2022 MarsdenLR 1036
MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR
CITY VENTURES SDN BHD LWN. KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA & SATU LAGI
[Permohonan Untuk Semakan Kehakiman No: KA-25-1-01-2021]
Mahkamah memutuskan bahawa tiada kuasa bagi pemohon untuk memohon semakan setelah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dimansuhkan, dan tiada pembekalan bercukai wujud untuk membenarkan tuntutan cukai yang dibuat.
Headnote:(A) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762) – Seksyen 5 dan 39 – Permohonan semakan kehakiman ditolak kerana pemohon tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminta semakan setelah Akta 762 dimansuhkan oleh Akta 805 dan tidak mengemukakan tuntutan tepat pada masanya – Tuntutan cukai input tidak dapat dibenarkan kerana tiada pembekalan bercukai. (Paras 29, 41, 87)
Facts of the case: Pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Jabatan Kastam yang menolak tuntutan cukai input berjumlah RM738,861.86 bagi tempoh 1 Mei 2018 hingga 31 Julai 2018, setelah mesyuarat yang dipanggil Round Table Discussion.
Findings of Court: Keputusan responden pertama pada 23 Mei 2019 mengenai tuntutan cukai input yang ditolak adalah tepat dan tidak melanggar undang-undang.
Issues: Memutuskan sama ada responden pertama mempunyai kuasa untuk menimbangkan semakan selepas pemansuhan Akta 762 dan sama ada keputusan responden adalah mencerminkan prosedur yang sah.
Ratio Decidendi: Mahkamah mendapati bahawa mulai 1 September 2018, responden pertama tidak lagi mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan permohonan semakan bagi tuntutan cukai input sama sekali dan tiada pembekalan dibuat oleh pemohon untuk membolehkan tuntutan itu diterima.
Result: Permohonan semakan kehakiman ditolak dengan kos RM5,000.00.
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Pada 24 November 2021 setelah mendengar hujahan peguam cara pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan mewakili responden-responden, mahkamah ini telah menolak permohonan semakan kehakiman pemohon dengan kos sebanyak RM5,000.00, tertakluk kepada fi alokatur.
[2] Terkilan dengan keputusan mahkamah ini, pemohon telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap keputusan mahkamah ini.
Latar Belakang Kes
[3] Pemohon telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bertarikh 7 Januari 2021 [Lampiran 1] terhadap keputusan responden pertama bertarikh 13 Oktober 2020 yang menolak rayuan pemohon ke atas tuntutan pembayaran balik kredit cukai input (ITC Refund) berjumlah RM738,861.86 bagi tempoh bercukai 1 Mei 2018 hingga 31 Julai 2018 di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta 762).
[4] Permohonan semakan kehakiman pemohon telah difailkan bersama dengan Pernyataan pemohon bertarikh 7 Januari 2021 di bawah A 53 k 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 [Lampiran 2] dan afidavit sokongan pemohon yang diikrarkan oleh Ng Qi Xun (pengarah pemohon) pada 5 Januari 2021 [Lampiran 3].
[5] Kebenaran (leave) untuk semakan kehakiman telah diperolehi oleh pemohon secara ex-parte pada 4 Mac 2021.
[6] Melalui permohonan semakan kehakiman ini, pemohon telah memohon supaya:
a) Pemohon diberi kebenaran untuk memohon satu perintah certiorari dimulakan dalam mahkamah yang mulia ini untuk membatalkan keputusan responden pertama yang terkandung dalam surat bertarikh 13 Oktober 2020 yang diterima oleh pemohon menolak rayuan pemohon ke atas tuntutan pembayaran balik kredit cukai input (ITC Refund) berjumlah RM738,861.86 bagi tempoh bercukai 31 Julai 2018 berhubung dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dituntut responden pertama melalui bil tuntutan rujukan L0149705280 bertarikh 23 Mei 2019;
b) Satu perintah deklarasi keputusan responden pertama yang terkandung dalam surat responden pertama bertarikh 13 Oktober 2020 yang memberi alasan tidak lagi mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan permohonan semakan semula keputusan berhubung Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang dibuat selepas 1 September 2018 adalah tidak sah di sisi undang- undang;
c) Satu perintah deklarasi bahawa liabiliti pemohon untuk membayar seluruh amaun GST yang dituntut berdasarkan bil tuntutan yang dikeluarkan oleh responden pertama tanpa mempertimbangkan merit permohonan rayuan oleh pemohon adalah satu kesalahan tatacara; dan
d) Satu perintah deklarasi bahawa pemohon adalah berhak menuntut cukai input sebanyak RM738,861.86 di bawah s 39 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 .
[7] Pemohon adalah sebuah syarikat menjalankan perniagaan jualan kayu balak (production of round wood used in an unprocessed form) (02202) dan telah didaftarkan di bawah Akta 762 dengan No pendaftaran: 000170881024 dengan kod MSIC 46203 di dalam sistem MyGST.
[8] Sebagai sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Akta 762, pemohon dikehendaki mengenakan cukai barang dan perkhidmatan ke atas pembekalan bercukai yang dibuat di Malaysia dan dibenarkan di bawah s 39 Akta 762 untuk menuntut cukai input yang berhubungkait dengan pembekalan yang dibuat atau hendak dibuat dalam perjalanan urusan atau penerusan apa-apa perniagaan di Malaysia.
[9] Melalui perjanjian jual-beli bertarikh 22 Januari 2018 dengan Scott Mansion Sdn Bhd (penjual), pemohon telah membeli sebuah hartanah yang dikenali sebagai No Hakmilik 61391 Lot 1296 Seksyen 16 Bandar Georgetown, Pulau Pinang berserta sebuah bangunan 9 tingkat dengan harga belian sebanyak RM12,120,000.00. Harga belian hartanah tersebut telah selesai dibayar oleh pemohon pada 3 Mei 2018.
[10] Pada awalnya pemohon membeli hartanah tersebut untuk tujuan dijadikan pejabat urusan bagi perniagaan syarikatnya berupa aktiviti membeli dan menjual kayu-kayan. Kemudian pemohon mengubah tujuan pembelian hartanah tersebut kepada tujuan baru iaitu untuk menjalankan perniagaan hotel atas nama Hotel Frame beralamat di No 2F-G-1, 2F-1-1, 2