ALASAN PENGHAKIMAN
[1] Pada tarikh sebutan pada 29 Ogos 2017, Pegawai Pendakwa telah mengemukakan tiga pertuduhan terhadap Tertuduh seperti berikut:-
Pertuduhan Pertama:-
"Bahawa kamu pada 17 Mei 2016 jam L/Kurang 11.34 pagi bertempat di alamat Zakwan Motor No 1 Taman Sri Gading Tanjung Agas di daerah Tangkak dalam negeri Johor, dengan curangnya telah memiliki harta curi iaitu wang berjumlah RM500 kepunyaan Mohamad Aziz Bin Mat KPT: 610607-71-5423 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank kamu No: 1123 4421 9466 dengan pengetahuan untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi dan kamu dengan ini telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah
s 411 Kanun Keseksaan .Hukuman: Penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya."
Pertuduhan Kedua:-
"Bahawa kamu pada 17 Mei 2016 jam L/Kurang 11.52 pagi bertempat di alamat Zakwan Motor No 1 Taman Sri Gading Tanjung Agas di daerah Tangkak dalam negeri Johor, dengan curangnya telah memiliki harta curi iaitu wang berjumlah RM1500 kepunyaan Mohamad Aziz Bin Mat KPT: 610607-71-5423 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank kamu No: 1123 4421 9466 dengan pengetahuan untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi dan kamu dengan ini telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah
s 411 Kanun Keseksaan .Hukuman: Penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya."
Pertuduhan Ketiga:-
"Bahawa kamu pada 18 Mei 2016 jam L/Kurang 10.00 pagi bertempat di alamat Zakwan Motor No 1 Taman Sri Gading Tanjung Agas di daerah Tangkak dalam negeri Johor, dengan curangnya telah memiliki harta curi iaitu wang berjumlah RM4000 kepunyaan Mohamad Aziz Bin Mat KPT: 610607-71-5423 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank kamu No: 1123 4421 9466 dengan pengetahuan untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi dan kamu dengan ini telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah
s 411 Kanun Keseksaan .Hukuman: Penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya."
[2] Pertuduhan-pertuduhan tersebut dibacakan kepada Tertuduh dan diterangkan kepada Tertuduh. Tertuduh telah mengaku salah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut. Mahkamah telah berpuas hati bahawa Tertuduh memahami sifat dan akibat pengakuan salah, terutamanya mengenai hukuman yang bakal dikenakan sebagaimana yang dinyatakan di bawah undang-undang.
[3] Seterusnya, fakta kes dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan ditandakan sebagai eksibit P2. Setelah dibacakan dan diterangkan kepada Tertuduh, beliau mengakui fakta kes tersebut. Fakta kes sebagaimana yang dikemukakan dan diakui benar oleh Tertuduh adalah secara ringkasnya seperti berikut:-
"Pada 17 Mei 2016, pengadu telah melayari laman mudah.my dan berminat membeli sebuah kereta Produa Myvi yang diiklankan oleh seorang lelaki cina yang berharga RM16,000.00. Kemudian, pengadu telah berurusan dengan penjual kereta tersebut melalui aplikasi whatsapp. Penjual kereta meminta pengadu memasukkan bayaran tempahan sebanyak RM6,000.00 ke dalam akaun Maybank bernombor 1123 4421 9466. Pengadu telah membuat tiga kali bayaran ke dalam akaun tersebut berjumlah keseluruhan RM6,000.00, iaitu masing-masing pada 17 Mei 2016 jam 11.34 pagi berjumlah RM500, pada 17 Mei 2016 jam 11.52 pagi berjumlah RM1500 dan pada 18.5.16 jam 10 pagi berjumlah RM4000. Namun sehingga kini, penjual kereta tersebut gagal dihubungi dan kereta tersebut masih belum diterima oleh Pengadu.
Hasil siasatan mendapati Tertuduh sebagai pemilik akaun Maybank bernombor 1123 4421 9466 telah menerima kemasukan wang tersebut dan mempunyai pengetahuan kemasukan wang tersebut bukan untuk kegunaan peribadinya. Siasatan pihak polis juga mendapati Tertuduh telah menyerahkan akaun miliknya kepada pihak lain bagi tujuan penipuan. Tertuduh menerima wang dengan curangnya ke dalam akaun peribadi miliknya dan dengan demikian, telah melakukan kesalahan di bawah
s 411 Kanun Kesek

