2005 MarsdenLR 3020
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
MOHD NOOR ABDULLAH H
USTAZ ABD KHALID RASID
versus
DATO SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI & YANG LAIN & SATU KES LAGI
PERMOHONAN BAGI SEMAKAN KEHAKIMAN NO: 25-17-04 & 25-18-04
Decided On : 01-27-05
Bagi pihak pemohon - Darshan Singh Khaira; T/n Darshan Singh & Co
Bagi pihak responden 1 - Mohamed Shafee Abdullah (Kirubanandan P Murugaya bersamanya); T/n Shafee & Co
Bagi pihak responden 2 - Zaitun Zawiyah Puteh (Azizah Hj Nawawi bersamanya)
Mohd Noor Abdullah H:
Permohonan Semakan Kehakiman
Ustaz Abd. Khalid Rasid (pemohon) memohon kebenaran supaya mahkamah mengeluarkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Umum Kawasan Kepala Batas (responden 2) pada 13 Mac 2004 yang menolak bantahan pemohon yang menuduh bahawa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (responden 1) tidak menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya menurut kehendak s. 23 Akta Pilihan Raya 1954 dan kerana itu beliau tidak berhak dan tidak layak menjadi calon.
Pemohon juga memohon perintah mandamus supaya responden 2 dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (responden 3) mengisytiharkan pemohon sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Pilihan Raya Parlimen Kepala Batas (P 41).
Fakta Kes
Pemohon adalah calon PAS dan responden 1 adalah calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Parlimen Kepala Batas pada 21 Mac 2004. Sebelum itu pada hari penamaan calon pada 13 Mac 2004 pemohon telah membantah secara bertulis kepada responden 2 bahawa responden 1 tidak layak bertanding kerana beliau gagal memfailkan Penyata Perbelanjaan Pilihan Raya dalam tempoh yang ditetapkan. Responden 2 telah menolak bantahan pemohon dengan alasan responden 2 telah mengemukakan Penyata Perbelanjaan itu, tanpa menunjukkan kepada pemohon dokumen tersebut walaupun diminta. Justru pemohon dan responden 1 diistiharkan calon satu lawan satu. Berikutnya pada pemilihan yang diadakan pada 21 Mac 2004 responden 1 telah diisytiharkan menang bagi kawasan tersebut. Pemohon mendapat 8,810 undi manakala responden 1 mendapat 19,985 undi.
Pertimbangan
Permohonan pemohon untuk mendapat kebenaran mahkamah bagi perintah certiorari dan mandamus adalah dibuat secara ex parte. Oleh yang demikian mahkamah hanya perlu mendengar pemohon atau peguamnya dan tidak perlu mendengar responden-responden atau peguam mereka melainkan dengan izin mahkamah, jika perlu.
Pada hari perbicaraan permohonan ex parte ini pemohon diwakili oleh peguamcara Encik Darshan Singh Khaira, responden 1 oleh Dato' Mohamed Shafee Abdullah dan Encik Kirubanandan a/l P. Murugaya dan responden 2 dan responden 3 oleh Peguamcara Negara Datuk Zaitun Zawiyah bt. Puteh dan Puan Azizah Haji Nawawi. Saya telah membaca, meneliti, mengkaji permohonan tersebut dan mendapati bahawa ianya di luar aturan, cacat dan menyalahgunakan proses mahkamah dan wajar dibatalkan. Maka mahkamah tidak sudi mendengar peguamcara pemohon atau mana-mana pihak lain dan terus memberi alasan-alasan bagi membatalkan permohonan pemohon tanpa perintah kos.
Alasan saya bagi membatalkan permohonan pemohon ialah:
1. Relief Certiorari/Mandamus Bukan Prosedur Yang Betul
Keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang dimenangi oleh responden 1 tidak boleh dipertikaikan melainkan dengan cara memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:
118. No election to the House of Representatives or to the Legislative Assembly of a State shall be called in question except by an election petition presented to the High Court having jurisdiction where the election was held.
Perlembagaan adalah undang-undang negara yang terunggul dan termutlak dan setiap undang-undang lain akur dan sujud kepadanya. Ungkapan "No election ... shall be called in question except ..." adalah bahasa tegahan, mantap dan tidak mengelirukan iaitu pertikaian tentang pemilihan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri hanya boleh dibuat melalui petisyen pilihan raya ke Mahkamah Tinggi dan tidak boleh dibuat melalui relief certiorari dan mandamus.
2. Specialia Derogant Generalibus/Special Provisions Derogate From General
Isu pemilihan calon dalam pilihan raya dikawal selia dan tertakluk kepada undang-undang khusus Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957, Akta Pilihan Raya 1954, Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 dan Peraturan-Peraturan serta Kaedah-Kaedah yang diperbuat di bawahnya. Pengaduan dan bantahan pemohon bahawa