2025 MarsdenLR 5938
MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR
Arik Sanusi Yeop Johari, J
POS MALAYSIA BERHAD LWN. – Appellant
Versus
PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI KEDAH & YANG LAIN – Respondent
[Saman Pemula No: KA-24NCVC-419-11/2021]
[1] Plaintif telah memfailkan Saman Pemula seperti di Kandungan 1 untuk mendapatkan perintah-perintah seperti yang berikut:
(a) bahawa keputusan Defendan Pertama bertarikh 27 September 2021 (selepas ini dirujuk sebagai "Keputusan tersebut") (rujuk exh "PI-7", Afidavit Sokongan plaintif (Kandungan 2)) yang antara lain menyatakan:
(i) bahawa permohonan untuk membatalkan catitan "Lot Untuk Orang Melayu" di atas surat-surat hak milik 23 unit hartanah di Taman Seri Berlian, Mukim Bandar Kuah, Daerah Langkawi, Kedah, iaitu Lot 3479 - 3480 (GM 4740 dan 4743), Lot 3530 - 3539 (GM 4778 - 4787) dan Lot 3678 - 3688 (GM 4883 - 4893) (selepas ini dirujuk sebagai "Hartanah-Hartanah tersebut") hanya boleh dikemukakan setelah Hartanah-Hartanah tersebut dipindahmilik ke atas Plaintif sebagai pemilik berdaftar dan dikemukakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan) Negeri Kedah; dan
(ii) bahawa pendaftaran pindahmilik Hartanah-Hartanah tersebut hanya dapat dilaksanakan melalui Borang 14A dengan syarat bahawa Plaintif mengemukakan permohonan untuk diisytiharkan sebagai "Melayu" bagi tujuan pindahmilik Hartanah-Hartanah tersebut, yang mana merupakan lot-lot yang diperuntukkan penjualan kepada Orang Melayu,
menjadi batal dan diketepikan dengan serta-merta oleh mahkamah yang Mulia ini;
(b) bahawa catitan "Lot Untuk Orang Melayu" di atas surat-surat hak milik Hartanah-Hartanah tersebut adalah tidak sah dan hendaklah dibatalkan dengan serta-merta oleh defendan-defendan yang mengendorskan yang sama di atas surat-surat hakmilik tersebut;
(c) bahawa defendan-defendan hendaklah dengan serta-merta mengambil segala dan/atau apa-apa tindakan yang perlu bagi mendaftarkan pindahmilik Hartanah-Hartanah tersebut kepada nama Plaintif selaku pemilik sah, benefisial dan berekuiti ke atas Hartanah-Hartanah tersebut tanpa apa-apa keperluan terdahulu untuk diisytiharkan sebagai "Melayu";
(d) bahawa Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan ini diberi kuasa dan hendaklah dengan serta-merta menandatangani dan menyempurnakan memorandum pindahmilik Hartanah-Hartanah tersebut bagi pihak Landrise Development Sdn Bhd (selepas ini dirujuk sebagai "Landrise") dan menyerahkan yang sama kepada Plaintif untuk didaftarkan dengan Defendan Pertama dan/atau Kedua;
(e) bahawa kesemua pihak yang terlibat, termasuk tetapi tidak terhad kepada defendan-defendan, hendaklah mengambil segala langkah yang perlu dan sewajarnya untuk memberi kesan kepada perintah-perintah/relif-relif ini;
(f) bahawa plaintif adalah bebas dan dikecualikan daripada membayar apa-apa yuran pendaftaran pindahmilik dan apa- apa denda/penalti lewat (sekiranya ada) yang disebabkan kelewatan pendaftaran pindahmilik Hartanah-Hartanah tersebut;
(g) bahawa kos adalah dalam kausa; dan
(h) lain-lain perintah dan/atau relif yang difikirkan wajar, adil dan/ataupun suai manfaat oleh mahkamah yang Mulia ini.
[2] Alasan Plaintif memfailkan permohonan Saman Pemula tersebut adalah seperti yang berikut:
(a) Defendan Pertama telah, melalui Keputusan tersebut, mengenakan terma-terma dan/atau pra syarat-pra syarat yang baru, bercanggah sesama sendiri, amat tidak munasabah dan tidak dapat dipenuhi oleh plaintif. Keputusan tersebut juga telah secara efektif menolak permohonan rasmi plaintif melalui surat bertarikh 7 Julai 2021. Sesungguhnya, Plaintif telah pun melaksanakan (exhausted) pra syarat yang dinyatakan dalam Keputusan tersebut, iaitu untuk mengemukakan permohonan untuk diisytiharkan sebagai "Melayu" bagi pindahmilik Hartanah-Hartanah tersebut pada sekitar tahun 208 dan 2013. Walau bagaimanapun, permohonan Plaintif tersebut telah ditolak oleh Defendan Pertama;
(b) plaintif adalah pembeli dan pemilik sah, benefisial dan berekuiti ke atas Hartanah-Hartanah tersebut dan telah membayar sepenuhnya harga balasan (purchase price) Hartanah-Hartanah tersebut kepada Landrise.
Pada sekitar tahun 1995 dan 1996, Landrise telah menyerahkan kepada plaintif surat-surat hak milik asal Hartanah-Hartanah