2020 MarsdenLR 852
MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM
LISA CHRISTINA BALAN LWN. PENDAKWA RAYA
[Semakan Jenayah No: BA-43-10-04/2020]
Hukuman penjara terhadap pesalah pertama dalam kes pelanggaran peraturan kawalan pergerakan adalah berlebihan dan harus digantikan dengan denda, mencerminkan keadilan dan kesetaraan.
Headnote:(A) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 – Peraturan 6(1) dan Peraturan 11(1) – Mahkamah Tinggi mengkaji semula sabitan dan hukuman penjara 30 hari yang dijatuhi kepada tertuduh bagi kesalahan berhimpun dalam kawasan terkawal. (Paras 1, 2, 41)
(B)
Kesalahan yang dilakukan bukanlah kesalahan keganasan; tertuduh merupakan pesalah pertama dan perlu diberi peluang untuk memperbaiki diri, bukan hukuman penjara yang berlebihan. (Paras 20, 23, 28)
(C)
Keputusan menunjukkan ketidaksamarataan dalam hukuman di mana terdapat pesalah yang lain diberikan denda, sehingga melanggar prinsip hak sama rata di bawah Perlembagaan. (Paras 34, 41)
(D)
Mahkamah membenarkan semakan dan mengenepikan hukuman penjara, menggantikannya dengan denda RM1000.00. (Paras 42)
A. Pendahuluan
[1] Tertuduh/Pemohon telah dituduh bersama dengan tiga orang lagi dihadapan Mahkamah Majistret Jenayah 5 Petaling Jaya dengan satu pertuduhan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan yang sama dan di baca bersama s 34 Kanun Keseksaan .
[2] Tertuduh/Pemohon telah pun disabitkan atas pertuduhan tersebut selepas mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari dari tarikh sabitan iaitu pada 21 April 2020.
[3] Pertuduhan adalah seperti berikut:
'Bahawa kamu bersama-sama pada 12 April 2020 jam lebih kurang 4.45 petang di Kawasan Tangga, Taman Permainan, Jalan SM 1, Taman Subang Mas, Subang Jaya dalam daerah Petaling Jaya di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati berhimpun dalam kawasan tempat berjangkit yang telah diwartakan yang mana kamu telah gagal memberikan keterangan yang memuaskan tujuan kamu berada di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, kamu telah lakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- langkah di di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan yang sama dan dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan .
B. Fakta Kes
[4] Tangkapan terhadap Tertuduh/Pemohon telah dilakukan pada 12 April 2020, jam lebih kurang 4.45 petang di mana Pengadu bersama sepasukan polis telah menjalankan tugas khas Op Covid-19 di kawasan taman permainan, Jalan SM 1, Taman Subang Mas, Subang Jaya, Selangor dan menahan tiga lelaki Indonesia dan seorang perempuan India iaitu Tertuduh/Pemohon yang sedang berkumpul dan melepak di tangga taman permainan tersebut.
[5] Pengadu telah memperkenalkan diri sebagai Pegawai Polis dengan menunjukkan kad kuasa dan menerangkan tujuan pemeriksaan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa dari tarikh 18 Mac 2020 sehingga 28 April 2020. Kesemua suspek gagal untuk memberikan alasan yang munasabah bagi pergerakan mereka dan juga menunjukkan dokumen diri yang sah.
[6] Pengadu telah membawa balik kesemua suspek ke Balai Polis untuk tindakan lanjut. Hasil siasatan Tertuduh/Pemohon tidak tertakluk kepada mana-mana pengecualian yang dinyatakan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan gagal menunjukkan keterangan sahih yang munasabah.
[7] Tertuduh/Pemohon telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan telah dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan yang sama dan dibaca bersama s 34 Kanun Keseksaan .
[8] Tertuduh/Pemohon telah disabitkan di atas pertuduhan tersebut selepas dia mengaku bersalah (pleaded guilty) dan dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari dari tarikh sabitan iaitu pada 21 April 2020.
[9] Seterusnya Tertuduh/Pemohon merujuk perkara ini untuk semakan ke Mahkamah Tinggi memandangkan pada pendapatnya Majistret telah terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman penjara selama 30 hari dari tarikh sabitan dan hukuman ini adalah terlalu tinggi (manifestly excessive) dan tidak mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan atau trend hukuman bagi kes-kes yang serupa dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas Tertuduh/Pemohon.
C. Bidang Kuasa Mahkamah
[10] Kuasa Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan Hakim Mahkamah Rendah tertakluk kepada peruntukan s 31 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan juga Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah iaitu ss 323, 325 dan 327.
[11]Seksyen 31 Akta Kehakiman memperuntukkan:
'Revision of criminal proceedings of Subordinate Courts-
31. The High Court may excercise powers of revision in respect of criminal proceedings and matters in Subordinate Courts in accordance with any law for the time being in force relatin