PENGHAKIMAN
Pengenalan
[1] Defendan pertama telah didapati bertanggungan berikutan kenyataan yang dibuat oleh defendan pertama yang memfitnah plaintif, sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Syria Care. Kenyataan fitnah tersebut ringkasnya menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan Syiah bersembunyi di belakang pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan dan menamakan pertubuhan seperti Syria Care salah satu daripadanya.
[2] Berikutan itu plaintif telah mengemukakan permohonan taksiran ganti rugi dan perbicaraan melalui afidavit. Plaintif memohon sejumlah ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas.
[3] Di dalam afidavit sokongan, plaintif telah menyatakan di antaranya seperti berikut:
3.1 Syria Care merupakan sebuah pertubuhan berdaftar dan mengutip dana untuk membantu rakyat Syria yang menjadi mangsa peperangan di negara tersebut dan telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM17,000,000.00.
3.2 Plaintif bekerjasama erat dengan agensi-agensi Kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri sendiri dan dikenali umum serta mempunyai reputasi yang baik serta dipercayai dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia serta sektor korporat.
3.3 Ia mempunyai rangkaian kebajikan antarabangsa dengan pertubuhan seumpamanya di Turki dan Syria yang telah disaring oleh pihak berkuasa dan disahkan tiada melibatkan unsur keganasan.
3.4 Kenyataan yang dibuat oleh defendn pertama telah tersebar dengan meluas melalui berita dalam talian milik defendan kedua serta aplikasi media sosial seperti Twitter dan portal berita antarabangsa seperti AsiaOne.
3.5 Kenyataan tersebut hanya dipadamkan setelah berada dalam talian pada hari perbicaraan bermula.
3.6 Defendan pertama tidak meminta maaf dan memberi penjelasan mengenai kenyataannya. Sebagai seorang yang bertugas di Kementerian Dalam Negeri dan juga Presiden sebuah pertubuhan iaitu Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta seorang penceramah bebas, defendan pertama mempunyai pengaruh yang besar dan ini memberi kesan negatif yang besar kepada plaintif.
3.7 Reputasi plaintif terjejas akibat kenyataan defendan pertama.
[4] Defendan pertama dalam afidavit balasannya di antara lain menyatakan seperti berikut:
4.1 Tiada bukti yang kukuh bagi menyokong plaintif sebuah pertubuhan yang dikenali umum dan mempunyai reputasi yang baik dan kenyataannya telah memberi kesan yang buruk kepada plaintif.
4.2 Tiada bukti yang jelas akan kerugian dan/atau kerosakan yang dialami oleh plaintif bersabit dengan kenyataannya.
Hujah Plaintif
[5] Peguam terpelajar bagi pihak plaintif berhujah bahawa mahkamah dalam menentukan jumlah ganti rugi bagi kes fitnah hendaklah mempertimbangkan faktor-faktor yang telah disenaraikan di dalam kes di ms 515; [2015] 10 CLJ 889 seperti berikut:
"In determining quantum of damages the following factors are taken into consideration:
(i) the conduct of the plaintiff;
(ii) the plaintiff's position and standing in society;
(iii) the nature of the libel;
(iv) mode and extent of publication;
(v) the absence or refusal of retraction or apology;
(vi) the whole conduct of the defendant from the time the libel was published down to the very moment of the verdict.".
[6] Mengikut peguam yang terpelajar bagi pihak plaintif usaha telah dilakukan oleh plaintif dalam menuntut defendan pertama memohon maaf dan menarik balik kenyataannya dan masa yang munasabah telah diberikan sebelum saman difailkan namun defendan pertama tidak mengambil apa-apa tindakan malah juga tidak membuat sebarang penafian.
[7] Peguam terpelajar menghujahkan bahawa mahkamah perlu mempertimbangkan latar belakang plaintif di mata masyarakat di mana plaintif diiktiraf oleh pelbagai pihak dan tindakannya diperhati dan diteliti oleh masyarakat awam. Rujukan dibuat kepada kes .
[8] Beliau berhujah lanjut bahawa Syiah adalah satu fahaman yang diharamkan di Malaysia dan dengan mengaitkan plaintif dengan fahaman Syiah dan perlu dipantau telah menjejaskan dan memprejudiskan reputasi plaintif. Peguam terpelajar juga berhujah bahawa secara tidak langsung plaintif menyo