2025 MarsdenLR 4258
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SUNGAI PETANI
AHMAD FAUZI MD YAHYA & YANG LAIN LWN. AB RAHMAN MD YAHYA
[Guaman Sivil No: KB-22NCVC-12-05/2024]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Kes ini dibicarakan pada 28 Julai 2025. Setelah meneliti dan menimbang surat cara kes ini serta hujahan bertulis dan hujahan lisan kedua pihak, Mahkamah memutuskan untuk membenarkan sebahagian tuntutan plaintif-plaintif dan tuntutan balas defendan dan menolak sebahagian lagi tuntutan plaintif-plaintif dan tuntutan balas defendan. Berikut alasan untuk keputusan tersebut.
Ikatan Pliding (Eksibit A)
Pernyataan Tuntutan
[2] Kesemua Plaintif dan Defendan adalah bersaudara di mana mereka anak-anak mendiang Md Yahya bin Che Mat (Md Yahya) tetapi berlainan ibu. Plaintif-Plaintif mempunyai seorang lagi saudara bernama Mat Din bin Md Yahya (Mat Din) yang telah meninggal dunia.
[3] Berdasarkan Surat Pengakuan Nazir Umanah bertarikh 27 Ogos 1983 (Surat), Md Yahya memindahmilik 4/11 bahagian tanah yang kini dipegang di bawah hak milik GM 2765, Lot 2419, Mukim Jeneri Daerah Sik, Kedah Darul Aman (Bahagian) (Hartanah 1) kepada defendan untuk dipegang sebagai pemegang amanah untuk Plaintif-Plaintif dan Mat Din.
[4] Sebahagian dari Hartanah 1 diambil oleh Kerajaan dan defendan menerima pampasan sebanyak RM160,570.00 (Pampasan) untuk pegangan Bahagian tersebut.
[5] Defendan bertindak pecah amanah dan secara frod dan enggan memberi kerjasama untuk menyerahkan balik Bahagian atau Pampasan tersebut kepada plaintif-plaintif.
[6] Defendan turut memegang geran untuk tanah yang dipegang di bawah hak milik GM 1673, Lot 3121, Mukim Jeneri, Daerah Sik, Kedah Darul Aman (Hartanah 2) yang didaftarkan atas nama Gayah binti Ghazali, mendiang ibu Plaintif-Plaintif (Gayah) 2/3 bahagian.
[7] Plaintif-Plaintif menuntut relief-relief berikut:
(i) bayaran RM120,427.50 dari Pampasan tersebut;
(ii) serahan balik geran Hartanah 2;
(iii) pindahmilik 3/11 Bahagian tersebut kepada mereka;
(iv) ganti rugi ditaksirkan, faedah dan kos.
Pernyataan Pembelaan Dan Tuntutan Balas
[8] Defendan menafikan menandatangani Surat tersebut dan yang Bahagian tersebut dipindahmilik kepadanya sebagai pemegang amanah bagi pihak Plaintif-Plaintif dan Mat Din.
[9] Defendan mengakui penerimaan Pampasan tersebut tetapi menafikan dia menerima Pampasan itu sebagai pemegang amanah untuk Plaintif-Plaintif dan Mat Din.
[10] Defendan memplidkan kausa tindakan Plaintif-Plaintif dihalang had masa.
[11] Defendan juga memplidkan Md Yahya menggadaikan geran Hartanah 2 kepada seorang bernama M. Kathiresan Chettiar (Chettiar) sebagai jaminan suatu pinjaman. Md Yahya dan Gayah membuat representasi kepada defendan yang sekiranya defendan menjelaskan hutang tersebut dan menebus geran itu, Hartanah 2 akan dipindahmilik kepadanya.
[12] Defendan mendakwa Plaintif-Plaintif menduduki Hartanah 2 tanpa kebenarannya selaku pemilik berkepentingan dan oleh itu dia berhak menuntut ganti rugi.
[13] Defendan menuntut:
(i) Hartanah 2 dipindahmilik kepadanya dan Plaintif-Plaintif memberikan milikan kosong;
(ii) ganti rugi untuk pendudukan tidak sah Plaintif-Plaintif atas Hartanah 2; atau
(iii) secara alternatif, bayaran ganti rugi untuk perbelanjaan yang dikeluarkannya untuk menebus Hartanah 2.
Jawapan Dan Pernyataan Pembelaan Kepada Tuntutan Balas
[14] Plaintif-Plaintif menafikan tindakan mereka dihalang had masa kerana mereka hanya mengetahui defendan pemegang amanah bagi pihak mereka dan Mat Din semasa proses pengambilan tanah.
[15] Mereka menafikan tuntutan balas defendan dan meletakkannya atas beban pembuktian yang kukuh.
Penyata Fakta-Fakta Dipersetujui (Eksibit C)
[16] Pernyataan Fakta Dipersetujui mengandungi fakta-fakta dipersetujui termasuk bahawa defendan didaftarkan atas geran Hartanah 1 seperti berikut:
(i) pemilik 1/11 bahagian;
(ii) pemilik 21/418 bahagian; dan
(iii) pemegang amanah 4/11 bahagian.
Pernyata Isu Untuk Dibicarakan (Eksibit D)
[17] Kes ini melibatkan isu-isu berikut:
(i) sama ada Hartanah 1 dipegang oleh defendan sebagai pemegang amanah untuk Plaintif-Plaintif dan Mat Din; dan
(ii) sama ada defendan berhak menuntut Hartanah 2 dipindahmilik kepadanya.
Perbicaraan
Kes Plaintif
[18] P