2024 MarsdenLR 3282
MAHKAMAH MAJISTRET KANGAR
PENDAKWA RAYA LWN. MUHAMMAD NIZAM ZUL KES LEMY
[Kes Jenayah: RA-83D-268-01/2023]
Pihak pendakwaan mesti membuktikan kes prima facie untuk sabitan, termasuk rantaian keterangan yang utuh; kegagalan ini menyebabkan tertuduh dilepas dan dibebaskan.
Headnote:(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 - Seksyen 12(2) dan 39A(1) - Pertuduhan terhadap tertuduh adalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7.47 gram - Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie - Mahkamah merujuk kepada prinsip rantaian keterangan dan beban bukti dalam kes jenayah. (Paras 22, 27, 49, 74)
(B) Rantaian Keterangan - Mahkamah menegaskan bahawa rantaian keterangan yang utuh adalah penting untuk membuktikan identiti barang kes - Percanggahan dalam keterangan saksi pendakwaan menimbulkan keraguan. (Paras 30, 49)
Facts of the case:
Tertuduh dituduh memiliki methamphetamine pada 5 Februari 2021. Tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada 27 Januari 2023, dan dituduh semula pada 27 Januari 2023. Pihak pendakwaan memanggil enam saksi. (Paras 1-4)
Findings of Court:
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas pertuduhan yang dikenakan. (Paras 74, 76)
Issues: Isu utama adalah sama ada dadah yang dituduh adalah dadah berbahaya dan sama ada ia berada dalam milikan tertuduh. (Paras 27)
Ratio Decidendi: Mahkamah memutuskan bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan pendakwaan yang menimbulkan keraguan, dan oleh itu, tertuduh tidak boleh disabitkan. (Paras 49, 74)
Result: Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Tertuduh telah dituduh melakukan suatu kesalahan di bawah s 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah s 39A(1) Akta 234. Pertuduhan Pindaan terhadap Tertuduh adalah seperti yang berikut:
"Bahawa kamu pada 5 Februari 2021 jam lebih kurang 10.30 pagi, di sebuah rumah beralamat Jln Arau Kg Keranji Mati Jelempok 02600 Arau, di dalam daerah Arau, di dalam negeri Perlis, telah memiliki dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 7.47 gram. Dengan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah s 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39A(1) Akta yang sama."
[2] Tertuduh pada awalnya telah dituduh di bawah seksyen yang sama di bawah nombor kes RA-83D-172-02/2021 pada 8 Februari 2021 dan kes telah sampai ke peringkat bicara dan pihak pendakwaan telah memanggil tiga orang saksi pendakwaan dalam kes ini.
[3] Tertuduh kemudiannya telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah memandangkan tiada saksi pihak pendakwaan yang hadir untuk sambung bicara pada 27 Januari 2023.
[4] Pada tarikh yang sama Tertuduh dilepas tanpa dibebaskan, Tertuduh telah dituduh semula dengan pertuduhan di bawah seksyen sama di bawah nombor kes RA-83D-268-01/2023.
[5] Pihak Pendakwaan dalam kes ini juga telah membuat permohonan di bawah s 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk meneruskan kes di bawah nombor kes ini setakat mana ia terhenti di bawah nombor kes RA-83D-172-02/2021.
Latar Belakang Kes
[6] Pihak pendakwaan dalam kes ini telah memanggil seramai enam orang saksi pendakwaan ("SP"):
(a) Nurul Idayu binti Zaihari (SP1);
(b) Lans Koperal Khairul Anwar bin Mohamad Sahidi (SP2);
(c) Robiah binti Che Yahya (SP3);
(d) Sub Inspektor Abidin bin Hamid (SP4);
(e) Koperal Mohd Khairul bin Khalid (SP5); dan
(f) Sarjan Tarmizi bin Sharif (SP6).
[7] Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan di hadapan Mahkamah, fakta kes telah menunjukkan keterangan bahawa pada 5 Februari 2021 pada jam lebih kurang 10.30 pagi, SP4 bersama empat orang anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Arau telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di alamat Jalan Arau, Kampung Keranji Mati Jelempok Arau Perlis.
[8] Serbuan dan pemeriksaan tersebut dibuat hasil daripada maklumat yang diperoleh SP4 daripada seorang wanita yang dikenali sebagai ibu suspek (SP3) yang telah menghubungi SP4 dan memaklumkan bahawa anaknya telah membuat kacau di rumah dan mengurung diri di rumah.
[9] Beliau telah meminta pihak polis menahan suspek yang disyaki telah mengambil dadah.
[10] Setelah memperoleh maklumat daripada SP3, SP4 telah membuat suatu perancangan dan mengumpulkan empat anggota dan memberi taklimat kepada anggota tersebut untuk membuat suatu serbuan di Kampung Keranji Mati, Jelempok, Arau, Perlis.
[11] SP4 dan pasukan bergerak ke lokasi dengan menaiki tiga buah motosikal dan sebelum sampai di lokasi, SP4 telah menghubungi SP3 untuk mengenal pasti lokasi rumah sebenar.
[12] Apabila sampai di tempat kejadian, SP4 dapat melihat terdapat sebuah rumah yang berkunci dan di sebelahnya terdapat sebuah lagi rumah di sebelah kanan.
[13] Semasa SP4 dan pasukan sampai, SP3 telah berada di luar rumah sedang menunggu kehadiran SP4 dan pasukan, SP4 kemudiannya telah mengetuk pintu hadapan rumah yang ditunjukkan oleh SP3, memberi salam dan memperkenalkan diri sebagai polis.
[14] Seterusnya selepas mengetuk pintu rumah dan tiada jawapan, SP4 bersama SP3 telah berusaha untuk memasuki rumah tersebut melalui pintu di sebelah kanan rumah tersebut yang telah ditunjuk oleh SP3 yang menyatakan bahawa pintu tersebut lebih mudah untuk dipecahkan.
[15] Apabila SP4 bersama anggota telah berjaya masuk ke dalam rumah, beliau telah menahan satu lelaki melayu yang sedang duduk bertinggung di hadapan sebuah bilik di ruang tamu.
[16] SP4 telah memperkenalkan diri sebagai polis kepada lelaki Melayu tersebut dengan menunjukkan kad kuasa dan telah membuat pemeriksaan atas badan lelaki Melayu tersebut dan tidak menjumpai apa-apa barang salah.
[17]