2025 MarsdenLR 6411
MOHAMAD RIDHWAN SYARIZAL PKP
26 December 2025
Yuslinda Khairin bt Mohd Yacob (Jaswant Singh & Assoc) bagi pihak pemiutang penghakiman.
Mohamed Asraf bin Abdullah bagi pihak penghutang penghakiman.
Mohamad Ridhwan Syarizal PKP:
ALASAN PENGHAKIMAN
[dalam merekodkan Perintah Kebankrapan terhadap Penghutang Penghakiman pada 24.9.2025]
Pendahuluan
[1]Pihak Pemiutang Penghakiman (JC) merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan menjalankan perniagaan perbankan. Pihak Penghutang Penghakiman (JD) pula merupakan pelanggan JC dan telah membuat satu pinjaman pembiayaan peribadi dengan pihak JC pada 21.8.2017.
[2]Akibat kegagalan JD melaksanakan tanggungjawabnya sebagai peminjam dan telah ingkar membuat pembayaran balik kepada pihak JC bagi pembiayaan tersebut, tindakan undang undang telah dilaksanakan terhadap JD. Hasilnya, satu Penghakiman Ingkar Kehadiran telah dimasukkan terhadap JD oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru (JA-A52M-115-06/2021) pada 29 Julai 2021 seperti yang dilampirkan di Lampiran 1 muka surat 3 dengan jumlah tuntutan sebanyak RM 191,852.05.
[3]Selanjutnya pihak JC telah memfailkan Permintaan Untuk Mengeluarkan Notis Kebankrapan (Lampiran 1) dan Notis Kebankrapan (Lampiran 2) ke Mahkamah ini pada 10.9.2024 setelah 3 tahun dari tarikh Penghakiman Ingkar Kehadiran direkodkan.
[4]Berkenaan pemfailan Permintaan Untuk Mengeluarkan Notis Kebankrapan dan Notis Kebankrapan tersebut, Mahkamah telah merujuk kepada Kaedah 90 (1) (a - d) Kaedah Kaedah Insolvensi 2017 yang menyatakan seperti berikut:
Issue of notice
90. (1) When applying for the issue of a bankruptcy notice, the creditor shall-
(a)produce to the Registrar an office copy of the judgement or order on which the notice is founded;
(b)produce to the Registrar a copy of originating summon on which a judgment or order is made against a debtor;
(c)produce to the Registrar a copy of agrement on which a judgment or order is made against a debtor;
(d)file the notice, together with a request for issue; and
[5]Mahkamah selanjutnya telah merujuk kepada kes Ber Jebat Hasbullah bin Rosli; ex parte Vogel Industries (S) Pte Ltd
[12] Dalam hal ini, nas-nas di atas menunjukkan bahawa ketidakpatuhan kepada Kaedah 90 Kaedah tersebut dalam melampirkan dokumen-dokumen dalam permintaan untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan semata-mata adalah tidak semestinya fatal kepada JC, kerana pematuhan kepada Kaedah tersebut bukan melibatkan JD tetapi bertujuan bagi pemeriksaan Pendaftar dalam memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak permintaan tersebut untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan. Malah, Mahkamah dalam kes-kes tersebut juga telah menilai elemen prejudis terhadap JD untuk menentukan sama ada kegagalan tersebut adalah fatal kepada JC. Perkara ini jelas dapat dilihat dalam kes Re Lim Sok Hoon; Ex-Parte Ivory Properties Group Bhd di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa:-
“Jelas daripada penghakiman ini ujiannya ialah sama ada perayu terkeliru maupun prejudis hasil daripada ketidakpatuhan tersebut. Kaedah 90(1)(c) menghendaki responden mengemukakan sesalinan perjanjian yang suatu penghakiman atau perintah dibuat. Di dalam kes ini tiada perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak melainkan dua surat akujanji yang diberikan oleh perayu. Responden tidak mengemukakan kedua-dua surat akujanji tersebut. Kehendak ini adalah bagi Pendaftar Mahkamah. Pendaftar Mahkamah telah menerima permohonan dan mengisukan notis kebankrapan tersebut. Oleh itu jelas bahawa Pendaftar telah berpendapat tiada ketidakadilan yang ketara (substantial injustice) dan ia tiada kaitan dengan perayu seperti mana yang diputuskan di dalam kes Re Chua Liang Hong (supra)…”
[6]Hasil penelitian Mahkamah terhadap pemfailan Lampiran 1 dan Lampiran 2 mendapati bahawa pihak JC telah mematuhi dengan sewajarnya peruntukan dan kaedah kaedah yang telah digariskan oleh undang undang. Oleh itu pemfailan tersebut adalah teratur dan wajar diterima pakai oleh Mahkamah ini.
[7]Selepas pemfailan tersebut dilaksanakan, serahan Notis Kebankrapan secara kediri telah dilaksanakan oleh JC kepada JD pada tarikh 6.10.2024 jam 10.35 pagi di alamat Blok D 8-05, Danga View Apartment, Jalan Persiaran Danga, 81200, Johor Bahru, Johor.