2003 MarsdenLR 117
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
DENIS ONG HMR, MOHD SAARI YUSOFF HMR, ALAUDDIN MOHD SHERIFF HMR
PP
versus
MOHD ISHA ALIAS & SATU LAGI
RAYUAN JENAYAH NO: A-05-30-1996
Decided On : 03-18-03
Bagi pihak pendakwa - Jabatan Peguam Negara
Bagi pihak responden pertama - T/n Zain & Co
Bagi pihak responden kedua - T/n Hazman & Assoc
PENGHAKIMAN
Alauddin Mohd Sheriff HMR:
Ini adalah rayuan dari pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Ipoh bertarikh 8 Mac 1996 yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkap ke atas responden pertama atas pertuduhan pindaan terhadapnya di bawah s. 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah s. 12(3) Akta yang sama dan membebas dan melepaskan responden kedua daripada pertuduhan terhadapnya di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertuduhan asal terhadap kedua-dua responden adalah seperti berikut:
Bahawa kamu dituduh bersama pada 7.8.94, jam lebihkurang 10.50 malam, di hadapan Restoran Choi Hang Village, km 9, Jalan Gopeng, Kg. Sengat, Ipoh, di dalam Daerah Kinta, di dalam Negeri Perak, bagi pihak diri kamu sendiri atau bagi pihak sesiapa, telah didapati mengedar dadah ganja sejenis dadah berbahaya sejumlah berat kasar 800 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama-sama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Perlu dinyatakan di sini bahawa semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi terdapat seorang lagi yang dituduh bersama kedua-dua responden. Beliau adalah Muzaffar Ahmad dan dirujuk sebagai tertuduh kedua. Beliau telah dibebaskan dari pertuduhan tersebut. Bagi tujuan rayuan ini dan supaya tidak menimbulkan kekeliruan responden pertama dirujuk sebagai tertuduh pertama dan responden kedua sebagai tertuduh ketiga.
Alasan-Alasan Rayuan
Di hadapan mahkamah ini perayu mencabar keputusan Mahkamah Tinggi tersebut atas alasan-alasan berikut:
Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi fakta atau undang-undang:
1. apabila memutuskan untuk menolak keterangan lisan Ahli Kimia (SP7) ke atas laporan kimia P12 yang dibuat olehnya;
2. apabila memutuskan bahawa pemberi maklumat adalah 'agent provocateur' berdasarkan penilaian fakta terhadap peranan pemberi maklumat dan oleh itu terkeluar daripada perlindungan di bawah s. 40(1) Akta Dadah Berbahaya 1952;
3. apabila memutuskan kegagalan pendakwa memanggil dua saksi bernama 'Nikki' dan 'Singh' telah menimbulkan inferens di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950; dan
4. apabila memutuskan tiada keterangan niat bersama oleh tertuduh, berdasarkan keterangan yang telah diberi.
Fakta-Fakta Kes
Bagi memahami rayuan ini dengan lebih jelas adalah lebih baik jika kami sebutkan di sini fakta-fakta kes.
Pada 27 Julai 1994, SP2 (Ketua Inspektor Mohd. Zorki Ishak) dan SP5 (Sgt. Mejor Saidin) kedua-duanya dari Jabatan Narkotik Perak telah menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan Simpang Pulai.
Pada jam 8.30 malam tersebut mereka berdua yang bertindak sebagai penyamar sulit telah pergi ke hadapan sebuah kedai tayar di Simpang Pulai untuk bertemu dengan pemberi maklumat. Di pertemuan tersebut pemberi maklumat diarah mencari pengedar ganja yang bergiat di kawasan tersebut kerana SP2 dan SP5 ingin membeli ganja dari mereka. Jam 9 malam itu juga pemberi maklumat telah menemukan SP2 dan SP5 dengan penjual ganja iaitu tertuduh pertama dan tertuduh ketiga. Satu perbincangan ringkas di antara mereka telah diadakan di mana tidak berapa lama kemudian tertuduh pertama mengajak mereka pergi ke rumahnya tidak jauh dari situ. Setibanya di rumah tertuduh pertama SP2 dan SP5 diberi penjelasan berkenaan harga jualan dadah tersebut, yang mana ianya adalah tertakluk kepada amaun yang dibeli; harga akan lebih murah jika terdapat pesanan yang besar. Perbincangan berakhir tanpa apa-apa pembelian.
Pada 28 Julai 1994 jam 8.50 malam SP2 dan SP5 telah pergi sekali lagi ke rumah tertuduh pertama. Kali ini mereka bertemu dengan Nikki dan Singh. Walau bagaimanapun mereka diarah tertuduh pertama menunggunya di restoran Wonderful World. Mereka beredar ke sana. Tidak lama kemudian tertuduh pertama dan ketiga datang dan duduk semeja dengan mereka. Di situ perbincangan berkenaan pembelian ganja telah berlangsung. Tertuduh pertama telah memberitahu SP2 dan SP5,