2026 MarsdenLR 1944
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SEREMBAN
ONG HAN MENG & SATU LAGI LWN. MUHAMMAD FIRDAUS ZAINI
[Rayuan Sivil No: NA-12B-17-07/2025]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Di dalam kes ini pihak perayu-perayu (defendan-defendan) telah memfailkan notis rayuan bertarikh 25 Jun 2025 (Lampiran 1) terhadap sebahagian keputusan yang telah diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di Seremban ("HMS") bertarikh pada 24 Jun 2025 berkaitan dengan isu kuantum yang telah diawadkan kepada plaintif (responden).
[2] Setelah mahkamah ini mendengar, membaca, meneliti dan menilai rekod rayuan, alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Sesyen ("HMS") berserta dengan penghujahan-penghujahan bertulis yang telah difailkan oleh kedua-dua belah pihak kepada mahkamah, maka pada 19 Disember 2025, mahkamah ini memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang telah diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen ("HMS") dan telah menolak notis rayuan perayu-perayu (defendan-defendan) (Lampiran 1) dengan kos sebanyak RM3,000.00 kepada responden (plaintif) tertakluk pembayaran fi alokatur.
[3] Pihak perayu-perayu (defendan-defendan) merasa tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah ini yang bertarikh pada 19 Disember 2025 tersebut di atas, dan telah memfailkan notis rayuan bertarikh pada 15 Januari 2026 untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan yang telah diberikan oleh mahkamah ini yang menolak rayuan pihak perayu-perayu (defendan-defendan) di dalam tindakan ini.
[4] Seterusnya, bagi tujuan penyediaan alasan penghakiman ini dan untuk kemudahan, pihak-pihak akan dirujuk dalam kapasiti mereka yang asal iaitu perayu-perayu dirujuk sebagai defendan-defendan. Manakala, responden pula akan dirujuk sebagai pihak plaintif sahaja semasa di peringkat rayuan ini.
Fakta Ringkas Kes
[5] Tuntutan ganti rugi yang dibawa atau yang diambil oleh plaintif terhadap defendan-defendan di dalam kes ini adalah berkaitan dengan kecederaan, kesakitan serta kerugian yang dialami oleh plaintif berikutan dengan satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada 9 Jun 2020 jam lebih kurang 4.50pm di Jalan Utama Kampung Jijan (Jalan Jijan - Salak) Negeri Sembilan.
[6] Kemalangan ini melibatkan 2 buah kenderaan iaitu motorsikal nombor pendaftaran NAV 5219 yang ditunggang oleh plaintif dengan sebuah motorlori nombor pendaftaran NCU 5872 yang dipandu oleh Defendan 1 dan yang dimiliki oleh Defendan ke-2.
[7] Pada masa kemalangan tersebut berlaku plaintif berumur 16 tahun dan masih lagi bersekolah dalam tingkatan 4.
[8] Bagi isu liabiliti, pihak-pihak telah bersetuju dan telah merekodkan semasa di peringkat Mahkamah Sesyen bahawa defendan-defendan bertanggungan cuai sebanyak 90%. Manakala, plaintif pula adalah bertanggungan sebanyak 10%.
Analisis Dan Penemuan Mahkamah
Kuantum
[9] Di dalam kes ini, kuantum yang diawadkan kepada plaintif adalah tertakluk kepada dokumen-dokumen yang telah ditandakan sebagai eksibit dan juga Laporan Perubatan serta Laporan Pakar yang telah dikemukakan kepada mahkamah.
[10] Seterusnya, pihak-pihak telah merekodkan bahawa kesemua laporan di atas dipersetujui tertakluk kepada hujahan. Berdasarkan laporan-laporan perubatan dan laporan pakar di atas, plaintif telah mengalami kecederaan-kecederaan berikut:
(a) Traumatic brain injury
(b) Right displaced frontal bone fracture
(c) Right zygomatic complex fracture
(d) Right orbital blow fracture
(e) Right LeFort III Fracture
(f) Scars
(g) jagged wound over right knee
(h) Laceration wound extending from frontal to orbital ridge
(i) Deep laceration wound over right upper lip
(j) Right upperlid laceration with frontal extension
(k) Multiple abrasion wounds left lower limb
(l) Right retrobulbar haemorrhage with traumatic optic neuropathy.
[11] Mahkamah ini mendapati kuantum yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen ("HMS") di dalam kes ini adalah berpatutan dan mengikut trend semasa. Iaitu berdasarkan jumlah yang dihujahkan oleh pihak-pihak serta berpandukan kepada Compendium of Personal Injury Awards Revised setakat 16 Oktober 2018 dan juga kes-kes yang diputuskan.
[12] Mahkamah juga mengambil kira prinsip yang dinyatakan dalam kes Ku Jia Shiuen & Anor v. Kerajaan Mala