2008 MarsdenLR 4653
AHMADI HAJI ASNAWI, JC
MAHKAMAH TINGGI (MUAR)
JASMAN MOHD SALLEH & 3 ORS - Appellant
Versus
ZALIHA @ SITI ZALIHA HAJI JAWATI - Respondents
GUAMAN SIVIL NO: 22-71-2001
Decided On : 06/05/2008
Ini adalah merupakan rayuan oleh Defendan-Defendan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar yang telah diberikan pada 22 September 2006 yang telah menolak permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 41 untuk mengenepikan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan plaintif.
Fakta ringkas permohonan ini adalah seperti berikut. Pada atau sekitar Disember 1993, Plaintif telah berjumpa Defendan 1 untuk memperolehi bantuan dalam membuka satu akaun dagangan dengan Defendan 4 untuk tujuan melupuskan 2000 saham MAS dan 1250 saham Southern Bank. Plaintif kemudiannya telah melaksanakan satu kad kosong dengan contoh tandatangan yang diberikan kepada Plaintif oleh Defendan 1 untuk membolehkan Plaintif membuka sebuah akaun dagangan dengan Defendan 4. Bagaimanapun Defendan Pertama (1) tidak menjual saham-saham tersebut seperti yang diarahkan, dan atas permintaan Plaintif telah mengembalikan saham-saham tersebut kepada Plaintif. Apabila Plaintif ingin mengeluarkan wang dari akaun simpanannya pada 4 Julai 1996, beliau dapati ianya tidak boleh dilakukan kerana terdapat presiding kebankrapan di Mahkamah Tinggi Muar, dan beliau telah dimaklumkan bahawa satu penghakiman ingkar telah diperolehi terhadapnya pada 19 Oktober 1995 melalui tindakan Defendan 4 di Mahkamah Sesyen Batu Pahat yang terbit dari kerugian kontra dalam dagangan saham di BSKL.
Plaintif menyatakan bahawa beliau tidak pernah memberi kuasa kepada Defendan 4 dengan saham-saham di BSKL dan tidak mempunyai pengetahuan tentang akaun dagangan yang dibuka atas nama Plaintif. Pada 8 Julai 1996, mesyuarat telah diadakan di pejabat Defendan 4, dan plaintif memaklumkan bahawa mereka tidak pernah berurusniaga saham melalui Defendan 4 dan tidak sedar tentang akaun dagangan yang dibuka. Wakil Defendan 4 memaklumkan bahawa Plaintif adalah bertanggungan dan kad tandatangan contoh telah memberikan kuasa kepada Defendan 4 untuk menjalankan urusniaga. Sebaliknya, Plaintif menyatakan bahawa dagangan tersebut adalah dagangan palsu dan Defendan 4 mempunyai pengetahuan tentang apa yang berlaku.
Plaintif juga telah membuat carian di Mahkamah Sesyen Batu Pahat untuk menentukan bagaimana Penghakiman Ingkar diperolehi terhadapnya. Hasil carian yang dilakukan, didapati bahawa Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dalam kes tersebut telah diserahkan secara kediri terhadap Plaintif pada 21 September 1995, sedangkan pada masa itu Plaintif berada di luar negeri. Plaintif kemudiannya telah memfailkan permohonan untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar atas alasan ianya adalah di luar aturan, dan Penghakiman Ingkar tersebut telah diketepikan pada 14 Oktober 1996, dan presiding kebankrapan di Mahkamah Tinggi Muar telah ditarik balik pada 24 September 1996. Seterusnya pada 19 Februari 2001, Hakim Mahkamah Sesyen telah memberikan keputusan dan telah menolak tuntutan Defendan 4 terhadap Plaintif. Plaintif kemudiannya telah memfailkan tuntutan ini terhadap kesemua Defendan pada 21 Disember 2001.
Kesemua Defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif, dan permohonan tersebut telah ditolak oleh Penolong Kanan Pendaftar. Defendan-Defendan telah tidak berpuashati dengan keputusan tersebut dan memfailkan rayuan mereka. Berikut adalah isu-isu yang dibangkitkan oleh Defendan-Defendan di dalam menjustifikasikan permohonan mereka supaya Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif dibatalkan oleh mahkamah.
RES JUDICATA
Di dalam kes ini pihak Defendan membangkitkan hujahan bahawa tindakan Plaintif hendaklah dibatalkan melalui penguatkuasaan doktrin res judicata. Menurut mereka, kes di antara Plaintif dan Defendan-Defendan telah pun diselesaikan di dalam presiding yang telah dijalankan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat. Oleh yang demikian, Plaintif adalah dihalang dari membangkitkan isu yang sama dan telah pun diputuskan oleh mahkamah berkenaan. Di dalam kes Asia Commercial Finance (M) Bhd v. Kawal Teliti San Bhd [1995] 3 CLJ 783, 789 Peh Swee Chin FCJ, telah menerangkan dengan jelas maksu