2008 MarsdenLR 843
CHEW SOO HO
MAHKAMAH PERUSAHAAN (KUALA LUMPUR)
SAMINADHAN AYAVOO - Appellant
Versus
WING TIEK METAL INDUSTRIES SDN BHD - Respondents
AWARD NO: 0657 TAHUN 2008 (KES NO: 5/4 - 681/06)
Decided On : 04/16/2008
Bagi Pihak Menuntut - Peter Kandiah; MTUC
Pihak Responden/Likuidator - Vincent Tan; T/n Gideon Tan Razali & Zaini
Ini adalah satu rujukan oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia, Malaysia di bawah Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan, 1967 mengenai pembuangan kerja Encik Saminadhan a/l Ayavoo (selepas ini disebut sebagai "Pihak Menuntut") oleh Wing Tiek Metal Industries Sdn. Bhd. (selepas ini disebut sebagai "Pihak Responden") pada 26 September 2001.
AWARD
Rujukan ini di bawah Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia adalah berpunca daripada pembuangan kerja ke atas Encik Saminadhan a/l Ayavoo, Pihak Menuntut, pada 26 September 2001.
Kes ini dibangkitkan untuk perbicaraan pada 16 April 2008 dengan kehadiran Encik Peter Kandiah dari M.T.U.C., yang mewakili Pihak Menuntut dan Encik Vincent Tan dari Tetuan Gideon Tan Razali & Zaini, peguamcara yang mewakili Pihak Responden/Likuidator. Pihak Menuntut turut hadir. Encik Vincent Tan memaklumkan Mahkamah bahawa setelah perundingan, kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian damai di dalam kes ini atas terma-terma persetujuan seperti berikut:
(1) Pihak Responden/Likuidator bersetuju membayar kepada Pihak Menuntut jumlah sebanyak RM1,500.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Lima Ratus sahaja) sebagai penyelesaian penuh dan muktamad terhadap segala tuntutan Pihak Menuntut di dalam kes ini; dan
(2) Bayaran jumlah penyelesaian tersebut hendaklah dibuat kepada M.T.U.C. sebagai wakil kepada Pihak Menuntut oleh Pihak Responden/Likuidator pada atau sebelum 16 Mei 2008.
Encik Peter Kandiah dan Pihak Menuntut mengesahkan terma-terma penyelesaian tersebut.
Maka, Mahkamah dengan ini menurunkan Award menurut terma-terma penyelesaian tersebut seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.