PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed H:
Tuntutan plaintif-plaintif
Mengikut pernyataan tuntutan plaintif-plaintif, plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat tanah wakaf di Jalan MacAlister, Pulau Pinang di atas mana terletak Masjid Jamek Hj Wahab, atau lebih dikenali umum sebagai Masjid Simpang Enam (masjid). Plaintif kedua adalah Ahli- Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK masjid) itu.
Defendan adalah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Majlis).
Mengikut pernyataan tuntutan itu masjid itu dibina dalam tahun 1889.
Semenjak dahulu lagi waris-waris pewasiat itu telah mentadbir dan mengurus hal ehwal masjid tersebut dan defendan mengetahui dan mengiktiraf pengurusan dan pentadbiran mereka.
Mengikut pernyataan tuntutan itu lagi, di akhir-akhir ini defendan telah mengambil langkah-langkah untuk merobohkan masjid itu dengan tujuan untuk menggantikannya dengan sebuah bangunan bertingkat.
Plaintif-plaintif tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mengikut plaintif-plaintif ia bertentangan dengan tujuan sebenar wakaf tersebut, bertentangan dengan pendapat dan kemahuan orang-orang Islam di Pulau Pinang, bertentangan dengan undang-undang dan peraturan-peraturan, bertentangan dengan Hukum Syarak dan bertentangan dengan kepentingan awam.
Plaintif-plaintif memohon perintah-perintah berikut:-
(a) satu pengisytiharan (sic) bahawa cadangan defendan untuk merobohkan masjid jamek Hj Abdul Wahab adalah bercanggah dengan undang-undang dan hukum syarak. (b) satu pengisytiharan (sic) bahawa di bawah wakaf am (kemudian dipinda kepada "khas") pihak defendan tidak mempunyai hak untuk merobohkan masjid tersebut semata-mata kerana tujuan perobohan tersebut adalah bercanggah dengan hukum syarak. (c) satu pengisytiharan (sic) bahawa defendan tidak layak untuk merobohkan masjid tersebut tanpa mendapat restu dan keizinan daripada waris-waris dan umat Islam Pulau Pinang (benefisiari) termasuk plaintif. (d) satu injunksi untuk mencegah defendan atau ejen-ejennya daripada merobohkan masjid tersebut dan memberhentikan daripada melakukan segala penyediaan awal untuk merobohkan masjid berkenaan seperti ujian-ujian tanah dan sebagainya. (e) ganti-rugi (f) kos (g) lain-lain perintah yang difikirkan adil dan setimpal oleh Mahkamah yang mulia.
Pembelaan defendan
Mengikut pernyataan pembelaannya, defendan menafikan bahawa plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat tanah wakaf itu.
Defendan mengatakan bahawa ia adalah tuan punya dan mempunyai hak milik ke atas tanah berkenaan.
Defendan seterusnya mengatakan bahawa satu daripada tanah tersebut, iaitu pegangan 318 di mana terletaknya masjid itu dahulunya dipegang oleh pemegang-pemegang amanah iaitu Hadji Abdul Wahab bin Oosman, Tunku Abbass Bin Tunku Hadji Kasim, Hadji Zakariah Bin Shaik Osman dan Shaik Mohamed Sahib Bin Kader Mydin mengikut "Suratikatan Penyelesaian" (Deed of Settlement) No 129/63 bertarikh 26 September 1900. (Saya gunakan istilah "Suratikatan Penyelesaian" bagi "Deed of Settlement" dan tidak "Surat Ikatan Kemendapan" seperti yang digunakan oleh defendan kerana istilah yang digunakan oleh defendan itu nyata tidak betul). Defendan seterusnya mengatakan bahawa mengikut Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam No 3 Tahun 1959 (selepas ini disebut Enakmen No 3/1959). Masjid itu dan tanah yang di atasnya terletak masjid itu terletakhak pada Majlis
Perintah perletakanhak itu telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam Notis Usul No 24-912-1989 bertarikh 1 Disember 1989.
Defendan mengakui bahawa plaintif kedua adalah AJK masjid itu.
Mengikut defendan lagi, defendan telah membuat keputusan untuk merobohkan masjid itu dan membina di atas tanah itu satu bangunan lima tingkat, tingkat pertama hingga ketiga akan digunakan sebagai pejabat bank manakala tingkat empat dan lima sebagai masjid.
Defendan menafikan bahawa cadangan tersebut bertentangan dengan tujuan sebenar wakaf itu dan terma-terma dan syarat-syarat amanah itu.
Defendan juga mengatakan bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai " locus standi", bahawa defendan tidak perlu mend