2026 MarsdenLR 1393
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SEREMBAN
MOHAMAD HALDAR ABDUL AZIZ, J
PENGARAH/JURUTERA DAERAH JABATAN KERJA RAYA SEREMBAN & YANG LAIN – Appellant
Versus
MUHAMAD ASYRAF MUHAMAD EFFENDI.... – Respondent
[Guaman Sivil No: NA-11BNCvC-1-01/2025]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Di dalam kes ini Perayu-Perayu (Defendan ke-3 hingga ke-5) telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh 30 Disember 2024 (Lampiran - 1) terhadap keseluruhan keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Majistret Seremban ('Mahkamah Majistret') bertarikh pada 17 Disember 2024, di mana Mahkamah Majistret telah memutuskan bahawa tuntutan Responden Pertama (Plaintif) terhadap Perayu-Perayu (Defendan ke-3 hingga ke-5) adalah dibenarkan dengan faedah dan juga kos.
[2] Setelah Mahkamah ini mendengar, membaca, meneliti dan menilai rekod rayuan, alasan penghakiman oleh Mahkamah Majistret tersebut berserta dengan penghujahan-penghujahan bertulis yang telah difailkan oleh kedua-dua belah pihak kepada mahkamah, maka pada 17 Julai 2025, Mahkamah ini telah memutuskan untuk menolak Notis Rayuan (Lampiran - 1) yang difailkan oleh Perayu-Perayu (Defendan ke-3 sehingga Defendan ke-5) didalam rayuan ini.
[3] Selanjutnya, Mahkamah juga memutuskan bahawa kos rayuan ini ditetapkan masing-masing sebanyak RM2,000.00 kepada Responden Pertama (Plaintif), sebanyak RM2,000.00 kepada Responden Kedua dan Ketiga (Defendan Pertama dan ke-2) dan sebanyak RM2,000.00 kepada Responden ke-4 dan ke-5 (Defendan ke-6 dan ke-7).
[4] Pihak Perayu-Perayu (Defendan ke-3 hingga ke-5) merasa tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah ini yang bertarikh pada 17 Julai 2025 tersebut diatas, telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh pada 16 Februari 2026 (Lampiran - 24) untuk merayu kepada mahkamah Rayuan Malaysia terhadap keseluruhan keputusan mahkamah ini yang telah memutuskan untuk menolak Notis Rayuan Perayu-Perayu (Defendan ke-3 sehingga ke-5) (Lampiran - 1) dengan kos kepada Responden-Responden (Plaintif dan Defendan-Defendan Pertama, ke-2, ke-6 dan ke-7) didalam rayuan ini.
[5] Seterusnya, bagi tujuan penyediaan alasan penghakiman ini dan untuk kemudahan, pihak-pihak akan dirujuk didalam kapasiti mereka yang asal iaitu Perayu-Perayu sebagai Defendan ke-3 sehingga ke-5. Manakala, Responden Pertama akan dirujuk sebagai Plaintif di peringkat rayuan ini.
Latar Belakang Fakta Kes
[6] Kes ini telah dijalankan melalui suatu perbicaraan penuh yang mana di akhir kes ini Mahkamah Majistret telah memutuskan bahawa Plaintif adalah 10% sumbang cuai dan Defendan ke- 3, ke-4 dan ke-5 adalah 90% (cuai). Manakala bagi Defendan Pertama dan ke-2 serta Defendan ke-6 dan ke-7 tidak menanggung apa-apa liabiliti dalam kejadian kemalangan ini.
[7] Defendan ke-3, ke-4 dan ke-5 tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret tersebut, maka pada 30 Disember 2024 Defendan ke-3, ke-4 dan ke-5 telah memfailkan satu Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Seremban untuk merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Majistret yang bertarikh pada 17 Disember 2024 tersebut atas isu liabiliti dan kuantum.
[8] Kes ini melibatkan satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada 10 Ogos 2020 di Jalan Bukit Nenas, Negeri Sembilan. Plaintif dalam kes ini dikatakan sedang menunggang motorsikal nombor pendaftaran NBP 7431 ("Motorsikal Plaintif") dari rumah hendak menghala ke Sekolah Menengah King George ke-V Seremban ("KGV Seremban"). Apabila tiba di Jalan Bukit Nenas tersebut Plaintif telah melanggar sebatang pokok yang telah tumbang diatas jalan raya tersebut.
[9] Akibat daripada pelanggaran tersebut Plaintif telah mengalami kecederaan dan Motorsikal Plaintif telah mengalami kerosakan. Plaintif kemudiannya melalui Writ Saman dan Pernyataan Tuntutannya bertarikh 6 Mac 2023 telah membuat tuntutan gantirugi am dan gantirugi khas terhadap kesemua Defendan atas kegagalan defendan-defendan untuk menunaikan tangung jawab berjaga-jaga ke atas penggunaan jalan dibawah seliaan dan tangung jawab mereka.
[10] Dalam membuktikan kes masing-masing, pihak Plaintif telah memanggil seramai tiga (3) orang saksi iaitu saksi pegawai penyiasat, Plaintif dan juga bapa Plaintif. Manakala Defendan Pertama dan ke-2 memanggil seorang (1) saksi, Defendan ke- 3, ke-4 dan ke-5 memanggil satu (1) orang s

