di bawah s 47 Kanun Tatacara Jenayah selepas dipohon oleh pihak pendakwaan.
[9] Pada tarikh sebutan pada 23 November 2021, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa waran tangkap gagal disempurnakan. Waran tangkap dalam Bahasa Inggeris juga telah diserahkan kepada Interpol dan siaran media dikeluarkan oleh PDRM. Puan Majistret pada ketika itu telah membenarkan wa