PENGHAKIMAN
Yaacob Md Sam H:
Pengenalan:
[1] Plaintif-plaintif melalui writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 17 Februari 2012 membawa tindakan saman fitnah ini terhadap defendan-defendan bagi mendapatkan perintah-perintah berikut:
(a) gantirugi am;
(b) gantirugi teladan (exemplary damages);
(c) gantirugi teruk (aggravated damage);
(d) satu perintah injunksi menghalang defendan samada dengan sendiri, melalui agen dan/atau pengkhidmat-pengkhidmat beliau dalam apa cara sekalipun daripada terus menerbitkan dan/atau mengakibatkan penerbitan perkataan-perkataan fitnah tersebut dan tohmahan lisan tersebut atau apa-apa tohmahan dan perkataan yang sama atau berkaitan yang memfitnah plaintif-plaintif;
(e) faedah pada kadar lapan peratus (8%) setahun ke atas jumlah penghakiman daripada tarikh penerbitan perkataan-perkataan fitnah tersebut dan tohmahan lisan tersebut sehingga tarikh penjelasan penuh ataupun apa-apa kadar dan jangka waktu yang difikirkan munasabah oleh mahkamah ini;
(f) kos; dan
(g) lain-lain relif dan/atau relif tambahan yang mahkamah fikirkan wajar dan adil untuk diberikan.
Perbicaraan Kes
[2] Perbicaraan penuh kes ini telah dijalankan. Plaintif-plaintif memanggil dua saksi, iaitu Dato' Haji Zainal Abidin bin Sakom (SP1) yang juga merupakan plaintif ketiga. Saksi kedua plaintif ialah Norashikin binti Samsi (SP2) iaitu bekas wartawan akhbar Suara Keadilan. Pernyataan saksi SP1 semasa pemeriksaan utama ditandakan sebagai "SP1-WS". Saksi SP2 adalah saksi sepina.
[3] Defendan-defendan memanggil empat orang saksi, iaitu Lailatun binti Abdul Hamid (SD1) yang merupakan Ketua Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ahmad Sazali bin Sulamat (SD2) iaitu Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor, Haji Yaakob bin Sapari (SD3) iaitu defendan kedua yang merupakan Ahli Dewan Undang Negeri Selangor bagi Kota Anggerik. Defendan kedua juga merupakan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) merangkap bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Kerajaan Negeri Selangor. Saksi keempat defendan-defendan pula ialah Tan Sri Dato' Seri Abd Khalid bin Ibrahim (SD4) merupakan Menteri Besar Selangor. SD4 adalah merupakan defendan kedua. Pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama bagi saksi SD1, SD3 dan SD4 masing-masingnya ditandakan sebagai "DW-SD1", "DW-SD3" dan "DW-SD4". SD2 adalah saksi sepina.
Plaintif-Plaintif Dan Syarikat Berkaitan
[4] Plaintif pertama ("YBK") adalah merupakan sebuah perbadanan amanah yang didaftarkan menurut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 yang mempunyai alamat pendaftaran di No 32 & 34, Jalan SS7/24, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
[5] Plaintif kedua ("PYBK") adalah merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat (Pendaftaran No: 274548- D) dan alamat berdaftar di 17-4-1, Jalan 3/50, Diamond Square Commercial Centre, Off Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Setakat tarikh 18 Ogos 2010, pemegang-pemegang saham dalam defendan kedua ialah, (i) Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd sebanyak 12,500 saham, (ii) Yayasan Basmi Kemiskinan (plaintif pertama) sebanyak 6,250 saham, dan (iii) Fajar Synergy Sdn Bhd sebanyak 6,250 saham ("D2" ms 58-63 Ikatan D1).
[6] Plaintif ketiga adalah seorang individu yang juga merupakan pemegang amanah dalam defendan pertama serta juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah dalam syarikat defendan kedua. Defendan kedua mempunyai tiga orang ahli lembaga pengarah ("D2").
[7] Setakat tarikh 18 Ogos 2010, pemegang saham dalam Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd ialah, (i) Yayasan Basmi Kemiskinan sebanyak 299,998 saham, (ii) plaintif ketiga sebanyak satu saham, dan (iii) Zulhairy bin Jamaluddin sebanyak satu saham ("P9" ms 73 Ikatan D1). Plaintif ketiga juga merupakan ahli lembaga pengarah dalam Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd yang mempunyai dua ahli lembaga pengarah ("D3" ms 72 Ikatan D1).
Latar Belakang Kes
[8] Pada 26 Mac 1990, Yayasan B