2025 MarsdenLR 4571
MAHKAMAH TINGGI (TEMERLOH)
ROSLAN MAT NOR H
PERBICARAAN JENAYAH NO CB-45A-8-11 TAHUN 2021
7 August 2025
Intan Nor Hilwani bt Mat Rifin (Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Pahang) bagi pihak pendakwaan.
T Jayaraj (T Jayaraj & Co) bagi pihak tertuduh.
Intan Nor Hilwani bt Mat Rifin (Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Pahang) bagi pihak pendakwaan.
T Jayaraj (T Jayaraj & Co) bagi pihak tertuduh.
Roslan Mat Nor H:
ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
[1]Dalam kes ini Orang Kena Tuduh (OKT) telah dikemukakan dengan tiga pertuduhan seperti yang berikut:
Pertuduhan Pertama
Bahawa kamu pada 29 April 2021, jam lebih kurang 2300 hrs, bertempat di luar rumah Lot 7641, Jalan Kampung Mempateh, Kampung Mempateh, dalam Daerah Temerloh, dalam Negeri Pahang, kamu telah didapati mengedar dadah berbahaya berat bersih 76.4 gram heroin dan monoacetylmorphines (72.2 gram heroin dan 4.2 gram monoacetylmorphines), oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Pertuduhan Kedua
Bahawa kamu pada 29 April 2021, jam lebih kurang 2300 hrs, bertempat di luar rumah Lot 7641, Jalan Kampung Mempateh, Kampung Mempateh, dalam Daerah Temerloh, dalam Negeri Pahang, kamu telah didapati mengedar dadah berbahaya berat bersih 73.5 gram methamphetamine, oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Pertuduhan Ketiga
Bahawa kamu pada 29 April 2021, jam lebih kurang 2300 hrs, bertempat di luar rumah Lot 7641, Jalan Kampung Mempateh, Kampung Mempateh, dalam Daerah Temerloh, dalam Negeri Pahang, kamu telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya berat bersih 4.38 gram heroin dan monoacetylmorphine (4.09 gram heroin dan 0.29 monoacetylmorphines), oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1)Akta yang sama.
[2]Pihak pendakwaan telah memanggil enam orang saksi yang terdiri daripada ahli kimia, jurustor, isteri kepada OKT, pegawai serbuan dan pegawai penyiasat.
Keterangan Pendakwaan
[3]Pada 29.04.2021 lebih kurang jam 11.00 malam, pegawai serbuan (SP 5) dan pasukan telah melakukan serbuan di Lot 7641, Jalan Kampung Mempateh, Lanchang, Temerloh, Pahang. Ia dilakukan berdasarkan satu maklumat pengedaran dadah.
[4]Semasa serbuan tersebut, seorang lelaki melayu telah lari keluar dari pintu belakang rumah tersebut sejurus selepas itu.
[5]SP 5 telah menjumpai bungkusan hitam yang kemudiannya didapati mengandungi dadah yang dipertuduhkan bagi pertuduhan pertama dan kedua.
[6]SP 5 juga dalam keterangannya menyatakan bahawa turut ditemui adalah kunci kereta di dalam rumah tersebut dan kemudian digunakan untuk membuka motokar CDE 5660.
[7]SP 5 telah membuka kereta tersebut dengan menggunakan alat kawalan jauh pada kunci tersebut. SP 5 menjumpai dadah di bahagian steering kereta tersebut yang menjadi asas kepada pertuduhan ketiga.
[8]SP 5 juga menyatakan di dalam keterangannya bahawa SP 3 dan OKT telah menandatangani penyataan di bawah seksyen 37B (1) (b)ADB 1952
[9]SP 5 telah mengecam SP 3 dan OKT adalah dua individu yang ditangkap pada hari kejadian tersebut.
[10]SP 5 telah mengecamkan barang kes dan menyerahkan barang kes tersebut kepada pegawai penyiasat (SP 6) yang kemudiannya dikemukakan kepada ahli kimia (SP 2). Hasil daripada analisa yang dilakukan laporan kimia (P12) telah disediakan oleh SP 2.
[11]SP 3 iaitu isteri OKT menyatakan bahawa pada hari kejadian tersebut SP 3 telah dikejutkan oleh anggota polis wanita lebih kurang jam 11.00 malam. SP 3 telah masuk tidur pada jam 8.00 malam. Oleh itu apa yang berlaku di antara jam 8.00 malam hingga 11.00 malam hari itu tidak dapat diperihalkan oleh SP 3.
[12]SP 3 menyatakan bahawa dia dan OKT tidak pernah memaklumkan mempunyai maklumat berkenaan dengan dadah-dadah tersebut. SP3 menyatakan:
S : Ada tak, tengok dokumen itu balik di balai polis dokumen itu dibacakan yang sama seperti ini, betul tak apa yang dibacakan daripada awal sampai akhir kamu dibacakan kamu tandatangan di balai?
J : Saya tak diberi peluang untuk baca apa-apa dokumen pada waktu itu.
S : Kamu belajar sampai tingkatan berapa?
J : Tingkatan 5.
S : SPM tulis Bahasa Melayu wajibkan?
J : Betul.
S : Kenapa tak baca? Saya tak marah puan, saya tanya. Kenapa tak baca? Jadi orang bagi ap