2026 MarsdenLR 2107
MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR
ROSLAN MAT NOR, J
MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA – Appellant
Versus
KERAJAAN MALAYSIA; BADAN PEGUAM MALAYSIA (PENCELAH) – Respondent
[Writ Saman No: WA-21NCvC-41-07-2025]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Plaintif di dalam tindakan ini memohon untuk satu perisytiharan bahawa teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan adalah teks sahih di bawah Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan. Plaintif juga memohon defendan untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan ditetapkan sebagai teks sahih dalam tempoh 5 tahun daripada keputusan kes ini jika ia tidak memihak kepada plaintif untuk mendapatkan pengisytiharan tersebut.
[2] Pada asalnya, tindakan ini melibatkan plaintif dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Defendan telah memfailkan pembelaan pada 25 Ogos 2025. Jawapan kepada pembelaan juga telah difailkan pada 9 September 2025.
[3] Pada 13 November 2025, Badan Peguam Malaysia telah memohon kebenaran untuk mencelah di bawah A 15 k 6(2)(b) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012). Asas kepada permohonan ini adalah Badan Peguam Malaysia akan terkesan dengan apa-apa perintah yang diberikan oleh mahkamah di dalam kes ini. Badan Peguam Malaysia juga akan berada pada kedudukan yang sesuai untuk mengemukakan hujahan berkenaan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.
[4] Keterlibatan Badan Peguam Malaysia di dalam kes ini akan melindungi secara aktif kepentingan profesion guaman dan orang awam. Badan Peguam Malaysia telah menukilkan s 42 Akta Profesion Undang-Undang 1976.
[5] Defendan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan ini. Sementara itu, plaintif membantah permohonan ini atas alasan Badan Peguam Malaysia di dalam permohonan pencelahan ini tidak menyatakan secara jelas bahawa bakal Pencelah akan terjejas dengan keputusan kes ini. Apa yang dinyatakan hanyalah secara umum sahaja.
[6] Peguam Badan Peguam Malaysia telah membuat permohonan lisan di mahkamah ini untuk menyatakan bahawa mereka ingin dinamakan sebagai defendan di dalam permohonan mereka yang tidak tercatat semasa permohonan ini difailkan di mahkamah. Ini dibantah oleh plaintif.
[7] Mahkamah ini berpendapat pindaan lisan ini wajar dibenarkan disebabkan ianya hanya merupakan permohonan untuk memperbetulkan Saman Pemula agar ianya selari dengan prinsip undang-undang dan tidak sekali-kali akan memprejudiskan plaintif. Ini tidak mengubah permohonan Badan Peguam Malaysia iaitu untuk mencelah dalam prosiding ini. Ia akan diputuskan berdasarkan prinsip undang-undang yang sewajarnya.
[8] Defendan tidak membantah permohonan untuk mencelah ini. Namun, plaintif menzahirkan bantahan kepada permohonan ini. Plaintif telah memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan ini. A 15 k 6(2)(b) KKM 2012 menyatakan seperti berikut:
6. Salah cantum dan ketidakcantuman pihak-pihak (A 15 k 6)
(2) Tertakluk kepada kaedah ini, pada mana-mana peringkat prosiding dalam apa-apa kausa atau perkara, mahkamah boleh atas apa-apa terma yang difikirkannya adil dan sama ada atas usulnya sendiri atau atas permohonan:
(b) memerintahkan mana-mana orang yang berikut supaya ditambahkan sebagai satu pihak, iaitu:
(i) mana-mana orang yang sepatutnya telah dicantumkan sebagai satu pihak atau yang kehadirannya di hadapan mahkamah adalah perlu untuk memastikan bahawa segala perkara yang dipertikaikan dalam kausa atau perkara itu boleh diputuskan dengan berkesan dan selengkapnya dan dihakimi ke atasnya; atau
(ii) mana-mana orang yang antara mereka dengan mana-mana pihak dalam kausa atau perkara mungkin wujud suatu persoalan atau isu yang berbangkit daripada atau berhubungan dengan atau berkaitan dengan apa-apa relief atau remedi yang dituntut dalam kausa atau perkara yang, pada pendapat mahkamah, adalah adil dan sesuai diputuskan antara dia dengan pihak itu dan juga di antara pihak dalam kausa atau perkara itu.
[9] Pada hemat mahkamah, tujuan pihak-pihak dibenarkan mencelah adalah untuk memastikan semua pihak yang mempunyai kepentingan akan dapat didengar di mahkamah. Ini dicerminkan dalam kes Moser v. Marsden [1892] 1 Ch 487. Kay LJ menyatakan seperti berikut:
...The result, on the construction contended for, would be that not only