1997 MarsdenLR 278
MAHKAMAH TINGGI, MELAKA
MOHD NOOR ABDULLAH H
PENDAKWA RAYA
versus
LIM GUAN ENG
PERBICARAAN JENAYAH NO: 45-2-95 & 45-3-95
Decided On : 02-28-97
Bagi pihak tertuduh - Karpal Singh (Amardas bersamanya); T/n Karpal Singh & Co
Bagi pihak Pendakwa Raya - Azahar Mohamed (KK Wong bersamanya)Dilaporkan oleh Puspa Nair
PENGHAKIMAN
Mohd Noor Abdullah H:
Dengan keizinan Pendakwa Raya dan dengan Perakuannya yang diberi dibawah s. 8A(3) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 , s. 5 Akta Hasutan 1948 dan dibawah s. 418A Kanun Prosedur Jenayah Lim Guan Eng dipertuduh dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan yang berikut:
Pertuduhan 1
Bahawa kamu pada bulan Januari 1995 di dalam Daerah Melaka Tengah, dalam satu penerbitan risalah yang bertajuk CERAMAH 'KISAH BENAR' dengan niat jahat telah menerbitkan berita tidak benar iaitu:
'MANGSA DIPENJARAKAN'
Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan boleh dihukum di bawah seksyen 8A(1) Akta yang sama.
Pertuduhan 2
Bahawa kamu pada 19.1.1995 jam lebih kurang 9.40 malam di Dewan Permai Sari, Tingkat Tiga Hotel Emperor, Jalan Munshi Abdullah, di dalam Daerah Melaka Tengah, dalam Negeri Melaka telah memberikan ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata yang menghasut iaitu:-
(a) bahawa kamu menyatakan yang kamu tidak puas hati dengan undang-undang di Malaysia kerana 'double standard' yang menyebabkan kes rogol yang melibatkan Tan Sri Rahim Thamby Chik tidak dihadapkan ke mahkamah dan Peguam Negara telah menyatakan Tan Sri Rahim Thamby Chik tidak terlibat dalam kes rogol perempuan bawah umur;
(b) bahawa kamu menyatakan yang kamu tidak puas hati mahkamah memberikan keputusan supaya gadis yang terlibat kes dalam kes rogol itu ditahan selama tiga tahun.
Sebenarnya Tan Sri Rahim Thamby Chik patut dimasukkan ke Penjara dan sebaliknya orang yang melanggar undang-undang dibebaskan;
yang mempunyai kecendurangan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan dalam Malaysia dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama .
Pada awal perbicaraan kes ini mahkamah dikejutkan dengan sikap menempelak peguambela membidas mahkamah tidak berlaku adil kerana membicarakan kes tanpa menunggu kehadirannya. Pada pagi itu mahkamah telah menetapkan pendengaran hujah kedua-dua pihak tentang permohonan pendakwa untuk menggabungkan perbicaraan kedua-dua pertuduhan itu dibawah s. 165 Kanun Prosedur Jenayah. Pada 9 pagi mahkamah menuggu peguambela. Pada 9.08 mahkamah diberitahu peguambela masih dalam perjalanan dan minta mahkamah menunggu entah berapa lama. Mahkamah telah meneruskan pendengaran hujah pendakwa dengan kehadiran peguambela pembantu tanpa kehadiran peguambela utama yang hadir pada 9.22 ketika pendakwa sedang berhujah. Apabila pendakwa selesai berhujah mahkamah membacakan untuk kesenangan peguambela nota keterangan yang dicatatkan semasa ketiadaannya. Ketika itulah peguambela yang dijangka berterima kasih membidas mahkamah yang penuh sesak dengan orang awam yang kelihatan berpihak dan apabila diminta menjawab hujah pendakwa beliau tergamak berkata "I shall not be cowed by this court, judges also come late". Mahkamah menahan sabar dan mendengar telatahnya serta memberi peluang secukupnya untuk membantah permohonan pendakwa. Di akhir penghujahan mereka mahkamah membenarkan permohonan pendakwa kerana terdapat proximity of the time and place, continuity of action and unity of purpose or design di antara kedua-dua pertuduhan itu. (Jayaraman v. Public Prosecutor [1979] 2 MLJ 88). Peguambela membantah pula tentang kecatatan pertuduhan pertama yang tidak menyatakan tarikh, masa dan tempat yang khusus. Pendakwa menjawab sukar menetapkan bila dan di mana sebenarnya tertuduh menerbitkan risalah itu samada semasa tertuduh menyediakan deraf atau semasa tertuduh mengarah deraf itu dicetak dan diedarkan. Mahkamah mendapati butiran yang sedia ada memadai untuk menyedarkan Tertuduh kesalahan yang beliau lakukan, bila dan di mana menurut kehendak s. 153 Kanun Prosedur Jenayah.
Mahkamah terkilan dan menukilkan peristiwa keterlaluan peguambela itu sebagai perbandingan dengan si