2026 MarsdenLR 1108
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SEREMBAN
MOHAMAD HALDAR ABDUL AZIZ, J
CHEW KHIAN KEE & SATU LAGI – Appellant
Versus
CTY PLANTATIONS AND TRADING SDN BHD – Respondent
[Penggulungan Syarikat No: NA-28NCC-45-10/2025]
PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Di dalam kes ini responden (CTY Plantations and Trading Sdn Bhd) telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh 12 Februari 2026 (Lampiran - 27) terhadap keputusan yang telah diberikan oleh mahkamah ini pada 30 Januari 2026 di mana Mahkamah ini telah membenarkan Petisyen Penggulungan Syarikat Terpinda oleh pempetisyen-pempetisyen (Chew Khian Kee dan Chew Khian Kang) di bawah Lampiran - 5 dengan kos sebanyak RM5,000.00 dan mesti dibayar oleh responden kepada pempetisyen-pempetisyen tertakluk ke atas bayaran fi alokatur.
[2] Oleh itu, Notis Rayuan (Lampiran - 27) yang difailkan oleh responden (CTY Plantations and Trading Sdn Bhd) di dalam tindakan ini adalah terhadap keseluruhan keputusan yang telah diberikan oleh mahkamah ini bertarikh pada 30 Januari 2026 tersebut.
[3] Seterusnya, bagi tujuan penyediaan Alasan Penghakiman ini dan untuk kemudahan kesemua pihak, mahkamah akan merujuk CTY Plantations and Trading Sdn Bhd sebagai responden. Manakala, Chew Khian Kee dan Chew Khian Kang pula akan dirujuk sebagai pempetisyen-pempetisyen di dalam tindakan ini.
Fakta Ringkas Kes
[4] Pada setiap masa material, Responden di dalam tindakan ini adalah merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 14 hb Ogos 2015. Alamat berdaftar Responden adalah di No 85G, Jalan Era Square 6, Era Square, 70200 Seremban, Negeri Sembilan.
[5] Pempetisyen-Pempetisyen telah memfailkan kes di Mahkamah Sesyen Seremban melalui tindakan Guaman Sivil No: NA-B53-5-12/2020 terhadap responden sebagai 3rd Defendan. Pada 5 Februari 2024, Mahkamah Sesyen telah membenarkan tuntutan pempetisyen-pempetisyen dan telah menghakimi responden serta defendan-defendan lain untuk membayar seperti berikut:
(a) Ganti rugi Khas sebanyak RM24,102.00;
(b) Kos kerja pemulihan sebanyak RM420,125.00;
(c) Kos kehilangan penggunaan sebanyak RM30,000.00;
(d) Ganti rugi teruk sebanyak RM30,000.00;
(e) Ganti rugi teladan sebanyak RM112,531.25;
(f) Faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar 5% setahun dari tarikh pemfailan tindakan ini sehingga penyelesaian sepenuhnya;
(g) Kos tindakan sebanyak RM25,000.00. Jumlah RM641,758.25.
[Selepas ini akan dirujuk sebagai "Penghakiman tersebut"]
[6] Responden yang tidak berpuashati dengan penghakiman tersebut telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi melalui kes Rayuan Sivil No. NA-12BNCvC-4-02/2024 (selepas ini akan dirujuk sebagai "Rayuan Responden tersebut"). Pada 5 Mac 2025, Rayuan Responden tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Seremban dengan kos ditetapkan sejumlah RM4,000.00.
[7] Mahkamah mendapati berdasarkan kepada penghakiman yang bertarikh pada 5 Februari 2024 tersebut, responden telah gagal untuk mematuhi penghakiman tersebut dan masih enggan dan / atau gagal dan / atau ingkar untuk membayar atau menjelaskan penghakiman tersebut kepada pempetisyen-pempetisyen.
[8] Selanjutnya, di dalam kes ini pempetisyen-pempetisyen telah mengeluarkan Notis Permintaan Statutori di bawah s 465(1)(e) dan s 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 bertarikh 11 Jun 2025 (selepas ini dirujuk sebagai "Notis tersebut") kepada Responden menuntut bayaran di dalam penghakiman tersebut.
[9] Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak responden telah gagal, enggan dan / atau abai untuk menyelesaikan amaun atau jumlah penghakiman tersebut dalam tempoh 21 hari sepertimana yang telah dinyatakan di dalam Notis tersebut.
[10] Di dalam Petisyen Penggulungan Syarikat Terpinda (Lampiran - 5) yang bertarikh pada 7 Oktober 2025 ("Petisyen"), Pempetisyen-Pempetisyen telah memohon untuk menggulungkan Responden menurut s 465(1) (e) dan s 466(1) (a) Akta Syarikat 2016 disebabkan kegagalan Responden untuk menyelesaikan Penghakiman tersebut yang berjumlah RM641,758.25 beserta dengan faedah pada kadar 5% setahun.
[11] Petisyen ini telah diserahkan kepada responden pada 9 Oktober 2025 [Rujuk Afidavit Penyampaian di Lampiran - 6]. Responden sedia maklum bahawa tarikh pendengaran petisyen ini telah ditetapkan pada 24 Nove