2025 MarsdenLR 4196
MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU
Manira Mohd Nor, J
MOHD HAKIMI MOHD JANI LWN. – Appellant
Versus
MOHD NOOR HAFIZ ABD JALIL – Respondent
[Saman Pemula No: JA-24NCvC-181-02/2025]
[1] Plaintif memohon di Lampiran 1 untuk satu perintah bahawa Kaveat Persendirian di bawah Nombor Perserahan 50243/2024 yang telah didaftar pada 30 Oktober 2024 ke atas hartanah di bawah Pajakan Negeri 22141, Lot 96928, Mukim Plentong, Daerah Johor Bahru, Johor (hartanah tersebut) dibatalkan dan dipotong.
[2] Hartanah tersebut merupakan sebuah unit rumah teres dua tingkat beralamat di No 50, Jalan Semerbak 15, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang Johor dengan harga belian RM342,000.00 yang telah dibeli atas nama plaintif melalui lelongan awam pada 14 Oktober 2024. Plaintif telah membuat bayaran deposit sebanyak RM34,200.00 dan baki sebanyak RM307,000.00 perlu diselesaikan dalam masa 120 hari (sebelum 11 Februari 2025) ditandakan dengan sebagai exh 'MH-1. Plaintif juga telah membayar wang beza di antara harga belian dan harga pembiayaan sebanyak RM30,000.00 kepada CIMB Islamic Bank Berhad ditandakan sebagai exh 'MH-4'. Permohonan plaintif untuk pembiayaan perumahan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah diluluskan pada 7 November 2024 dengan jumlah RM277,800.00 bagi membiayai dan menjelaskan baki harga belian hartanah tersebut.
[3] Segala proses pendaftaran, pindah milik dan dokumentasi gadaian adalah dalam proses akhir untuk pendaftaran atas nama plaintif dan seterusnya pengeluaran baki harga belian kepada CIMB Islamic Bank Berhad. Walau bagaimanapun proses pindah milik ini terhenti, setelah carian hak milik hartanah dibuat yang menunjukkan bahawa satu kaveat persendirian (kaveat tersebut) ditandakan sebagai exh 'MH-5' telah didaftarkan oleh pihak defendan ke atas hartanah tersebut pada 30 Oktober 2024. Defendan juga pada masa material menduduki dalam hartanah tersebut.
[4] Akuan berkanun yang difailkan oleh pihak defendan yang dieksibitkan dalam Affidavit Jawapan Defendan di Lampiran 7 ditandakan sebagai exh 'A' menyatakan bahawa berdasarkan satu perintah Mahkamah Syariah bertarikh 14 April 2021 (perintah tersebut), adalah diperintahkan defendan untuk menanggung bayaran pinjaman ansuran rumah sepenuhnya dengan pihak CIMB Islamic Bank Berhad sehingga pindah milik hartanah tersebut daripada penama Nurazreen Hana binti Mohamed Nasir (penama tersebut) yang merupakan bekas isteri defendan dan peminjam kemudahan pembiayaan dengan CIMB Islamic Bank Berhad yang merupakan pemegang gadaian bagi tanah tersebut. Tujuan pihak defendan memasukkan kaveat ini adalah untuk menghalang penjualan hartanah tersebut atas nama plaintif disempurnakan.
[5] Bagi menyokong permohonan ini peguam terpelajar plaintif menghujahkan bahawa plaintif telah berjaya membeli secara sah hartanah tersebut melalui satu Jualan Lelongan Awam (JLA tersebut) melalui Sistem e-Lelong yang telah dijalankan pada 14 Oktober 2024 melalui Mahkamah Tinggi Johor Bahru Pelaksanaan No JA-38-1470-08/2024. Di dalam kes Pelaksanaan ini Nurazreen Hana binti Mohamed Nasir adalah bekas isteri defendan. Terdapat beberapa siri lelongan yang telah ditetapkan oleh mahkamah untuk lelongan hartanah ini iaitu pada 27 Disember 2023, 20 Mac 2024, 16 Julai 2024 dan 14 Oktober 2024 ditandakan secara kolektif di exh 'MH-3'. Plaintif pada tarikh lelongan 14 Oktober 2024 adalah pembida yang sah dan telah berjaya mendapatkan hartanah tersebut. Perintah Jualan Lelongan bertarikh 2 September 2024 yang telah difailkan oleh CIMB Islamic Bank Berhad di Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk kes Pelaksanaan No. JA-38-1470-08/2024 ditandakan sebagai exh 'MH-2'.
[6] Plaintif selanjutnya berhujah bahawa tindakan pihak defendan memasukkan kaveat persendirian atas tanah tersebut telah menyebabkan proses pendaftaran hartanah tersebut terganggu dan terhenti, plaintif telah melantik Peguam untuk memfailkan permohonan pada 8 Januari 2025 untuk perintah lanjutan masa bagi membayar baki harga belian tersebut di atas. Perintah Lanjutan telah diperolehi pada 10 Februari 2025 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang mana plaintif mendapat lanjutan untuk membayar baki harga belian sebelum