2025 MarsdenLR 1238
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KOTA BHARU
KURNIA MAKSIMAL SDN BHD LWN. PERBADANAN PEMBANGUNAN LADANG RAKYAT & SATU LAGI
[Guaman Sivil No: DA-22NCVC-28-07/2024]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Kurnia Maksimal Sdn Bhd ("Plaintif") telah memfailkan notis permohonan ex-parte (kandungan 3) di bawah A 29 K 1, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ("KKM 2012") untuk mendapatkan perintah-perintah seperti berikut:
a) sementara menunggu pelupusan sepenuhnya tindakan ini, satu perintah injunksi interim bahawa Defendan Pertama sama ada secara sendiri dan/atau melalui pengarah-pengarah, wakil-wakil, ejen-ejen dan/atau pekerja-pekerja dilarang untuk membatalkan atau mengeluarkan pendaftaran Pajakan atas Pajakan Negeri 8224, Lot 2438, Mukim Ulu Nenggiri, Kelantan Darul Naim yang didaftarkan atas nama plaintif;
b) sebagai lanjutan daripada para 1 di atas, sementara menunggu pelupusan sepenuhnya tindakan ini, satu perintah penggantungan ("stay") sementara diberi terhadap Defendan Kedua, sama ada melalui wakil-wakil, ejen-ejen dan/atau pekerja-pekerja, daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memberi kesan kepada para 1 di atas, termasuk tetapi tidak terhad kepada membatalkan atau mengeluarkan pendaftaran Pajakan tanah tersebut yang didaftarkan atas nama plaintif, bagi mengekalkan status quo;
c) sementara menunggu pelupusan sepenuhnya tindakan ini, satu perintah injunksi interim bahawa Defendan Pertama sama ada secara sendiri dan/atau melalui pengarah-pengarah, wakil-wakil, ejen-ejen dan/atau pekerja-pekerja dilarang, dengan apa-apa caranya, untuk terus melaksanakan Perjanjian yang dimasuki antara Defendan Pertama dan Goshen Plantation Sdn Bhd ("GPSB") yang bertarikh 6 Jun 2024;
d) sementara menunggu pelupusan sepenuhnya tindakan ini, satu perintah injunksi interim bahawa Defendan Pertama sama ada secara sendiri dan/atau melalui pengarah-pengarah, wakil-wakil, ejen-ejen dan/atau pekerja-pekerja dilarang daripada berhubung dan/atau mengadakan perjumpaan dan/atau perbincangan dengan pengarah-pengarah, wakil-wakil, ejen-ejen dan/atau pekerja-pekerja dari 25 syarikat-syarikat lain yang mempunyai Perjanjian Usaha Sama ("Joint Venture Agreements") dengan Marvel Charisma Sdn Bhd (MCSB);
e) sementara menunggu pelupusan sepenuhnya tindakan ini, pohonan-pohonan dalam para (a) hingga (d) di atas, satu Perintah Injunksi Ad Interim dibenarkan terhadap defendan-defendan dalam dan/atau mengikut terma-terma perenggan-para (a) hingga (d) di atas.
[2] Mahkamah ini telah membenarkan perintah injunksi interim (ex- parte) pada 17 Julai 2024. Namun, pada 23 Disember 2024, Mahkamah ini telah menolak permohonan plaintif dalam kandungan 3 tersebut setelah mendengar pihak-pihak secara inter parte dengan kos dalam kausa.
[3] Selain kandungan 3, Plaintif juga telah memfailkan Notis Permohonan (kandungan 42) di bawah A 4 K 1 dan A 92 K 4 KKM 2012 bagi mendapatkan kebenaran untuk membuat permohonan penyatuan prosiding Writ Saman No DA-22NCvC-28- 07/2024 dalam Mahkamah ini disatukan dengan Writ Saman Terpinda No DA-22NCvC-17-04/2024 dalam mahkamah yang lagi satu.
[4] Pada 16 Julai 2025, Mahkamah ini memutuskan untuk menolak kandungan 42 dengan kos dalam kausa.
[5] Plaintif yang tidak puashati dengan keputusan Mahkamah ini telah memfailkan notis rayuan (kandungan 35) ke Mahkamah Rayuan bertarikh 24 Disember 2024 bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah ini ke atas kandungan 3. Manakala rayuan terhadap keputusan Mahkamah ini ke atas kandungan 42 adalah melalui notis rayuan (kandungan 87) bertarikh 18 Julai 2025. Alasan Penghakiman ini adalah merupakan alasan-alasan Mahkamah ini yang menolak kedua-dua permohonan plaintif dalam kandungan 3 dan kandungan 42 tersebut.
Latar Belakang Kes
[6] Defendan Pertama (Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat) adalah pemunya berdaftar tanah yang dikenali sebagai Pajakan Negeri 8224, Lot 2438, Mukim Ulu Nenggiri, Kelantan ("Tanah tersebut").
[7] Melalui satu Perjanjian Pajakan (Plantation Land Lease Agreement) bertarikh 10 Januari 2016 sepertimana dalam exh "CGF-2" kepada Afidavit Sokongan plaintif, Defendan Pertama telah bersetuju untuk memberi pajak tanah tersebut kepada plaintif selama 60 tahun dari tarik