1990 MarsdenLR 830
HIGH COURT, KUALA LUMPUR
MUI BANK BHD – Appellant
Versus
RAJU – Respondent
[Perkara Bankrap No D2-29-13116-89]
Siti Norma Yaakob H
Penghutang dalam tindakan kebankrapan ini telah memohon untuk mengetepikan notis kebankrapan bertarikh 24 November 1989 atas dua alasan iaitu:
(1) Permohonan untuk melanjutkan masa telah dibuat selepas notis kebankrapan luput.
(2) Tempoh melanjutkan masa yang diperolehi adalah diluar daripada peruntukan undang-undang dan bercanggah dengan k 96, Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969.
Pemiutang telah mengeluarkan notis kebankrapan pada 24 November 1989. Mengikut k 96, notis tersebut hendaklah diserahkan kepada penghutang dalam tempoh tiga bulan notis berkenaan dikeluarkan. Ini bermakna bahawa pemiutang ada masa hingga 24 Februari 1990 untuk menyerahkan notis kebankrapan kepada penghutang dan selepas tarikh berkenaan, notis kebankrapan hanya dapat diserahkan dengan mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan masa.
Pemiutang gagal untuk menyerahkan notis kepada penghutang dalam tempoh tiga bulan yang dihadkan oleh k 96 dan oleh yang demikian, satu permohonan telah dibuat untuk melanjutkan masa bagi membolehkan pemiutang menyerahkan notis kebankrapan kepada penghutang. Perintah melanjutkan tempoh notis selama sembilan bulan telah pun diperolehi pada 1 Mac 1990.
Penghutang telah mempertikaikan perintah melanjutkan masa oleh kerana pada 1 Mac 1990, notis kebankrapan telah pun luput. Ini memang benar tetapi faktor ini tidak menjejas bidang kuasa mahkamah untuk membenarkan permohonan melanjutkan masa oleh kerana s 93(4) Akta Kebankrapan 1967 telah memperuntukkan bahawa di mana dalam Akta tersebut atau pun dalam kaedah-kaedahnya masa untuk melakukan sesuatu dihadkan, mahkamah mempunyai budibicara, sebelum atau selepas luputnya masa berkenaan, untuk melanjutkan masa. Oleh kerana mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan pemiutang untuk melanjutkan masa pada 1 Mac 1990, saya berpendapat bantahan penghutang atas perkara ini adalah tidak munasabah.
Kaedah 96 hanya menentukan masa notis kebankrapan hendak diserahkan kepada penghutang iaitu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis berkenaan dikeluarkan. Kaedah ini tidak pula menetapkan tempoh masa notis berkenaan boleh dilanjutkan. Oleh yang demikian, bantahan penghutang bahawa notis kebankrapan tidak boleh dilanjutkan lebih daripada tiga bulan seperti dinyatakan oleh k 96 juga tidak boleh diterima.
Penghutang juga memohon supaya beliau diberi kebenaran untuk memfailkan afidavit membantah notis kebankrapan. Saya dapati kebenaran ini tidak perlu oleh kerana tiada terdapat bukti yang menunjukkan bahawa perintah penyerahan ganti yang diperolehi pada 1 Mac 1990 telah pun disempurnakan. Mengikut perintah tersebut notis kebankrapan serta salinan perintah penyerahan ganti hendaklah disiarkan sekali di dalam akhbar The Star dan saya dapati tiada afidavit difailkan yang menunjukkan bahawa arahan ini telah pun dipatuhi. Oleh yang demikian, mahkamah tidak dapat menentukan bilakah sepatutnya tempoh 14 hari mula diambil kira mengikut perintah penyerahan ganti.
Memandangkan kepada sebab-sebab yang telah dihuraikan diatas, saya telah menolak permohonan penghutang bertarikh 11 Mei 1990 dengan kos.