2025 MarsdenLR 5931
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
Rozi Bainon, J
MINSYAM SDN BHD LWN. – Appellant
Versus
CHOO LIN (M) SDN BHD – Respondent
[Rayuan Sivil No: BA-12B-34-04/2025]
Pengenalan
[1] Rayuan yang dikemukakan ke Mahkamah Tinggi ini ialah mengenai keputusan (selepas bicara penuh) Hakim Mahkamah Sesyen, Mahkamah Sesyen Shah Alam yang memutuskan untuk menolak keseluruhan tuntutan plaintif terhadap defendan dengan kos sebanyak RM20,000.00.
Kausa tindakan ialah mengenai kemungkiran/perlanggaran perjanjian sewaan dan pencerobohan.
[2] Pada peringkat rayuan ini, Mahkamah Tinggi ini menolak rayuan oleh plaintif dan Mahkamah Tinggi ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut.
Dalam alasan penghakiman ini, rujukan pihak-pihak ialah sepertimana mereka di Mahkamah Sesyen.
Tuntutan Plaintif Terhadap Defendan:
[3] Plaintif yang berniaga membuat dan/atau mengeluarkan serta memasarkan produk kesihatan (wellness product) menyewa premis defendan di Mah Sing Industrial Park Shah Alam.
[4] Dalam memo bertarikh 27 September 2021, pengarah plaintif menyatakan bahawa Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd adalah penyewa kepada premis (sebuah kilang) defendan tersebut.
Plaintif melantik syarikat perkhidmatan keselamatan (security guard service) iaitu Vescape Security Sdn Bhd untuk mengawal keselamatan premis yang disewa itu.
Pada 27 September 2021, Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd mengeluarkan notis kepada Vescape Security Sdn Bhd untuk mengosongkan premis dengan segera. Notis tersebut juga menyatakan yang berikut:
• Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd ialah penyewa premis dan bukan plaintif.
• Perjanjian Penyewaan bertarikh 20 September 2021 adalah dirujuk
[5] Plaintif memplidkan bahawa penyewaan premis yang dipindahkan/ditukar kepada Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd adalah tidak sah kerana tiada persetujuan dan/atau tanpa kebenaran dan/atau tanpa pengetahuan plaintif. Plaintif menegaskan bahawa plaintif ialah penyewa yang sah di premis itu.
[6] Plaintif memplidkan bahawa:
• tindakan defendan yang memasuki Perjanjian Penyewaan dengan Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd mengakibatkan plaintif kehilangan haknya sebagai penyewa yang sah untuk menikmati premis yang disewa tanpa apa-apa gangguan dan dapat menyewa dengan aman.
• tindakan defendan adalah suatu kemungkiran covenant dan obligasi untuk melindungi plaintif daripada apa-apa kekacauan dan gangguan berkenaan dengan hak plaintif untuk menikmati penyewaan premis dengan aman sentosa.
• tindakan defendan mengakibatkan plaintif tidak dapat mengakses semua loji, peralatan, mesin, perabot dan aset plaintif yang berada di premis yang disewa itu.
• tindakan Defendan ini mengakibatkan Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd menyekat plaintif untuk memasuki premis yang disewa itu dan kini Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd mempunyai pemilikan yang tidak sah ke atas semua aset plaintif.
• Defendan gagal untuk mengembalikan semula kedudukan plaintif sebagai penyewa premis dan/atau defendan gagal untuk mengarahkan Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd mengosongkan premis.
• Plaintif mengalami kerugian dan menghadapi masalah kewangan akibat kehilangan premis yang disewa dan kehilangan untuk mengakses semua aset plaintif yang diperlukan bagi pengeluaran produk plaintif.
• Plaintif terpaksa menggunakan sumber luar ie menggunakan pihak ketiga untuk mengeluarkan produknya dan ini mengurangkan margin keuntungan plaintif. Kerugian yang dialami ini adalah berterusan.
[7] Sebagai alternatif, plaintif memplidkan bahawa tindakan defendan yang membenarkan Rizq Teja Resources (M) Sdn Bhd untuk memasuki premis dan kekal di premis adalah suatu tindakan pencerobohan premis dan pencerobohan terhadap semua aset plaintif. Sebagai penyewa, plaintif berhak untuk memiliki premis yang disewa dan defendan telah merampas dan melanggar hak tersebut.
Relief Yang Dimohon Oleh Plaintif:
[8] Perenggan 19 pernyataan tuntutan memohon yang berikut:
(a) deklarasi bahawa plaintif ialah penyewa yang sah bagi premis tersebut.
(b) Defendan mengembalikan semula (reinstate) kedudukan plaintif sebagai penyewa bagi premis tersebut.
(c) Defendan mengembalikan milikan (possession) premis tersebut kepada plaintif dengan segera.
(d) Perinta