2007 MarsdenLR 2121
MAHKAMAH RAYUAN, PUTRAJAYA
MOKHTAR SIDIN HMR , HASHIM YUSOFF HMR , ZULKEFLI MAKINUDIN HMR
AHMAD ABD MAJEED
versus
HABIBAH ABDUL MAJID & SATU LAGI
RAYUAN SIVIL NO: W-02-442-1999
Decided On : 03-15-07
Bagi pihak perayu - Jasswant Singh; M/s Jasswant & Kamarudin
Bagi pihak responden-responden - Razlan Hadri; M/s Gan, Ho & Razlan Hadri
Mokhtar Sidin HMR:
[1] Di dalam rayuan ini perayu adalah plaintif di Mahkamah Tinggi, manakala responden-responden adalah defendan-defendan. Untuk memudahkan pengenalan kami akan merujuk kepada pihak-pihak sebagaimana di Mahkamah Tinggi.
[2] Plaintif telah memulakan tindakan ke atas defendan-defendan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur dengan memfailkan saman pemula bertarikh 13 Mac 1998. Di dalam saman pemula itu plaintif telah memohon perintah-perintah seperti berikut:
1. Suatu perisytiharan bahawa Perintah Pembahagian ke atas Guaman Pembahagian No. 12/139 Tahun 1995 (Bil. (10) dlm.PHT.G 12/139/95) yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah, Pejabat Tanah Daerah Gombak pada 23hb November, 1995 adalah diperolehi secara tidak teratur dan seterusnya diketepikan.
2. Pindahmilik Harta Pesaka bagi hartanah yang dikenali sebagai No. G.M. 945, No. Lot 1435, Mukim Setapak, Daerah Gombak, Negeri Selangor (dahulu dikenali sebagai EMR 3919, No. Lot 1435, Mukim Setapak, Daerah Gombak, Negeri Selangor) kepada HABIBAH BT. ABDUL MAJID (No. K/P: 6978744) dan HAFSAH BT. ABDUL MAJID (No. K/P: 6236432) dibatalkan.
3. Satu ulang bicara Harta Pesaka Sariani bt. Abdullah, simati diadakan di Pejabat Tanah Daerah Gombak dengan memasukkan plaintif sebagai salah seorang waris;
4. Pembahagian Harta Pesaka simati adalah mengikut Hukum Faraid;
5. Kos permohonan ini adalah kos dalam kausa.
[3] Di dalam afidavit menyokong permohonannya, plaintif menyatakan dia adalah anak lelaki tunggal kepada pasangan Abd Majeed bin Abd Ghani dan Sariani bt Abdullah. Plaintif seterusnya menyatakan bahawa bapanya Abd Majeed bin Abd Ghani telah meninggal dunia pada tahun 80an. Ibu plaintif pula, Sariani bt Abdullah telah meninggal dunia pada 6 Julai 1995 (selepas ini disebut sebagai "simati"). Mereka telah meninggalkan tiga orang anak iaitu plaintif sebagai anak lelaki tunggal dan yang sulung, Hafsah bt. Abdul Majid, anak perempuan kedua dan Habibah bt. Abdul Majid, anak perempuan ketiga. Hafsah bt. Abdul Majid dan Habibah bt. Abdul Majid adalah responden-responden di dalam tindakan ini. Semasa simati meninggal dunia dia mempunyai sekeping tanah yang dikenali sebagai No. G.M. 945, No. Lot 1435, Mukim Setapak, Daerah Gombak, Negeri Selangor (dahulu dikenali sebagai EMR 3919, No. Lot 1435, Mukim Setapak, Daerah Gombak, Negeri Selangor) seluas lebihkurang 0a. 0r. 29p. dan terdiri di atasnya sebuah rumah dua tingkat dan sebuah rumah berkembar satu tingkat (selepas ini tanah dan rumah dirujuk sebagai "hartanah tersebut"). Plaintif seterusnya menyatakan di dalam afidavitnya bahawa pada 19 Oktober 1997, dia telah mendapat tahu bahawa hartanah tersebut telah ditukar milik kepada kedua-dua defendan. Pada 23 Oktober 1997, plaintif telah membuat carian di Pejabat Tanah Daerah Gombak, Selangor dan hasil carian tersebut plaintif mendapat tahu bahawa adik perempuannya bernama Habibah bt. Abdul Majid (defendan pertama) telah membuat satu permohonan untuk pembahagian harta pesaka simati tanpa pengetahuan plaintif. Plaintif di dalam afidavitnya menyatakan lagi bahawa pada 23 November 1995, suatu Perintah Pembahagian Harta Pesaka dengan Guaman Pembahagian No. 12/139 Tahun 1995 (Bil. (10) dlm.PHT.G 12/139/95) telah dikeluarkan di mana hartanah tersebut telah dibahagi antara kedua-dua orang defendan. Plaintif juga menyatakan semasa permohonan pembahagian dibuat oleh defendan pertama, permohonan itu disokong oleh satu surat akuan bertarikh 14 Oktober 1995 oleh Mohamed @ Abd Aziz bin Abdullah (No. K/P: 2293440) iaitu abang kandung simati dan juga bapa saudara kepada plaintif dan defendan-defendan, di mana surat akuan itu menyatakan dia sebagai seorang waris kepada simati berhak ke atas hartanah tersebut telah menolak haknya ke atas hartanah tersebut. Plaintif menyatakan surat akuan itu adalah tidak betul dan satu pembohongan kerana Mohamed @ Abd Aziz bin Abdullah bukanlah waris simati. Mohamed @ Abd Aziz bin Abdullah hanya boleh menjadi waris sekiranya simati tidak mempunyai suami a