2025 MarsdenLR 430
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
MOHAMMAD ESA NOIN LWN. KOPERASI PERUMAHAN ANGKATAN TENTERA BERHAD (LAMP 7)
[Guaman Sivil No: BA-22NCVC-469-11/2024]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Lampiran 7 adalah permohonan defendan untuk membatalkan Penyataan Tuntutan plaintif di bawah A 18 k 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM).
[2] Permohonan telah dibenarkan pada 23 Mei 2025 dengan kos.
[3] Terkilan dengan keputusan tersebut, plaintif kini merayu ke Mahkamah Rayuan dan berikut adalah alasan saya.
Pihak-Pihak
[4] Defendan adalah sebuah koperasi yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 dan merupakan pemilik berdaftar bagi sebuah premis iaitu No 1 dan 3, Pusat Perdagangan Suri Putri, Persiaran Jubli Perak, s 20, 40300 Shah Alam Selangor (premis sewaan) yang menjadi subjek pertikaian dalam guaman ini.
[5] Manakala, plaintif adalah penyewa yang menyewa premis milik defendan untuk menjalankan perniagaan perhotelan dan tempat penginapan atas nama Twenty Trees Boutique Hotel.
Latar Belakang Fakta Kes
[6] Defendan dan plaintif telah memasuki satu Perjanjian Sewaan pada 19 November 2021 di mana defendan bersetuju untuk menyewakan premis tersebut kepada plaintif bagi tempoh selama 3 tahun bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2024 beserta lanjutan tempoh tiga (3) tahun, tertakluk kepada terma dan syarat.
[7] Plaintif telah membayar wang cagaran sewa dan utiliti sepertimana dalam Perjanjian Sewaan. Tujuan sewaan adalah untuk plaintif menjalankan perniagaan perhotelan dan penginapan tetamu sepertimana disyaratkan dalam para 5 Perjanjian Sewaan.
[8] Sebelum Perjanjian Sewaan tersebut ditandatangani, tidak dinafikan bahawa plaintif ada meminta kebenaran defendan untuk memasuki premis tersebut lebih awal bagi tujuan memulakan kerja-kerja baik pulih dengan kos dikatakan ditanggung oleh plaintif. Berikutan dengan itu, defendan telah menyediakan surat cadangan penyewaan dan surat akujanji sebelum kunci-kunci premis diserahkan.
[9] Antara terma-terma penting yang terkandung dalam Perjanjian Sewaan tersebut termasuklah:
a) Jumlah sewa yang perlu dibayar plaintif adalah sebanyak RM25,000.00 sebulan;
b) Plaintif berakujanji untuk membayar kepada defendan sewa bulanan yang dipersetujui dan cara pembayaran yang dipersetujui. Sekiranya gagal, defendan berhak untuk mengenakan faedah sebanyak 5% setahun ke atas jumlah sewa bermula dari tarikh lewat bayar sehingga tarikh penyelesaian; dan
c) Pada penamatan penyewaan atau penamatan Perjanjian Sewa tersebut, plaintif hendaklah menyerah balik premis yang disewa tersebut kepada defendan dalam keadaan memuaskan.
[10] Perjanjian Sewaan telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.
[11] Plaintif kemudiannya telah gagal membuat bayaran sewa pada 1 April 2022 dan hanya membuat sedikit bayaran pada 21 Jun 2022 walaupun tuntutan telah dibuat oleh defendan bagi sewa yang tertunggak.
[12] Meskipun bayaran sewa yang dituntut masih tidak dijelaskan, plaintif terus menduduki premis tersebut untuk menjalankan perniagaan sewaan penginapan.
[13] Lantaran keadaan tersebut, Defendan kemudiannya memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen melalui Guaman No BA-B52- 32-06/2023 terhadap plaintif (Guaman 32) bagi mendapatkan tuntutan sewa tertunggak sebanyak RM305,644.88, sewa dua kali ganda sebanyak RM50,000.00 sebulan dan faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah sewa tertunggak.
[14] Plaintif telah memfailkan pembelaannya (untuk Guaman 32 di atas) tanpa memfailkan tuntutan balas. Perbicaraan kes di Guaman 32 telah dijalankan sehingga usai keterangan dari semua saksi defendan, tetapi sebelum plaintif memulakan pembelaannya, pihak-pihak mencapai satu penyelesaian bersama.
[15] Dengan persetujuan kedua-dua pihak, satu Penghakiman Persetujuan telah direkodkan bagi Guaman 32 pada 6 Ogos 2024.
[16] Antara terma-terma yang terkandung dalam Penghakiman Persetujuan tersebut termasuklah:
a) Plaintif hendaklah menyerahkan milikan kosong premis tersebut kepada defendan pada atau sebelum 15 September 2024;
b) Plaintif hendaklah membayar 50% dari jumlah tunggakan sewa RM305,644.88 iaitu sebanyak RM152,822.44 kepada defendan dalam masa enam puluh (60) hari mulai 19 Julai 2024.
c) Jika plaintif