2025 MarsdenLR 1232
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
QIAN SUI F&B SDN BHD LWN. EXCELSIUS GLOBAL SDN BHD & YANG LAIN
[Guaman Sivil No: BA-23NCvC-28-07/2023]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Pertikaian utama antara plaintif dan defendan pertama adalah berkisar tentang implikasi perjanjian lesen perniagaan Chun Yang Tea yang dimasuki pada 9 Oktober 2019. Plaintif turut menuntut penyingkapan tirai perbadanan terhadap pengarah-pengarah defendan pertama atas alegasi frod. Dalam masa yang sama, defendan pertama melalui tuntutan balas menuntut ganti rugi am dan khas atas penggunaan hak harta intelek Chun Yang Tea.
[2] Tuntutan-tuntutan tersebut telah diputuskan selepas perbicaraan penuh pada 4 Ogos 2025. Plaintif tidak berpuashati dan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah ini yang menolak tuntutan plaintif dan membenarkan tuntutan balas defendan-defendan. Berikut adalah asas-asas bagi keputusan mahkamah ini.
Fakta Material
[3] Plaintif dan defendan pertama masing-masing merupakan syarikat yang diperbadankan di Malaysia dan berniaga di Negeri Selangor.
[4] Pemegang saham dan pengarah plaintif ialah Teah Boon Ruey dan Low Lay Peng yang merupakan pasangan suami isteri. Manakala 2nd, 3rd and 4th Defendant adalah pengarah dan pemegang saham defendan pertama.
[5] Defendan pertama menjalankan perniagaan utama menjual minuman yang dikenali Chun Yang Tea yang merupakan perniagaan asal dari Taiwan.
[6] Perbincangan awal antara Plaintif dan wakil defendan pertama bermula pada September 2019 untuk plaintif membuka cawangan perniagaan Chun Yang Tea yang membawa kepada Perjanjian Lesen dimasuki pada 9 Oktober 2019 dengan terma defendan pertama bersetuju memberi hak tidak eksklusif kepada plaintif membuka satu cawangan perniagaan Chun Yang Tea. Perniagaan plaintif dijalankan di Taman Segar Kuala Lumpur dan kemudian plaintif berpindah ke Cheras Leisure Mall.
[7] SP1 dan SP2 adalah pasangan suami isteri yang merupakan pengarah dan pemegang saham plaintif.
[8] Plaintif memplidkan kepercayaannya adalah perniagaan tersebut berasaskan francais dan telah melabur kos sebanyak RM980,673.88 setakat Februari 2023. Plaintif telah membayar antara lain lesen RM200,000.00 kepada defendan pertama pada 18 September 2019 berjumlah RM10,000.00, RM140,000.00 pada 18 Oktober 2019 dan baki RM50,000.00 pada 26 Oktober 2019.
[9] Pada Mac 2023 plaintif mendapati defendan pertama tidak mempunyai lesen francais menurut Akta Francais 1998 dan menuntut bahawa defendan pertama tidak mempunyai hak untuk memasuki perjanjian tersebut dan tidak berhak menjalankan perniagaan francais.
[10] Menurut Plaintif, defendan-defendan telah memberi representasi salah dan menipu plaintif untuk melabur dalam perniagaan Chun Yang Tea. Maka plaintif ingin menyingkap tirai perbadanan dan menjadikan 2nd sehingga 4th Defendant bertanggungjawab.
[11] Tuntutan plaintif adalah deklarasi perjanjian tersebut tidak sah, pemulangan wang pelaburan, ganti rugi am dan teladan serta faedah dan kos.
[12] Defendan-defendan menyatakan tiada hubungan privity antara plaintif dengan 2nd, 3rd and 4th Defendant selain sebelum perjanjian tersebut dimasuki tidak ada komunikasi antara plaintif dengan 3rd and 4th Defendant. 2nd sehingga 4th Defendant menyatakan tiada manfaat peribadi yang dinikmati selain defendan pertama mempunyai 9 pemegang saham. Tuntutan plaintif disifatkan oleh defendan-defendan sebagai fikiran terkemudian kerana semasa perbincangan awal tiada perbincangan sama ada Chun Yang Tea adalah perniagaan francais.
Perbicaraan Penuh
[13] Perbicaraan penuh berlangsung pada 13 Januari 2025, 14 Januari 2025 dan 16 Mei 2025 dengan plaintif mengemukakan dua orang saksi iaitu Teah Boon Ruey (SP1) dan Low Lay Peng (SP2) dan memberi keterangan melalui khidmat jurubahasa Mandarin. Defendan-defendan memanggil Khong Wai Wen (SD1) dan Gan Thin Hui (SD2) sebagai saksi.
Isu-Isu Untuk Dibicarakan
[14] Isu-isu yang perlu dibicarakan dan diputuskan adalah:
(i) Sama ada Perjanjian Lesen adalah satu perjanjian francais dan terbatal atau tidak sah kerana melanggar Akta Francais 1998.
(ii) Sama ada defendan-defendan bertanggungjawab memulangkan jumlah pelaburan dan pembayaran plainti