2025 MarsdenLR 5824
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
RAJA SARAVANAN RAJAMURTI LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: JA-42S-5-07/2022]
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Perayu pada awalnya telah di tuduh di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor Darul Takzim atas pertuduhan di bawah s 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 2007] [Kes Tangkap No: 62 ATIP-13-05/2018].
[2] Perayu kemudiannya di tuduh atas kesalahan merogol iaitu s 376 Kanun Keseksaan [Kanun itu] [Kes Tangkap No: 62JS-3-09/2018]. Timbalan Pendakwa Raya [TPR] memohon kedua-dua kes dibicarakan secara bersama. Perbicaraan penuh telah dijalankan di hadapan Tuan Hakim, Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor Darul Takzim [Tuan HMS itu]. Di akhir kes pendakwaan, Tuan HMS itu memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan di bawah s 12 Akta 2007 dan memerintahkan Perayu di lepas dan bebas daripada pertuduhan tanpa di panggil membela dirinya. Pendakwaan tidak memfailkan apa-apa rayuan terhadap keputusan Tuan HMS itu yang melepas dan bebas Perayu bagi pertuduhan s 12 Akta 2007 di akhir kes pendakwaan. Sebaliknya, Tuan HMS itu memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesalahan di bawah s 376 Kanun itu. Perayu diperintahkan untuk membela dirinya.
[3] Perayu telah membela dirinya dan di akhir kes pembelaan, Tuan HMS itu memutuskan Perayu bersalah dan disabitkan atas pertuduhan s 376 Kanun itu. Tuan HMS itu telah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun mulai tarikh sabitan dan 3 sebatan rotan.
[4] Perayu yang terkilan dengan keputusan Tuan HMS itu memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Tinggi, Johor Bahru ke atas sabitan dan hukuman.
[5] Rayuan Perayu telah di dengar di Mahkamah Tinggi. Di akhir pendengaran rayuan Mahkamah Tinggi telah mengakaskan sabitan dan hukuman ke atas Perayu. Mahkamah ini memerintahkan Perayu lepas dan bebas daripada pertuduhan s 376 Kanun itu.
[6] TPR yang terkilan dengan keputusan Mahkamah ini memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan [Rayuan Jenayah No: J-09-11-01/2023] atas keseluruhan keputusan.
[7] Mahkamah Rayuan telah mendengar rayuan pada 13 Mac 2025. Di akhir pendengaran, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan memerintahkan kes di dengar atas merit bagi kesalahan di bawah s 376 Kanun itu.
[8] Mahkamah ini telah mendengar merit rayuan oleh Perayu. Pada 6 Mei 2025 Mahkamah ini menolak rayuan Perayu atas sabitan dan hukuman. Mahkamah ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebatan rotan sehingga rayuan dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.
Latar Belakang Kes
[9] Pertuduhan yang di rangka oleh pendakwaan terhadap Perayu bagi kesalahan s 376 Kanun itu berbunyi seperti berikut:
"Bahawa kamu pada 10 Januari 2018 jam lebih kurang 3.30 petang di alamat RI Baiduri Agency & Services, No 5454B, Jalan Kenari 20, Jalan Bandar Putra Kulai, di dalam Daerah Kulai, di dalam negeri Johor Darul Takzim, telah merogol seorang perempuan Indonesia nama: Ayu Khumairoh (P/P: B 8028552) dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 376 Kanun Keseksaan"
[REKOD RAYUAN [RR] [JILID 1] [muka surat (5)-(7)]
[10] Secara ringkas kes pendakwaan seperti berikut: Pengadu merupakan seorang wanita warganegara Indonesia bernama Ayu Khumairoh [SP1]. SP1 telah membuat laporan polis yang menyatakan Perayu telah merogolnya di pejabat Perayu yang beralamat di No 5454B, Jalan Kenari 20, Bandar Putra, 81000 Kulai, Johor.
[11] Ekoran daripada laporan yang SP1 buat, SP4 dan anggotanya telah membuat tangkapan ke atas Perayu di alamat No 193, Jalan Desa Baiduri 5/2, Taman Desa Baiduri, 81000 Kulai, Johor Darul Takzim.
[12] Siasatan kes telah dijalankan oleh Inspektor Esmal Fahmi Bin Abd Malik [SP9]. Sebaik siasatan diselesaikan, Perayu di tuduh di bawah s 376 Kanun itu.
Merit Rayuan
[13] Sebelum Mahkamah ini menyentuh rayuan oleh Perayu atas sabitan, eloklah di jenguk kembali nas-nas duluan yang memberi panduan dalam menggarap rayuan daripada Mahkamah Rendah.
[14] Saya merujuk kes PP v. Vijaya Raj; [1981] 1 MLJ 43 di mana YA Wan Yahya H ada menzahirkan pandangannya seperti