2025 MarsdenLR 5944
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
Manira Mohd Nor, J
MICROTRONICS TECHNOLOGY SDN BHD LWN. – Appellant
Versus
TOPLAND TECHNOLOGIES LIMITED – Respondent
[Rayuan Sivil No: JA-12BNCvC-23-10/2024]
Pendahuluan
[1] Rayuan ini difailkan oleh Perayu, iaitu Defendan dalam tindakan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen bertarikh 14 Oktober 2024, yang mana Mahkamah Sesyen telah membenarkan tuntutan Plaintif/Responden sebanyak USD160,000.00 pada kadar pertukaran mata wang dalam Ringgit Malaysia beserta faedah atas jumlah penghakiman pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh bersama kos tindakan sebanyak RM12,000.00 dan dalam masa yang sama menolak tuntutan balas Defendan/Perayu dengan kos sebanyak RM8,000.00.
[2] Mahkamah jelas bahawa keputusan Mahkamah Sesyen menyentuh isu-isu fakta, dokumen penghantaran perdagangan antarabangsa, penerimaan barang, rekod sistem dalaman SAP, kewujudan purchase order, invois, dan isu penerimaan dokumen komersial di bawah Akta Keterangan 1950.
[3] Mahkamah akan merujuk pihak-pihak sebagaimana pihak- pihak di dalam tuntutan asal di Mahkamah Sesyen iaitu Perayu sebagai Defendan dan Responden sebagai Plaintif. Defendan mengemukakan rayuan ini dengan alasan bahawa Mahkamah Sesyen telah tersalah arah dari segi undang- undang dan fakta, khususnya apabila gagal mengambil kira tuntutan Plaintif melalui invois No.TP6355 bertarikh 2 Disember 2019 berjumlah USD160,000.00 sebenarnya adalah barangan Defendan [Integrated circuits (IC)] yang telah dicuri daripada premis Defendan, dapatan dalam menilai isu penghantaran barang, penerimaan barang, Defendan gagal membuktikan bahawa Plaintif telah membuat salah nyataan ('fraudulent misrepresentation'), kebolehterimaan bukti logistik,kesan rekod SAP, pengemukaan dan kredibiliti saksi, serta beban pembuktian dan juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan Defendan gagal membawa apa-apa keterangan untuk membuktikan tuntutan balas Defendan.
[4] Responden pula berhujah bahawa keputusan Mahkamah Sesyen adalah tepat, lengkap, berdasarkan bukti yang tidak dipertikaikan secara material, dan tidak terdapat apa-apa ralat yang mewajarkan campur tangan Mahkamah ini.
[5] Mahkamah Tinggi telah meneliti sepenuhnya:
(a) Notis Rayuan Perayu (Lampiran 1),
(b) Rekod Rayuan yang mengandungi 'pleadings' lengkap termasuk tuntutan, pembelaan, tuntutan balas dan jawapan (Lampiran 3)
(c) Rekod Rayuan Tambahan termasuk alasanpenghakiman Mahkamah Sesyen di ms 15-31 (Lampiran11);
(d) Hujahan bertulis kedua-dua pihak (Lampiran 14, 17,18 dan 20),
[6] Kes ini telah didengar oleh Mahkamah ini pada 29 September 2025 dan pada hari yang sama setelah Mahkamah ini membaca, menilai dan meneliti semua dokumen-dokumen (a) hingga (d) tersebut termasuk Jilid-Jilid (Lampiran 4 hingga 10), Mahkamah ini telah memberikan keputusan dengan mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen bertarikh 14 Oktober 2024 dan menolak Rayuan Perayu/Defendan dengan kos RM5000.00 dibayar kepada Responden. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini maka pihak Perayu telah memfailkan Rayuan ke Mahkamah Rayuan. Sebab-sebab Mahkamah ini menolak rayuan Perayu adalah dihuraikan seperti dibawah.
Latar Belakang Fakta Dan Pliding
[7] Plaintif adalah syarikat yang ditubuhkan di negara China dan mempunyai alamatnya di Rm 1217, Hualing Landio International Building, No 580, 3rd Section of Mid Furogn Road, Changsha City,Hunan Province, 410015 China.
[8] Defendan, adalah syarikat yang diperbadankan di bawah Undang-Undang Malaysia dan mempunyai alamat berdaftarnya di Unit 901, Level 9, City Plaza, No 21, Jalan Tebrau, 80300 Johor Bahru, Johor dan alamat perniagaannya di No 10, Jalan Dewani 1, Kawasan Perindustrian Dewani, 81100 Johor Bahru, Johor dan/atau di 10 & 10A, Jalan Bayu, Kawasan Perindustrian Hasil,81200 Johor Bahru, Johor.
[9] Sebahagian daripada tuntutan Plaintif bagi transaksi sebelumnya telah diputuskan melalui Penghakiman Terus Mahkamah Tinggi bertarikh 26 Oktober 2020 berjumlah USD383,492.85.
[10] Kes kini melibatkan baki tuntutan USD160,000.00, yang menurut Plaintif merupakan jumlah invois bagi Purchas