PENGHAKIMAN
[1] Tertuduh-tertuduh dalam kes ini dituduh di Mahkamah ini pada 8 Julai 2019 di atas satu pertuduhan di bawah s 323 Kanun Keseksaan seperti berikut:-
PERTUDUHAN:-
"Bahawa kamu bersama-sama pada 23 Januari 2018 jam lebih kurang 2.00 petang di rumah beralamat No.4, Jalan Ria 5, Taman Ria, Sri Lalang, Kluang dalam Daerah Kluang, dalam Negeri Johor dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Abdull Mutalib Bin Rohani KPT: xxxxxx-xx-xxxx dan dengan itu, kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah
s 323 Kanun Keseksaan dibaca bersamas 34 Kanun Keseksaan Hukuman: Penjara yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000.00 atau dengan kedua-duanya"
[2] Pertuduhan tersebut telah dibacakan kepada Tertuduh-tertuduh dan diterangkan kepada Tertuduh-tertuduh pada 14 Julai 2020. Tertuduh-tertuduh telah mengaku bersalah terhadap Pertuduhan tersebut. Mahkamah telah berpuas hati bahawa Tertuduh memahami sifat dan akibat pengakuan salah, terutamanya mengenai hukuman yang bakal dikenakan sebagaimana dinyatakan di bawah undang-undang.
[3] Seterusnya, fakta kes dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan ditandakan sebagai eksibit P1. Setelah dibacakan dan diterangkan kepada Tertuduh-tertuduh, mereka mengakui fakta kes tersebut. Fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah seperti berikut:-
"Pada 23 Januari 2018 jam lebih kurang 1.00 petang, berlaku perselisihan faham antara Pengadu dengan Ibu kamu, kejadian berlaku di persimpangan berhampiran Taman Ria, Sri Lalang, Kluang.
Pada tarikh yang sama jam 2.00 petang, kamu bersama Ibu kamu telah pergi ke rumah pengadu [di] No.4, Jalan Ria 5, Taman Ria, Sri Lalang, Kluang di mana kamu berdua telah mencederakan pengadu dengan menumbuk pengadu berkali-kali. Pengadu telah cuba menahan tumbukan kamu berdua dengan tangan. Pengadu telah mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom. Hasil pemeriksaan, pengadu telah mengalami kecederaan di tangan.
Hasil siasatan pihak polis mendapati kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah
s 323 Kanun Keseksaan dibaca bersamas 34 Kanun Keseksaan "
[4] Tertuduh-tertuduh juga telah mengakui benar kesemua eksibit-eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan (Eks. P2-P6). Mahkamah berpuas hati bahawa Tertuduh-tertuduh mengaku bersalah dan telah memahami sepenuhnya sifat dan akibat pengakuan, maka pengakuan salah Tertuduh-tertuduh diterima dan Tertuduh-tertuduh didapati bersalah atas satu kesalahan di bawah
[5] Dalam rayuan mitigasi melalui peguambela Tertuduh-tertuduh, Tertuduh Pertama berhujah bahawa ia berusia 22 tahun 4 bulan semasa kejadian berlaku pada 23 Januari 2018. Tertuduh Pertama berkelulusan SPM. Manakala, Tertuduh Kedua berusia 20 tahun 1 bulan semasa kejadian dan ia berkelulusan Diploma. Bagi kedua-dua Tertuduh, peguambela berhujah bahawa mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Peguambela berhujah bahawa pengakuan salah Tertuduh-tertuduh telah menjimatkan masa dan kos kesemua pihak. Peguambela juga berhujah bahawa kedua-dua Tertuduh telah memberi kerjasama yang baik dengan menghadiri Mahkamah selama 12 kali sebelum dijatuhkan hukuman. Maka, peguambela berhujah bahawa Tertuduh-tertuduh telah insaf dan akan cuba melakukan sesuatu untuk membaiki tabiat mereka. Maka, Peguambela memohon kepada Mahkamah supaya kedua-dua Tertuduh diberikan peluang untuk mengubah diri kedua-dua Tertuduh.
[6] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhujah bahawa hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua Tertuduh mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan Tertuduh-tertuduh. TPR berhujah bahawa pengakuan salah Tertuduh bukan faktor utama dalam menjatuhkan hukuman. TPR berhujah bahawa Tertuduh-tertuduh telah mengambil masa sehingga 12 sebutan sebelum mengaku salah. TPR juga berhujah bahawa kesalahan adalah di bawah