2025 MarsdenLR 1910
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
CASACORAZON SDN BHD & SATU LAGI LWN. KU MUHAMMAD HILMIE KU DIN
[Guaman No: BA-23CY-14-11/2023]
PENGHAKIMAN
(Kandungan 24: Taksiran Ganti Rugi)
Pengenalan
[1] Permohonan plaintif-plaintif dalam Kandungan 24 adalah untuk taksiran ganti rugi setelah Mahkamah membenarkan penghakiman ingkar pembelaan direkodkan terhadap defendan menurut A 13 k 6(1) dan A 19 k 7 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012).
[2] Pada 27 Februari 2025 Mahkamah ini memutuskan plaintif-plaintif gagal membuktikan ganti rugi sepertimana yang telah diperintahkan dalam Penghakiman Ingkar Pembelaan.
Fakta Material
[3] Plaintif kedua ialah pemegang saham dan pengarah plaintif pertama. Plaintif pertama diplidkan sebagai pemilik produk dikenali sebagai Babies Blienk.
[4] Plaintif kedua memperkenalkan diri sebagai pempengaruh sosial media di laman sosial TikTok atas nama @lyanahassan77 dengan jumlah pengikut 237,000 setakat 25 November 2023 semasa Writ Saman difailkan.
[5] Plaintif-plaintif menggunakan laman TikTok sebagai medium mempromosi dan menjual produk Babies Blienk secara live streaming dan jualan di Tik Tok Shop.
[6] Menurut plaintif-plaintif, sebanyak 134,500 produk Babies Blienk yang terjual dipasaran dengan TikTok Shop plaintif-plaintif diberi penarafan 4.5 bintang daripada 5 bintang oleh pembeli-pembeli.
[7] Defendan mempunyai akaun dua akaun TikTok, iaitu atas nama @ceoheelmibogaskin dengan jumlah pengikut 26,900 dan @ceoheelmibogalab dengan pengikut seramai 338 orang. Defendan telah membuat 15 hantaran video di akaun TikTok defendan yang diadukan sebagai memfitnah plaintif-plaintif.
Kronologi Tuntutan Plaintif-Plaintif
[8] Keputusan yang diberikan oleh mahkamah ini pada 27 Februari 2025 adalah terhadap Kandungan 25 iaitu Notis Permohonan Taksiran Ganti Rugi oleh plaintif-plaintif setelah penghakiman ingkar direkodkan oleh Mahkamah ini pada 28 Jun 2024.
[9] Mahkamah ini merujuk Pernyataan Tuntutan plaintif-plaintif khususnya perenggan 111 yang memplidkan relif-relif yang dituntut. Inti pati relif tersebut adalah seperti berikut:
A. Perintah Injunksi Mandatori untuk defendan memadam dan menghapuskan kenyataan-kenyataan yang diadukan yang mengandungi 15 kenyataan yang diterbitkan di akaun Tiktok defendan selaras dengan s 53 Akta Relif Spesifik 1950.
B. Injunksi kekal yang menghalang defendan termasuk wakil dan agennya daripada menerbitkan semula kenyataan-kenyataan yang diadukan tersebut atau kenyataan yang serupa maksud, kesan dan sifatnya dengan kenyataan-kenyataan yang diadukan tersebut.
C. Injunksi kekal menghalang defendan daripada menerbitkan, mengedar atau memuatnaik sebarang kenyataan fitnah terhadap plaintif-plaintif menggunakan apa jua medium.
D. Defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif-plaintif dengan memuatnaik dan disiarkan dalam laman media sosial termasuk Tiktok, Youtube dan Instagram yang berada dalam kawalan dan pengawasan defendan dalam masa 48 jam selepas diserahkan dengan perintah bermeterai.
[10] Bagi tujuan ganti rugi, plaintif-plaintif memohon relif yang berikut:
A. Ganti rugi am bagi kehilangan dan/atau kerosakan reputasi, martabat, imej diri, maruah dan status bagi jumlah yang ditaksirkan oleh mahkamah.
B. Ganti rugi teladan sebanyak RM5,000,000.00.
C. Ganti rugi teruk sebanyak RM5,000,000.00.
D. Secara alternatif, ganti rugi teladan dan teruk ditaksirkan oleh Mahkamah.
E. Ganti rugi pampasan yang ditaksirkan oleh Mahkamah
F. Faedah.
G. Kos.
[11] Pada 27 Februari 2024, peguam cara plaintif-plaintif memfailkan Kandungan 12 iaitu Notis Permohonan untuk mendapatkan penghakiman menurut A 13 k 6(2) KKM 2012. Pada hari yang sama, peguam cara plaintif-plaintif memfailkan Draf Penghakiman Ingkar Kehadiran (Kandungan 11) dengan terma penghakiman yang menyatakan ganti rugi am dan ganti rugi pampasan untuk ditaksirkan manakala ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk masing-masing berjumlah RM5,000,000.00, faedah dan kos RM1,892.20. Pendaftar menetapkan Kandungan 12 untuk pendengaran pada 28 Februari 2024.
[12] Pada 28 Februari 2024, Pendaftar menetapkan kandungan 12 didengar dihadapan Mahkamah Terbuka pada 3 April 2024. P