2025 MarsdenLR 3503
AZIZAN MD ARSHAD H
24 December 2025
Christina Anna Maris Joseph Raj (Kanaga, Suresh & Co) bagi pihak defendan (perayu).
Hasnah bt Abd Hamid (Syarikat P Subabaiyah) bagi pihak plaintif (responden).
Azizan Md Arshad H:
ALASAN PENGHAKIMAN
[1]Ini merupakan Rayuan oleh Perayu (Defendan) terhadap keputusan Mahkamah ini pada 28.11.2025 yang telah mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Yang Bijaksana (“HMS”) tehadap liabiliti dan kuantum yang telah diputuskan selepas perbicaraan penuh.
[2]Berdasarkan kepada Notis Rayuan kepada Mahkamah Rayuan bertarikh 22.12.2025, Rayuan difailkan hanya terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah bagi kuantum untuk:
(i)Kehilangan pendapatan bagi masa hadapan; dan
(ii)Bil kos perubatan di hospital swasta yang telah dibenarkan oleh HMS Yang Bijaksana.
[3]Dalam penghakiman ini Mahkamah hanya menyentuh kepada kuantum tersebut sahaja. Pihak-pihak dirujuk sebagaimana kedudukan mereka di Mahkamah Sesyen.
Latarbelakang kes
[4]Ini merupakan tuntutan kemalangan jalan raya oleh Plaintif terhadap Defendan yang berlaku pada 8.01.2019 yang melibatkan motosikal nombor pendaftaran PNQ 8790 yang ditunggang oleh Plaintif dengan motosikal bernombor pendaftaran PMT 9456 yang ditunggang oleh Defendan di Jalan Betek, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
[5]Perbicaraan penuh dengan pemanggilan saksi Plaintif seramai lapan (8) orang dan seorang (1) Saksi Defendan.
Analisa dan dapatan Mahkamah(1) Prinsip Rayuan
[6]Prinsip undang-undang berkaitan rayuan adalah jelas dan mengikat Mahkamah ini. Prinsip asas sesuatu rayuan adalah mantap bahawa tiada campurtangan daripada Mahkamah Atasan kecuali terdapat salah tanggapan undang-undang yang telah dilakukan oleh Mahkamah Bawahan atau Mahkamah Perbicaraan.
[7]Dalam kes Rasidin bin Partojo v Frederick Kiai pada mukasurat 215, YAA Wan Sulaiman FJ (bagi Mahkamah Persekutuan) menyatakkan bahawa:
“A Court of Appeal always starts with the working presumption that any decision appealed against is right in every respect. So, to succeed in an appeal the appellant must convince us that the decision appealed from is wrong. If we are not so convinced, the appeal fails.”
[8]Mahkamah ini merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan iaitu Sivalingam Periasamy v Periasamy & Anor
“It is trite law that this court will not readily interfere with the findings of fact arrived at by the court of first instance to which the law entrusts the primary task of evaluation of the evidence. But we are under a duty to intervene in a case, where, as here, the trial court has so fundamentally misdirected itself, that one may safely say that no reasonable court which had properly directed itself and asked the correct questions would have arrived at the same conclusion”.
(2) Dapatan Mahkamah Atas Kuantum(i) Kehilangan Pendapatan Masa Hadapan
[9]Sebelum kemalangan, Plaintif bekerja sebagai pembersih klinik Lim Eng Cheong dan selepas kemalangan Plaintif tidak lagi dapat berkerja berat sebagai pembersih klinik yang memerlukan pergerakan yang aktif terutama bagi kerja membantu menyediakan penyediaan ubatan serta membantu doktor serta kerja-kerja mop lantai. Majikan Plaintif sebelum kemalangan iaitu SP2, Dr Lim Eng Cheong, juga mengesahkan bahawa Plaintif tidak lagi dapat berkerja berat akibat kecederaan di kakinya dan beliau telah diganti dengan pekerja lain.
[10]Setelah kemalangan Plaintif telah bekerja dengan bapa saudara beliau di Syarikat Shun Huat Trading & Engineering Bhd. Dan melalui keteranagan SP3, Encik Chee Ewe Chye mengesahkan bahawa Plaintif telah berkerja dari rumah dan hanya melakukan kerja ringan iaitu memasukan data dalam komputer. Akibat dari keterbatasan pergerakan Plaintif, data- data tersebut akan dihantar ke rumah Plaintif. Pendapatan bagi kerja tersebut adalah sebanyak RM300.00 sebulan dan ini disahkan melalui slip gaji Plaintif dalam ekshibit P10.
[11]HMS Yang Bijaksana telah menolak hujahan Peguam Defendan Yang Bijaksana bahawa Plaintif sebenarnya boleh melakukan kerja-kerja berat di klinik. Mahkamah ini mendapati bahawa HMS Yang Bjaksana dalam membuat dapatan fakta bahawa Plaintif tidak dapat berkerja berat ini disokong oleh keterangan SP2 bahawa pekerjaan Plaintif yang melibatkan kerja-kerja pembersihan klinik me