2024 MarsdenLR 2324
MAHKAMAH SESYEN KUALA TERENGGANU
NURUL AKMAL AZMI LWN. UMI SURIA NOORAL AZHAR @ HASSAN
[Saman No: TA-A52C-1-01/2024]
Permohonan untuk butir-butir lanjut dan jelas ditolak kerana tidak memenuhi prinsip undang-undang dan fakta dalam pernyataan tuntutan mencukupi untuk pembelaan.
Headnote:(A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 - A 18 k 12(3) - Permohonan Defendan untuk mendapatkan butir-butir lanjut dan jelas mengenai pernyataan tuntutan ditolak oleh Mahkamah - Mahkamah mendapati soalan-soalan yang dikemukakan tidak memenuhi prinsip permohonan dan merupakan keterangan yang tidak boleh dimasukkan ke dalam pliding. (Paras 8, 11, 12)
(B) Keterangan yang mencukupi telah disediakan dalam pernyataan tuntutan dan tiada ketidakadilan terhadap Defendan walaupun butir-butir lanjut tidak diperolehi. (Paras 10, 13)
Facts of the case:
Pihak perayu Defendan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah yang menolak permohonan untuk mendapatkan butir-butir lanjut mengenai pernyataan tuntutan oleh pihak responden Plaintif, yang berkaitan dengan pembinaan rumah yang tidak mematuhi pelan yang diluluskan.
Findings of Court:
Mahkamah memutuskan permohonan pihak perayu Defendan ditolak dengan kos RM2,000.00 kepada pihak responden Plaintif.
Issues: Isu utama adalah sama ada permohonan untuk butir-butir lanjut dan jelas memenuhi prinsip undang-undang dan sama ada terdapat ketidakadilan kepada Defendan.
Ratio Decidendi: Mahkamah berpendapat bahawa soalan-soalan yang dikemukakan tidak relevan dan fakta yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan adalah mencukupi untuk membolehkan Defendan menyediakan pembelaan mereka semasa perbicaraan.
Result: Permohonan ditolak.
PENGHAKIMAN
[1] Ini adalah rayuan yang dikemukakan oleh pihak perayu Defendan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah pada 24 Julai 2024 yang menolak permohonan perayu Defendan seperti mana Kandungan 9 dengan kos sebanyak RM2,000.00 kepada pihak responden Plaintif.
[2] Notis permohonan pihak perayu Defendan sepertimana Kandungan 9 memohon perintah Mahkamah ini menurut A 18 k 12(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan/atau bidang kuasa Mahkamah yang sedia ada bagi perintah-perintah dan/atau relif-relif seperti berikut:
1. Bahawa Defendan diberikan butir-butir lanjut dan jelas mengenai pertanyaan-pertanyaan yang diperuntukkan dalam Butir-butir Lanjut dan Jelas mengenai Pernyataan Tuntutan yang dilampirkan bersama-sama dengan permohonan ini ("Butir-butir Lanjut dan Jelas yang Dipohon").
2. Bahawa Plaintif perlu menyampaikan kepada Defendan butir-butir lanjut dan jelas yang dipohon dalam tempoh masa empat belas (14) hari dari tarikh perintah ini atau dalam mana-mana tempoh lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah yang mulia ini.
3. Bahawa jika Plaintif gagal mematuhi perintah yang dipohon dalam perenggan 1 dan 2 di atas, tuntutan Plaintif di sini dibatalkan;
4. Bahawa masa untuk Defendan memfailkan Jawapan kepada Pembelaan Terpinda dilanjutkan kepada empat belas (14) hari selepas tarikh penerimaan butir-butir lanjut dan jelas yang dipohon;
5. Bahawa Defendan diberi kebenaran untuk meminda pliding, jika perlu, dalam tempoh masa empat belas (14) hari dari tarikh penerimaan butir-butir lanjut dan jelas yang dipohon;
6. Bahawa kos-kos bagi dan yang berbangkit daripada permohonan ini dibayar oleh Plaintif kepada Defendan; dan/atau
7. Sebarang perintah dan/atau relif lain sebagaimana yang dianggap wajar dan suaimanfaat oleh Mahkamah Yang Mulia ini.
Lampiran
BUTIR-BUTIR LANJUT DAN JELAS MENGENAI PERNYATAAN TUNTUTAN YANG DIPOHON OLEH PIHAK PERAYU DEFENDAN
1. Perenggan 10 Pernyataan Tuntutan yang menyatakan bahawa:
"10. Defendan telah mengambil milikan tapak Tanah tersebut dan memulakan pembinaan sekitar Oktober 2022."
Sila berikan maklumat lengkap dan tepat mengenai perkara berikut:
(i) Tarikh sebenar permulaan kerja pembinaan;
(ii) Nama pihak yang terlibat dengan kerja pembinaan tersebut; dan
(iii) Bagaimana pembinaan tersebut dimulakan;
2. Perenggan 13 Pernyataan Tuntutan yang menyatakan bahawa:
"13. Pada masa material Plaintif mendapati bahawa kerja-kerja pembinaan oleh Defendan adalah tidak memuaskan kerana ianya tidak mengikut pelan yang diluluskan. Plaintif juga mendapati bahawa terdapat beberapa kecacatan seperti keretakan pada binaan konkrit struktur bangunan Rumah tersebut."
Sila berikan maklumat lengkap dan tepat mengenai perkara berikut:
(i) Pada tarikh bila Plaintif membuat tarikh lawatan ke tapak pembinaan yang dimaksudkan;
(ii) Siapa yang menyertai Plaintif bersama-sama memeriksa lawatan tapak pembinaan tersebut;
(iii) Bagaimana yang dimaksudkan dengan kerja-kerja pembinaan oleh Defendan adalah tidak memuaskan;
(iv) Bahagian kerja-kerja mana yang tidak memuaskan;
(v) Tidak mengikut kelulusan pelan mana yang dimaksudkan;
(vi) Bahagian binaan mana yang tidak mengikut pelan yang diluluskan;
(vii) Apakah bentuk kecacatan binaan yang berlaku;
(viii) Pada bahagian mana kecacatan binaan berlaku;
(ix) Apakah bentuk keretakan binaan yang berlaku;
(x) Pada bahagian mana keretakan binaan berlaku;
(xi) Apakah bentuk kecacatan pada konkrit yang dimaksudkan;
(xii) Pada bahagian mana kecacatan pada konkrit berlaku;
(xiii) Berapa banyak kecacatan pada binaan berlaku;
(xiv) Berapa banyak keretakan pada binaan berlaku;
(xv) Bila aduan berkenaan kerosakan dibuat; dan
(xvi) Kepada siapa aduan berkenaan kerosakan binaan dilaporkan.
3. Perenggan 14 Pernyataan Tuntutan yang menyatakan bahawa:
"14. Memandangkan Plaintif tidak mempunyai pengetahuan teknikal berkaitan dengan pelan pembinaan, Plaintif telah meminta pertolongan seorang individu bernama Syed Luqman Shafiq bin Syed Hamid yang merupakan seorang pelukis pelan bagi memeriksa dan membuat 'as built dr