2025 MarsdenLR 1767
MAHKAMAH SESYEN TEMERLOH
PENDAKWA RAYA LWN. LEE LIN WAH
[Perbicaraan Jenayah No: CB-62ATIP-1-09/2021]
PENGHAKIMAN
Permulaan
[1] Alasan penghakiman ini disediakan setelah pihak Tertuduh tidak berpuas hati terhadap keputusan saya yang diberikan pada 14 November 2024 di mana saya telah mensabit dan menghukum Tertuduh ke atas 2 Pertuduhan Pindaan seperti berikut:
(a) Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dihukum penjara selama 5 tahun mulai 14 November 2024 dan denda RM20,000.00 gagal bayar 1 tahun penjara di bawah s 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.
(b) Seksyen 12(1) Akta Pasport 1966 dan dihukum denda RM5,000.00 gagal bayar 5 bulan penjara di bawah s 12(1) Akta Pasport 1966.
(c) OKT juga diperintahkan membayar pampasan kepada pengadu sebanyak RM60,000.00 kalau gagal bayar 1 tahun penjara di bawah s 66A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.
[2] Rayuan adalah terhadap keseluruhan keputusan tersebut.
[3] Dalam alasan penghakiman ini, Tertuduh akan dirujuk sebagai Tertuduh/OKT sebagaimana kedudukannya di Mahkamah Sesyen. Manakala mangsa akan dirujuk sebagai Kem Channy.
[4] Kes ini telah didengar oleh 3 orang Hakim Mahkamah Sesyen termasuk saya di mana:
(a) Puan Manira binti Mohd Nor mendengar deposisi pengadu/mangsa.
(b) Puan Norakhmar binti Mohd Sani mendengar keterangan SP2, SP3, SP4, SP5 dan SP6 (separuh).
(c) Tuan Haji Jamaludin bin Haji Mat mendengar keterangan SP6, SP7, SP8, SB1, SB2 dan SB3.
PLI
[5] OKT, seorang warga negara Malaysia telah dituduh dengan dua Pertuduhan Pindaan sebagaimana berikut:
Pertuduhan Pindaan Pertama
Bahawa kamu pada bulan Januari 2019 hingga 5 Ogos 2021, di alamat No 2, Lorong Gemilang 2, Taman Gemilang Fasa 2, dalam daerah Jerantut, dalam negeri Pahang Darul Makmur telah memperdagangkan Kem Channy, No Pasport: N1919238 bagi maksud eksploitasi pengabdian. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Hukuman
Penjara selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga didenda.
Pertuduhan Pindaan Kedua
Bahawa kamu pada 5 Ogos 2021, jam lebih kurang 5.00 petang, di alamat No 2, Lorong Gemilang 2, Taman Gemilang Fasa 2, dalam daerah Jerantut, dalam negeri Pahang Darul Makmur telah didapati tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikan kamu, pasport milik Kem Channy, No Pasport: N1919238 yang dikeluarkan bagi penggunaan penama itu. Oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan di bawah s 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan boleh dihukum di bawah s 12(1) Akta yang sama.
Hukuman
Denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
[6] Di atas kedua-dua Pertuduhan Pindaan tersebut, OKT mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
[7] OKT, telah diwakili oleh peguam-peguam terpelajar daripada Tetuan Ibrahim Kamaruddin & Associates, Jerantut.
[8] Pihak pendakwaan telah memanggil 8 orang saksi bagi membuktikan satu kes prima facie di peringkat kes pendakwaan.
[9] Di akhir kes pendakwaan, saya telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas OKT sebagaimana kedua-dua Pertuduhan Pindaan. Justeru itu, OKT telah dipanggil membela diri ke atas kedua-dua Pertuduhan Pindaan.
[10] Di peringkat pembelaan, OKT telah memilih memberi keterangan secara bersumpah dan telah memanggil isterinya, Chun Fong Kuan (SB2) dan bekas tukang masaknya (SB3) sebagai saksi-saksi bagi menyokong keterangannya.
[11] Di akhir kes pembelaan, saya berpuas hati bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah di atas kes pendakwaan. Justeru itu, OKT disabitkan dan dihukum ke atas kedua-dua Pertuduhan Pindaan.
[12] Alasan penghakiman ini akan membincangkan kedua-dua peringkat perbicaraan tersebut.
Kes Pendakwaan
Saksi-Saksi Pendakwaan
[13] Bagi membuktikan satu kes prima facie, pihak pendakwaan telah mengemukakan 8 orang saksi sebagaimana berikut:
SP1: Kem Channy, seorang warganegara Kemboja yang merupakan mangsa dalam kes ini.
SP2