2026 MarsdenLR 599
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SEREMBAN
MOHAMAD HALDAR ABDUL AZIZ, J
RADIANCE FOREST (M) SDN BHD – Appellant
Versus
KERAJAAN NEGERI SEMBILAN & YANG LAIN – Respondent
[Permohonan Bagi Semakan Kehakiman No: NA-25-3-03/2025]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Di dalam kes ini perayu (pemohon) telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh 24 Februari 2026 (Lampiran 24) untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan yang telah diberikan oleh mahkamah ini bertarikh 12 Februari 2026 di mana Mahkamah memutuskan untuk menolak Permohonan Bagi Semakan Kehakiman oleh perayu (pemohon) di bawah Lampiran 1 dengan tiada sebarang perintah terhadap kos.
[2] Oleh itu, Notis Rayuan (Lampiran 24) yang difailkan oleh perayu (pemohon) adalah terhadap keseluruhan keputusan yang telah diberikan oleh mahkamah ini bertarikh 12 Februari 2026.
[3] Selanjutnya, bagi tujuan penyediaan alasan penghakiman ini, pihak-pihak akan dirujuk dalam kapasiti mereka yang asal iaitu pihak perayu akan dirujuk sebagai pemohon. Manakala, pihak responden akan terus dirujuk sebagai responden sahaja.
Latar Belakang Fakta Kes
[4] Secara ringkasnya, latar belakang fakta kes adalah seperti berikut iaitu di mana pada tahun 2001, Pihak Berkuasa Negeri telah mewartakan sebahagian kawasan dalam lot-lot tanah pihak pemohon sebagai "Kawasan Tadahan Air" selaras dengan peruntukan yang terdapat di bawah s 9 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) melalui Warta tersebut.
[5] Pewartaan ini membawa kesan bahawa apa-apa bentuk pembangunan, pembersihan tanah, pembalakan atau aktiviti komersial adalah tertakluk kepada larangan ketat demi untuk menjaga dan mengawal perlindungan sumber air berkenaan.
[6] Pihak pemohon telah memfailkan Semakan Kehakiman bagi memohon supaya warta tersebut dimansuhkan / dibatalkan pewartaan berkenaan atas alasan bahawa kegagalan bagi mematuhi prosedur yang telah ditetapkan di bawah Akta 313.
Permohonan Bagi Semakan Kehakiman (Lampiran 1)
[7] Di dalam Lampiran 1, pihak pemohon memohon di bawah A 53 k 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan relif-relif dan perintah-perintah seperti berikut:
(a) Bahawa suatu kebenaran Pelanjutan masa diberikan kepada pemohon di bawah A 53 k 3(6) dan (7) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 melalui Notis Permohonan yang difailkan bersesama dengan Permohonan Semakan Kehakiman di sini;
(b) Bahawa kebenaran diberi kepada pemohon di bawah A 53 k 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk membuat permohonan bagi suatu Perintah Certiorari bagi memansuhkan/membatalkan segala apa tindakan dan/atau Keputusan yang dibuat oleh responden Pertama (Pihak Berkuasa Negeri Sembilan) dan responden Kedua berkenaan dengan Warta Kerajaan Negeri Sembilan No 360 berserta No.Pelan: PW 1507 bertarikh 26 April 2001 setakat dan terhad melibatkan bahagian Hartanah-hartanah yang terletak di bawah pegangan hakmilik HS(D): 3949 PT 1023, HS(D) 3950 PT 1024, HS(D): 3951 PT 1025, HS(D): [3952] PT 1026 Mukim Kenaboi, Daerah Jelebu Negeri Sembilan;
(c) Susulan Perintah di (b) bahawa kebenaran diberi kepada pemohon di bawah A 53 k 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk membuat permohonan bagi suatu Perintah Mandamus terhadap responden-responden untuk mengambil segala tindakan yang sewajarnya bagi memberikan kesan kepada Perintah di (b) termasuk mewartakan pembatalan dan pemansuhan Warta No 360 dan No.Pelan: PW 1507 setakat dan terhad melibatkan bahagian Hartanah-hartanah yang terletak di bawah pegangan hakmilik HS(D): 3949 PT 1023, HS(D): 3950 PT 1024, HS(D): 3951 PT 1025, HS(D): [3952] PT 1026 Mukim Kenaboi, Daerah Jelebu Negeri Sembilan melalui Warta Kerajaan Negeri Sembilan dalam tempoh Empat belas (14) hari daripada tarikh Perintah ini;
(d) Kos dan kos sampingan yang berbangkit di dalam permohonan ini dijadikan sebagai kos dalam kausa;
(e) Lain-lain relif selanjutnya dan/atau Perintah yang difikirkan adil dan munasabah oleh Mahkamah yang Mulia ini;
[8] Seterusnya, pada 5 Jun 2025, di atas persetujuan kedua-dua belah pihak pemohon dan responden-responden, maka mahkamah telah memberikan perintah kebenaran ("leave") kepada pemohon sepertimana menurut A 53 k 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 iaitu pada Lampiran 12.
[9] Lanjutan daripada itu, pada 9 Jun 2025, pihak pemohon di dalam tindak