2025 MarsdenLR 1887
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KOTA BHARU
KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN SDN BHD LWN. HUSAM MUSA
[Saman No: DA-23CY-06-09/2017]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Kes ini melibatkan tuntutan tort fitnah oleh plaintif (Plf) ke atas defendan (Def) berkaitan 3 kenyataan yang dikeluarkan oleh def.
[2] Plf adalah merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) manakala def adalah merupakan seorang ahli politik yang dikenali dan merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan di DUN Salor dan juga merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) di PKINK dari tahun 2004 sehingga 2013.
Kenyataan-Kenyataan Yang Menjadi Pertikaian
[3] Terdapat 3 kenyataan yang menjadi isu di dalam kes ini.
[4] Kenyataan pertama adalah berdasarkan kepada satu hantaran di halaman Facebook def yang diterbitkan pada 17 Januari 2017 di atas nama Husam Musa. Ia ditandakan sebagai P3.
[5] Kenyataan pertama ini berkait dengan satu lagi hantaran Facebook yang ditandakan sebagai P4 yang diterbitkan di atas nama Dato' Husam Musa.
[6] Kenyataan kedua adalah berdasarkan kepada satu ceramah yang dibuat oleh def sekitar Jun 2017. la dikemukakan melalui rakaman cakera padat (CD) dan ditandakan sebagai P5.
[7] Manakala kenyataan ketiga adalah berdasarkan kepada satu ceramah oleh def yang diberikan pada 27 Oktober 2017 yang turut dikemukakan melalui rakaman di dalam cakera padat dan ianya ditandakan sebagai P18.
Tuntutan Plaintif
[8] Plaintif telah mengemukakan seramai 6 orang saksi dan memohon relif-relif seperti berikutt:
(a) perintah untuk ganti rugi am dan/atau khas yang bersesuaian ditaksirkan oleh mahkamah dibayar oleh def kepada plf terhadap fitnah dan/atau kenyataan palsu serta niat jahat (malicious falsehood) Def tersebut;
(b) perintah supaya ganti rugi teruk dan tauladan dibayar oleh def kepada plf;
(c) perintah untuk def membuat permohonan maaf dengan mengiklankan permohonan maaf tersebut di dalam akhbar nasional harian Bahasa Melayu selama satu (1) hari tanpa syarat yang mana terma-terma permohonan maaf adalah ditentukan dan dengan persetujuan plf;
(d) perintah untuk permohonan maaf secara terbuka kepada plf dengan menyiarkan permohonan maaf di dalam laman Facebook peribadi def dan laman fanpage kelolaan dan/atau dalam kawalan def tersebut tanpa syarat yang mana terma-terma permohonan maaf adalah ditentukan dan dengan persetujuan plf;
(e) perintah untuk menarik balik dan/atau memadam kenyataan berunsur fitnah yang telah ditulis dan diterbitkan terhadap plf tersebut serta-merta;
(f) satu injunksi menghalang def sama ada melalui diri sendiri dan/atau pengkhidmat-pengkhidmatnya dan/atau agen-agennya menyatakan dan/atau menerbitkan dan/atau menyebabkan sebarang penerbitan sebarang kenyataan, penulisan dan/atau posting berunsur fitnah di laman Facebook def dan/atau melalui apa cara sekalipun terhadap plf secara lisan dan/atau media percetakan dan/atau media sosial; dan
(g) satu injunksi menghalang def sama ada melalui diri sendiri dan/atau pengkhidmat-pengkhidmatnya dan/atau agen-agennya menyatakan dan/atau menerbitkan dan/atau menyebabkan sebarang penerbitan sebarang kenyataan, penulisan dan/atau posting berkenaan tindakan saman dan tuntutan ini di laman Facebook def dan/atau melalui apa cara sekalipun terhadap plf secara lisan dan/atau media percetakan dan/atau media sosial.
[9] Manakala Def telah mengemukakan seramai 3 orang saksi dan pendirian def adalah jelas iaitu kenyataan-kenyataan yang diberikan olehnya adalah perkara benar, mempunyai justifikasi dan merupakan satu kenyataan yang berpatutan atau ulasan saksama (fair comment).
Prinsip Undang-Undang Berkaitan Tuntutan Tort Fitnah
[10] Secara amnya undang-undang berkenaan tort fitnah adalah sesuatu kenyataan ke atas mana-mana orang akan menjadi fitnah jika kesannya adalah mendedahkan pihak yang difitnah, dalam mata masyarakat, kepada kebencian, ejekan atau penghinaan atau untuk merendahkan martabatnya.
[11] Adalah menjadi satu prinsip yang mantap dalam undang- undang berkaitan tort fitnah di Malaysia bahawa pihak yang menuntut perlu untuk membuktikan elem