PENGHAKIMAN
[1] Dalam kes ini pihak responden telah membuat satu permohonan ex parte hak jagaan anak kepada Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada 3 Oktober 2006 dengan alasan-alasan seperti berikut:
1. Responden telah dinafikan haknya untuk bersama dan bermalam dengan 3 orang anaknya oleh pemohon tanpa sebarang alasan yang munasabah dari Hukum Syarak. Semasa membuat permohonan, responden telah dinafikan haknya hampir sebulan untuk bersama dan bermalam dengan 3 orang anak tersebut.
2. Pihak responden telah mengemukakan 2 laporan doktor mengenai kecederaan 2 orang anak tersebut.
3. Permohonan hak jagaan ex parte ini dibuat di atas prinsip bahawa responden sebagai ibu kandung yang amat risau terhadap kebajikan dan keselamatan ketiga-tiga anak tersebut dan hak untuk bersama dengan 3 orang anak dinafikan oleh pemohon tanpa alasan yang munasabah dari segi Hukum Syarak.
[2] Di atas alasan-alasan yang diberikan, maka hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah mengeluarkan perintah sementara hak hadhanah diberikan kepada responden (ibu) dan bapa diberikan hak lawatan yang munasabah.
[3] Di atas keputusan ex parte tersebut, maka pihak pemohon telah membuat permohonan untuk mengenepikan perintah ex parte tersebut dengan memberikan tiga alasan iaitu seperti berikut:
1. Responden telah menyalahgunakan proses mahkamah untuk mendapatkan perintah ex parte tersebut dengan mengemukakan alasan-alasan yang tidak benar dan tidak berlandaskan bukti-bukti kukuh bagi menyokong permohonan mendapatkan perintah tersebut.
a) Responden telah menyalahgunakan proses mahkamah dan tidak mengikut Arahan Amalan No 11 Tahun 2003 dengan tidak menyerahkan salinan permohonan dan perakuan segera kepada pemohon.
b) Responden juga adalah seorang yang tidak jujur dan telah memasukkan pengataan-pengataan yang tidak benar di dalam afidavitnya untuk mendapatkan perintah ex parte tersebut.
c) Malah, responden cuba mengelirukan mahkamah yang mulia ini dengan menggunakan alasan-alasan yang tidak kukuh serta tidak berunsur keterdesakan dan keperluan bagi responden mendapatkan perintah ex parte tersebut.
d) Responden hanya beralasan bahawa hak lawatan dan bersama-sama anak-anak tersebut telah dinafikan oleh pemohon semata-mata bagi mendapatkan perintah ex parte tersebut sedangkan tiada unsur keterdesakan dan keperluan yang munasabah yang dikemukakan oleh responden.
e) Kewujudan unsur keterdesakan di dalam sesuatu permohonan ex parte dapat dilihat di dalam kes ; JH JLD13 BHG1 47 yang mana anak-anak adalah kemungkinan besar akan dibawa keluar dari Malaysia oleh defendan berdasarkan bukti-bukti yang kukuh.
f) Responden telah melakukan helah bagi mengelirukan mahkamah dengan menyatakan bahawa pemohon telah berniat untuk menghalang responden daripada melawat dan berhubung dengan anak-anak tersebut. Namun begitu, responden tidak mempunyai sandaran dan bukti-bukti yang kukuh bagi menunjukkan bahawa responden telah dihalang oleh pemohon untuk berjumpa dan melawat anak-anak tersebut.
g) Sebaliknya, pemohon telah menegaskan bahawa beliau sentiasa memastikan responden mendapatkan hak lawatan dan bersama anak-anak tersebut setiap dua minggu sekali. Walau bagaimanapun, pemohon terpaksa untuk tidak membenarkan responden berjumpa anak-anak tersebut bermula pada pertengahan bulan Ogos 2006 demi ke maslahatan anak-anak tersebut memandangkan responden adalah seorang yang berkelakuan buruk dan telah mendatangkan kecederaan yang teruk terhadap anak-anak tersebut.
h) Pemohon telah mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa responden sering memukul anak-anak tersebut sehingga mendatangkan kemudaratan dan kecederaan terhadap tubuh badan anak-anak tersebut. (rujuk eks "BHM7", BHM8", BHM9 dan "BHM12". Afidavit pemohon tersebut). Secara alternatifnya, responden telah gagal menjaga kebajikan dan menganiaya anak-anak tersebut.
i) Pemohon juga telah mengemukakan bukti yang jelas bahawa anak-anak tersebut enggan tinggal bersama responden disebabkan sikap panas baran responden dan pernah memukul se