2008 MarsdenLR 80
AHMADI HAJI ASNAWI, JC
MAHKAMAH TINGGI (MUAR)
MAHADZIR YUSOF & ANOR - Appellant
Versus
PP - Respondents
PERBICARAAN JENAYAH NO: 45-19 TAHUN 2003
Decided On : 06/12/2008
Orang Kena Tuduh Mahadzir bin Yusof (selepas ini dikenali sebagai "OKT-1) dan Orang Kena Tuduh Mohd Anuar bin Mat Ripin (selepas ini dikenali sebagai "OKT-2) secara bersama, menghadapi pertuduhan berikut:-
"Bahawa kamu dengan memajukan niat bersama antara kamu, pada 18 Disember 2002, diantara jam 2.00 pagi hingga 4.30 pagi, ditepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, di dalam Daerah Kluang, dalam Negeri Johor Darul Ta'zim, telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki Melayu, iaitu Azley bin Abu Bakar, K/P No. A3147272 dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama seksyen 34, Akta yang sama".
Jenazah simati (Azley bin Abu Bakar) telah ditemui oleh pihak polis Kluang pada pagi 18.12.2002 hasil dari maklumat orang awam dikawasan Jalan Pisang Raja Udang, Taman Desa Harmoni, Kluang. Pada 23.12.2002 kira-kira jam 5.30 petang isteri simati, SP-5, telah hadir di Balai Polis Kluang apabila diminta untuk membuat pengecaman ke atas jenazah simati dan juga kereta jenis Kelisa No. JGL 8059 yang digunakan oleh simati pada waktu yang material. SP-5 telah mengecamkan gambar jenazah simati, P27(1), sebagai suaminya. Beliau juga mengecam gambar kereta JLG 8059, P28(6) dan (7), sebagai gambar keretanya yang diberi pinjam kepada suaminya, simati untuk digunapakai.
Pada hari yang sama kira-kira jam 8.30 malam ayah simati, SP-7, telah mengecamkan jenazah simati sebagai anak lelakinya kepada Pegawai Penyiasat, SP-13, di Hospital Daerah Kluang. Beliau juga telah mengecam gambar simati P27(1), sebagai gambar jenazah anaknya yang mati.
SP-4, orang yang menemui jenazah simati tersandar ditepi tebing Jalan Pisang Raja Udang dalam keadaan berlumuran darah setelah dimaklumkan oleh sekumpulan perempuan Cina yang berjoging di kawasan tersebut pada pagi 18.12.2002 dan yang kemudiannya membuat lapuran polis, juga telah mengecamkan gambar P27(1) sebagai gambar jenazah simati yang dijumpainya.
Pakar patologi SP-14, telah mengesahkan simati mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badannya seperti diperincikan dalam lapuran post mortemnya, P40. Beliau mengesahkan bahawa simati mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian kepalanya yang mana kecederaan-kecederaan ini telah menyebabkan kematian simati. Menurutnya punca kematian simati adalah kecederaan yang teruk pada otaknya.
Atas keterangan-keterangan yang dikemukakan saya berpuashati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kematian simati dan kematian simati adalah berpunca dari kecederaan-kecederaan yang dialaminya.
Samada kematian simati adalah disebabkan oleh kedua-dua OKT
Isu yang seterusnya adalah sama ada kematian simati adalah disebabkan oleh perbuatan kedua-dua OKT. Terdapat keterangan langsung dari saksi mata, SP-9, berkaitan dengan perkara ini.
SP-9 menyatakan beliau tidak mengenali simati sebelum tarikh kejadian. Walaubagaimanapun beliau bersaksi bahawa beliau telah mengenali OKT-1 dan OKT-2 kira-kira sebulan lebih sebelum hari kejadian.
SP-9 menyatakan pada pagi 18.12.2002, kira-kira jam 2.00 pagi kedua-dua OKT mendatanginya ditempat beliau bekerja dan tidur, iaitu di gerai beliau menjual air di Stesyen Bas Kluang. Kedua-dua OKT meminta bantuannya untuk mendapatkan bahagian wang mereka dari hasil jualan televisyen curi yang berada pada simati. Namun amaunnya tidak dimaklumkan kepada SP-9. SP-9 bersetuju menolong mereka setakat minta duit sahaja dan beliau telah dijanjikan upah. Beliau turut memberitahu kedua-dua OKT kalau setakat minta wang, jangan sampai pukul.
Menurut SP-9 lagi, OKT2 kemudian telah menelefon simati melalui telefon awam dan meminta simati datang ke Stesyen Bas Kluang dengan dalih ada komputer yang perlu diambil di Taman Desa Harmoni. Kira-kira 10 minit kemudian simati sampai ke Stesyen Bas Kluang dengan memandu kereta Kelisa No. JGL 8059. Kedua-dua OKT memaklumkan kepada beliau itulah simati. Setelah sampai ketiga-tiga mereka memasuki kereta yang dipandu oleh simati. Di dala