2025 MarsdenLR 6964
MAHKAMAH SESYEN, SELAYANG
ZAIHAB SDN BHD lwn. LAU LAI KUAN
[NO GUAMAN SIVIL: BD-A52NCVC-23-08/2023]
DALAM MAHKAMAH SESYEN DI SELAYANG
DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
[NO GUAMAN SIVIL: BD-A52NCVC-23-08/2023]
ANTARA
ZAIHAB SDN BHD
(NO. SYARIKAT 106721-D)
... PLAINTIF
DAN
LAU LAI KUAN
(NO. K/P: 721206-08-5100)
... DEFENDAN
ALASAN PENGHAKIMAN
Pendahuluan
[1] Kes telah dibicarakan di mana Plaintif telah mengemukakan dua (2) orang saksi. Defendan mengemukakan tiga (3) orang saksi.
[2] Setelah mendengar dan meneliti keterangan semua saksi Plaintif dan semua saksi Defendan-Defendan serta meneliti semua eksibit dan hujahan pihak-pihak bersama otoriti yang dikemukakan, di atas imbangan kebarangkalian Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Defendan. Oleh yang demikian, pada 04.09.2025, Mahkamah membenarkan tuntutan Plaintif di perenggan 11 Pernyataan Tuntutan seperti berikut:
i. Jumlah sebanyak RM107,587.52 setakat 31.07.2023;
ii. Faedah pada kadar sepuluh peratus (10%) setahun dari tarikh penghakiman ini sehingga tarikh penyelesaian penuh;
iii. Kos adalah mengikut skala berdasarkan jumlah RM107,587.52 di perenggan 11(i) Pernyataan Tuntutan.
Atas imbangan kebarangkalian juga, Mahkamah mendapati bahawa Defendan telah gagal membuktikan Tuntutan Balas terhadap Plaintif. Oleh itu, Tuntutan Balas Defendan ditolak dengan kos sebanyak RM3,000.00.
[3] Defendan tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah ini dan memfailkan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah ini.
Fakta Ringkas
[4] Plaintif ialah sebuah syarikat pemaju perumahan yang membina pangsapuri dan berkewajipan untuk menjaga, mengawal selia dan menguruskan Pangsapuri Cameron Green Boungainvilla, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang Darul Makmur ("Pangsapuri tersebut").
[5] Plaintif juga merupakan pihak pengurusan di Pangsapuri tersebut kerana Pangsapuri tersebut tidak mempunyai apa-apa dan/atau sebarang Badan Pengurusan Bersama/Joint Management Body (JMB) atau Perbadanan Pengurusan/Management Corporation (MC).
[6] Plaintif mempunyai hak untuk mengutip yuran penyelenggaraan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Jual Beli antara Plaintif dan Defendan bertarikh 17.07.1998 ("PJB") (rujuk muka surat 1 hingga 23 Ikatan J) dan tuntutan Plaintif terhadap Defendan adalah berdasarkan kepada kuasa Plaintif yang termaktub dalam Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].
[7] Plaintif menuntut baki jumlah tunggakan yuran penyelenggaraan daripada Defendan berdasarkan kepada Akta 757, subklausa 16(1) Perjanjian Jual Beli (rujuk muka surat 8 Ikatan J) yang memperuntukkan seperti berikut:
"16 Payment of services charges
(1) The Purchaser shall be liable for and shall pay the service charges for the maintenance and management of the common property and for the services provided by the Vendor prior to the establishment of a management corporation under the Strata Titles Act 1985."
[8] Plaintif memplid bahawa berdasarkan seksyen 9 Akta 757, Plaintif mempunyai kewajipan berkanun dan bertanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan dengan baik unit-unit dan harta bersama di kawasan pemajuan tersebut. Antara tanggungjawab Plaintif adalah untuk mengutip yuran penyelenggaraan, caj-caj pembentungan, premium insurans dan kos-kos lain yang termasuk perbelanjaan yang bersesuaian dan perlu untuk pengurusan dan penjagaan unit-unit dan harta bersama dengan lebih baik.
[9] Plaintif juga memplid berdasarkan subseksyen 52(4) Akta 757, Defendan mempunyai kewajipan berkanun untuk membuat pembayaran kepada badan pengurusan Pangsapuri tersebut dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis pembayaran daripada pihak pengurusan. Kegagalan Defendan membuat pembayaran tersebut, membolehkan Plaintif untuk mendapatkan jumlah wang tersebut melalui apa-apa cara yang termaktub dalam seksyen 78 Akta 757 tersebut.
[10] Plaintif juga memplid berdasarkan subseksyen 78(1) Akta 757, Plaintif dibenarkan untuk memfailkan tindakan undang-undang selepas tamat tempoh 14 hari notis untuk membuat bayaran tersebut. Subseksyen 52(5) Akta 757 pula memperuntukkan bahawa Plaintif berhak untuk menuntut daripada