2025 MarsdenLR 4759
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KLANG
PENDAKWA RAYA LWN. SATIDEVANNAIR RAVI
[Perbicaraan Jenayah No: BL-45A-18-09/2023]
PENGHAKIMAN
A. Latar Belakang
[1] OKT telah dituduh di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39B(2) Akta yang sama.
PERTUDUHAN
"Bahawa kamu pada 9 Mac 2023 jam lebih kurang 11.45 pagi bertempat di Lot 10434-7, Batu 4 Jalan Kampung Jawa di dalam Daerah Klang di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis seberat 265.7 gram. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s 39B(2) Akta yang sama.
[2] OKT tidak mengaku salah atas pertuduhan dan pihak pendakwaan telah memanggil seramai tujuh (7) orang saksi bagi membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT.
B. Fakta Kes Pendakwaan
[3] Pada 9 Mac 2023 jam lebih kurang 10.00 pagi, SP6 (Insp Muhammad Zaini bin Abd Halim) telah menyampaikan satu taklimat penugasan operasi kepada pegawai dan anggota yang terlibat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Selangor.
[4] Taklimat tersebut berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah jenis Ganja oleh satu lelaki India di rumah pertama tingkat atas beralamat di Lot 10434-7, Batu 4, Jalan Kampung Jawa, 41000 Klang, Selangor. Seramai 15 orang anggota telah menghadiri taklimat tersebut.
[5] Selesai taklimat, pada jam 11.45 pagi maka SP6 dan pasukan serbuan telah bergerak ke rumah pertama di tingkat atas Lot 10434-7, Batu 4, Jalan Kampung Jawa, 41000 Klang Selangor. Setibanya di hadapan rumah tersebut, SP6 mendapati pintu gril bermangga dan pintu rumah dalam keadaan berkunci. SP6 kemudiannya mengetuk pintu beberapa kali dan ianya telah dibuka oleh seorang lelaki India yang dicamkan oleh SP6 sebagai OKT.
[6] SP6 telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta OKT membuka gril. Namun begitu, OKT kelihatan ketakutan dan enggan memberikan kerjasama sebaliknya melarikan diri ke dalam rumah.
[7] SP6 kemudiannya mengarahkan D/Kpl Radzi dan D/Kpl Ammar memotong mangga (P9(1) di pintu. Setelah itu, SP6 dan pasukan serbuan telah masuk ke dalam rumah. SP6 kemudiannya membacakan kata-kata amaran di bawah s 37(1)(b) ADB 1952 kepada OKT. OKT kemudiannya telah membawa SP6 dan pasukan serbuan ke bilik pertama sebelah kanan rumah dan dia telah mengambil satu (1) beg kanvas bewarna coklat bertulisan "Merry Christmas" (P18) dari atas almari dengan tangan kanan dan menyerahkan kepada SP6.
[8] Hasil pemeriksaan SP6 di dalam beg kanvas itu dengan disaksikan oleh OKT dan anggota serbuan, dia menjumpai (1) balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering (P19). Di dalam P19, terdapat (2) balutan plastik lutsinar berisi dedaun kering disyaki dadah jenis Ganja (P10 A dan P10B) dengan anggaran berat keseluruhan 282 gram.
[9] Pemeriksaan seterusnya, SP6 merampas (1) mangga yang telah dipotong dan (2) anak kunci yang dijumpai di atas katil bilik tempat kejadian. SP6 kemudian menyediakan borang bongkar dan ditandatangani olehnya dan OKT (P20).
[10] Barang kes dan OKT dibawa balik ke pejabat narkotik IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut. SP6 kemudian membuat laporan polis sebagaimana Klang Repot 8161/23 (P17). Barang kes kemudiannya diserahkan kepada SP7 (Insp Mohd Fuad bin Azis - pegawai penyiasat).
[11] SP7 telah membuat tandaan atas barang kes dan mengambil gambar. Setelah selesai, SP7 memasukkan barang kes ke dalam peti besi simpanan yang berkunci di mana hanya dia yang mempunyai akses. Barang kes dihantar ke Jabatan Kimia pada 16 Mac 2023 dan diterima oleh SP3 (Dr Saravana Kumar a/l Jayaram). SP7 mengambil semula barang kes dari Jabatan Kimia bersama-sama dengan laporan kimia (P11).
[12] Hasil siasatan SP7 atas tempat kejadian adalah rumah itu telah disewa oleh OKT daripada SP5 (Siranjivy Karpaya). SP5 adalah adik saudara kepada SP4 (Vani a/p Ramoo). Rumah itu adalah pada asalnya milik mendiang suami SP4. SP4 menyerahkan rumah itu kepada SP5 untuk mendapatkan penyewa dan SP5 telah menyewakan rumah tersebut kepada OKT dengan harga RM600.00 sebulan. Menuru