2025 MarsdenLR 3918
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
MOHD IRFAN ISHAK LWN. PENDAKWA RAYA
[Rayuan Jenayah No: BA-42H-37-09/2024]
PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Ini adalah rayuan daripada perayu terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim bicara ke atas beliau pada 11 September 2024 bagi kesalahan di bawah s 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dan boleh dihukum di bawah s 15(1) ADB 1952 serta dibaca bersama s 38B Akta yang sama.
[2] Atas pengakuan salah, perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam (6) bulan dari tarikh hukuman selesai bagi Mahkamah Sesyen Jenayah Temerloh Kes No CB-62D-212-08/2024 (iaitu penjara 7 tahun mulai 17 March 2024 dan 3 kali sebatan) dan juga diperintahkan menjalani pengawasan di bawah s 38B ADB 1952 selama dua (2) tahun selepas selesai hukuman pemenjaraan.
Latarbelakang
[3] Pertuduhan pindaan terhadap perayu adalah berbunyi sedemikian:
Bahawa kamu pada 20 February 2024 jam lebih kurang 6.00 petang bertempat di tandas Balai Poiis USJ 8, IPD Subang Jaya, dalam daerah Petaling, dalam negeri Selangor Darul Ehsan, didapati kamu telah memberikan kepada diri kamu sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dan boleh dihukum dibawah s 15(1) akta yang sama.
Hukuman: Denda tidak melebihi RM5,000.00 atau pemenjaraan tidak lebih dua tahun.
Seksyen 38B ADB: Perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 3 tahun.
[4] Menurut nota keterangan mahkamah bicara serta perenggan 7 alasan penghakiman, pertuduhan tersebut telah dibacakan dan diterangkan kepada perayu dalam Bahasa Melayu di mana perayu telah mengaku salah ke atas pertuduhan tersebut.
[5] Hakim bicara telah menerima pengakuan salah tanpa syarat perayu setelah berpuas hati (i) perayu memahami sifat dan akibat pengakuan salahnya tersebut serta (ii) Perayu mengesahkah benar akan fakta kes (ekshibit P1) serta kesemua ekshibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
[6] Di dalam mitigasinya, perayu yang tidak diwakili peguam telah merayu supaya hukumannya diringankan dan diberikan hukuman minima bermula dari tarikh tangkapnya pada 20 February 2024 dan mohon supaya dipenjarakan di penjara Bentong bagi memudahkan keluarga melawatnya nanti. Perayu juga menyatakan beliau telah ditangkap pada 20 February 2024 dan terus dituduh di bawah s 39 ADB 1952 di Mahkamah Sesyen Jenayah Temerloh. Dalam pada itu, perayu sedang menjalani hukuman bagi kesalahan tersebut di Penjara Sungai Buloh bermula 13 March 2024.
[7] Justeru itu, hakim bicara telah memperolehi butir-butir hukuman daripada pihak Penjara Sg. Buloh di mana hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Temerloh Kes No CB-62D-212-08/2024 ke atas perayu adalah hukuman pemenjaraan selama tujuh (7) tahun bermula 17 March 2024 dan tiga (3) kali sebatan diikuti dua (2) tahun pengawasan selepas selesai hukuman pemenjaraan.
[8] Ekoran dari pengakuan salah tersebut dan setelah mendengar mitigasi perayu, perayu telah disabitkan oleh hakim bicara dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam (6) bulan dari tarikh hukuman selesai bagi Mahkamah Sesyen Jenayah Temerloh Kes No CB-62D-212-08/2024 (iaitu penjara 7 tahun mulai 17 March 2024 dan 3 kali sebatan) dan juga diperintahkan menjalani pengawasan di bawah s 38B ADB 1952 selama dua (2) tahun selepas selesai hukuman pemenjaraan.
[9] Terkilan dengan hukuman tersebut, perayu telah memfailkan Notis Rayuan bertarilkh 23 September 2024 agar hukuman yang dikenakan ke atasnya dapat berjalan serentak dengan hukuman kes Mahkamah Sesyen Jenayah Temerloh Kes No CB-62D-212-08/2024 atau secara alternatifnya, bermula dari tarikh sabitan (11 September 2024) di bawah .
Penghujahan Perayu
[10] Di dalam penghujahannya, peguambela perayu telah menimbulkan isu-isu berikut:
(a) hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal melaksanakan budi bicara secara saksama sebagaimana diperuntukkan di bawah s 292 KAJ apabila gagal mengambil kira prinsip keseluruhan hukuman ("totality principle") semasa memerintahkan hukuman enam (6) bulan penj