2025 MarsdenLR 5708
MAHKAMAH SESYEN TEMERLOH
YONG LEONG & YANG LAIN LWN. MUNIANDY ELUMALAI & SATU LAGI
[Guaman Sivil No: CB-A53KJ-205-09/2021]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Ini adalah rayuan oleh Defendan-Defendan terhadap keputusan Mahkamah yang telah diberikan pada 25 Oktober 2024 iaitu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah yang menolak permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 104 bagi meminda Pernyataan Pembelaan, Tuntutan Balas dan Tolakan bertarikh 20 Disember 2021. Lampiran 104 adalah permohonan Defendan-Defendan di bawah A 20 k 5 dan A 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk perintah-perintah berikut:
1. Masa untuk memfailkan permohonan ini dilanjutkan (sekiranya perlu);
2. Pernyataan Pembelaan, Tuntutan Balas dan Tolakan pihak Defendan-Defendan bertarikh 20 Disember 2021 dipinda menurut A 20 k 5 dan A 92 k 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 sepertimana yang digariskan dengan dakwat merah dalam Cadangan Pindaan Pernyataan Pembelaan yang dilampirkan bersama-sama ini;
3. Kos permohonan ini adalah kos di dalam kausa;
4. Apa-apa perintah atau relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh Mahkamah Yang Mulai ini.
[2] Alasan-alasan permohonan seperti dalam Afidavit Sokongan Kamaljeet Kaur a/p Bhupinder Singh yang difailkan dengan Notis Permohonan seperti berikut:
A. Pihak Defendan-Defendan ingin meminda Pernyataan Pembelaan, Tuntutan Balas dan Tolakan tersebut untuk melengkapkan "BUTIR- BUTIR KECUAIAN" yang diplidkan dalam Pernyataan Pembelaan, Tuntutan Balas dan Tolakan tersebut dan untuk memasukkan maxim "volunti non fit injuria" sepertimana yang digariskan dengan dakwat merah dalam cadangan Pindaan Pernyataan Pembelaan, Tuntutan Balas dan Tolakan Defendan-Defendan.
Kertas-Kertas Kausa Yang Berkaitan Bagi Permohonan Di Lampiran 104
[3] Kertas-kertas kausa yang berkaitan dengan permohonan di Lampiran 104:
i. Notis Permohonan di Lampiran 104;
ii. Afidavit Sokongan yang diikrarkan oleh Kamaljeet Kaur a/p Bhupinder Singh yang diikrarkan pada 23 September 2024;
iii. Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Rozilawati binti Md Ali pada 3 Oktober 2024;
iv. Afidavit Balasan yang diikrarkan oleh Kamaljeet Kaur a/p Bhupinder Singh bertarikh 8 Oktober 2024.
Hujahan Plaintif-Plaintif
Plaintif-Plaintif menghujahkan seperti berikut.
[4] Tiada alasan dan/atau penjelasan terhadap kelewatan dalam memfailkan Lampiran 104.
[4.1] Permohonan di Lampiran 104 hanya difailkan kira-kira 3 hari sebelum tarikh pemfailan Hujahan Bertulis (selepas pihak-pihak menutup kes masing-masing dan selepas Mahkamah mendengar perbicaraan penuh yang melibatkan keterangan saksi-saksi Plaintif dan Defendan).
[4.2] Terdapat kelewatan yang material dalam memfailkan permohonan tersebut, dengan tiada apa-apa alasan dan penjelasan terhadap kelewatan dalam memfailkan permohonan tersebut.
[4.3] Tanpa alasan dan penjelasan terhadap kelewatan dalam pemfailan permohonan tersebut Mahkamah boleh menolak permohonan ini atas faktor ketiadaan alasan dan penjelasan terhadap kelewatan memfailkannya semata-mata.
[5] Permohonan Defendan-Defendan, akan mengakibatkan "inordinate delay" dan tidak boleh dipampas dengan kos semata-mata.
[5.1] Sekiranya permohonan tersebut dibenarkan, ia akan mengakibatkan satu situasi di mana Plaintif-Plaintif dinafikan hak untuk menjawab dan/atau membidas isu yang baru dibangkitkan Defendan-Defendan, ie "volunti non fit injuria".
[5.2] Susulan daripada itu Plaintif-Plaintif harus membuat permohonan untuk memanggil semula saksi-saksi untuk menjawab dan/atau membidas isu yang baru dibangkitkan tersebut.
[5.3] Kesannya, ia akan mengakibatkan "inordinate delay" kepada tuntutan ini, serta kos-kos lanjut daripada kesemua pihak.
[6] Lampiran 104 adalah satu "tactical manoeuvre", dan sekiranya dibenarkan akan memprejudiskan Plaintif-Plaintif
[6.1] Pindaan yang dicadangkan oleh pihak Defendan-Defendan iaitu memasukkan isu "volenti Non Fit Injuria" adalah suatu "tactical manoeuvre" di pihak Defendan-Defendan, untuk membantah tuntutan Plaintif-Plaintif di atas satu pembelaan yang baharu.
[6.2] Permohonan untuk meminda dan memasukkan isu-isu tersebut, hanya dibuat pada saat-saat akhir, beserta fakta bahawa tiada ap