2025 MarsdenLR 1883
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR
MOHD NAJIB ASADDOK LWN. MUHAMMAD FARQHAN KHAIRUDIN
[Guaman Sivil No: WA-23CY-39-09/2022]
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Tindakan ini merupakan suatu tuntutan fitnah yang difailkan oleh plaintif terhadap defendan. Ia berkaitan dengan dua video yang telah diterbitkan oleh defendan di platform media sosial TikTok masing-masing pada 21 Julai 2022 dan tiga minggu kemudian.
[2] Plaintif mendakwa bahawa kedua-dua video tersebut mengandungi kenyataan-kenyataan bersifat fitnah yang secara langsung mencemarkan nama baik serta menjejaskan reputasinya sebagai seorang jurulatih pemasaran dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Momentum Digital Sdn Bhd.
[3] Sebagai tindak balas kepada tindakan ini, defendan telah memfailkan satu tuntutan balas. Dalam tuntutan balas tersebut, defendan mendakwa bahawa plaintif juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah terhadap dirinya melalui satu siaran langsung di TikTok yang dibuat oleh plaintif pada tarikh yang sama dengan penerbitan video kedua.
[4] Kedua-dua pihak dalam tindakan ini merupakan pempengaruh media sosial yang aktif di platform TikTok serta memiliki jumlah pengikut yang signifikan. Plaintif menjalankan aktiviti media sosialnya melalui akaun yang dikenali sebagai "@najibasaddok". Defendan pula menggunakan akaun dengan nama "@farqhan.com". Pertikaian yang timbul antara kedua-dua pihak berlaku dalam konteks perdebatan awam yang lebih luas mengenai isu ketelusan dan keberkesanan dalam kalangan jurulatih atau "sifu" perniagaan yang menawarkan kursus dan bimbingan perniagaan secara dalam talian.
[5] Perbicaraan penuh telah dijalankan selama dua hari berturut-turut, iaitu pada 4 November 2024 dan 5 November 2024. Kedua-dua pihak telah hadir memberi keterangan masing-masing. Plaintif, Mohd Najib bin Asaddok, telah memberi keterangan sebagai SP1. Manakala defendan, Muhammad Farqhan bin Khairudin, telah memberikan keterangannya sebagai SD1.
[6] Setelah mempertimbangkan secara menyeluruh segala keterangan serta hujah yang telah dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah berpendirian bahawa tuntutan plaintif adalah berasas dan wajar dibenarkan. Sebaliknya, mahkamah mendapati bahawa tuntutan balas yang difailkan oleh defendan tidak mempunyai merit dan oleh itu, harus ditolak.
Latar Belakang Fakta
[7] Plaintif merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Momentum Digital Sdn Bhd Beliau juga berperanan sebagai seorang jurulatih pemasaran yang aktif menjalankan aktiviti promosi dan pendidikan keusahawanan melalui platform media sosial, khususnya TikTok.
[8] Plaintif mengendalikan akaun TikTok menggunakan nama pengguna "@najibasaddok". Melalui platform tersebut, beliau menawarkan latihan serta khidmat konsultasi dalam bidang pemasaran digital kepada para usahawan tempatan.
[9] Defendan pula ialah seorang pempengaruh media sosial yang juga aktif di TikTok. Beliau menguruskan akaun dengan nama pengguna "@farqhan.com" yang mempunyai kira-kira 136,500 pengikut. Akaun TikTok defendan ditetapkan dalam mod awam. Tetapan dalam mod ini membolehkan mana-mana pengguna TikTok mengakses, menonton dan berkongsi kandungan video yang dimuat naik oleh defendan.
[10] Pada 21 Julai 2022, defendan telah memuat naik satu video di akaun TikToknya dengan tajuk "BERBALOI TAK SAMBUNG DEGREE & MASTER?". Video tersebut merupakan hasil penerbitan semula daripada satu video asal yang sebelumnya telah diterbitkan oleh seorang pengguna TikTok lain dengan nama "@alepza11".
[11] Dalam versi defendan, beliau telah memberi respons kepada satu komen yang ditinggalkan oleh pengguna "@shauqi_afs" yang bertanyakan pandangan defendan berhubung dengan keberkesanan kelas-kelas perniagaan yang dianjurkan oleh beberapa individu, termasuk Azizan Osman, Najib Asaddok dan lain-lain.
[12] Dalam video berkenaan, terdapat beberapa kenyataan yang didakwa oleh plaintif sebagai memfitnah. Antaranya termasuk yang berikut:
(a) "sejujurnya bang, saya tak pandai berniaga pun. Saya pernah ada produk tapi gagal. Saya malas dah. Sekarang saya buat class macam ni je. Modal pun air liur je. Mudahkan?",
(b) "Saya bukan menipu, saya merapu. Tekni