2008 MarsdenLR 703
MAHKAMAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA
ASEAN SECURITY PAPER MILLS SDN BHD LWN. MITSUI SUMITOMO INSURANCE (MALAYSIA) BHD
[Rayuan Sivil No: 02-17-2006 (A)]
Nik Hashim HMP
Latar Belakang
[1] Pada 2 Februari 2007, mahkamah ini telah membenarkan rayuan perayu dengan kos, dan mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan responden dan perintah keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan semula.
[2] Berikutan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, pihak responden telah memfailkan satu notis usul untuk mahkamah ini mengkaji semula keputusan tersebut. Notis usul ini masih belum dilupuskan lagi.
[3] Fakta kes dan alasan penghakiman mahkamah ini jelas sebagaimana dilaporkan menerusi [2007] 1 MLRA 12, [2007] 2 MLJ 301. Oleh itu, kami mengadaptasi dan mengguna pakai fakta kes tersebut tanpa perlu mengulanginya di sini.
Permohonan Penggantungan Pelaksanaan
[4] Menerusi notis usul kandungan 40(a), pihak responden memohon untuk mendapatkan perintah-perintah seperti berikut:
(a) bahawa pelaksanaan dan/atau penguatkuasaan Perintah Mahkamah yang mulia ini bertarikh 2 Februari 2007 dan khususnya bahagian Perintah tersebut yang mengembalikan semula Penghakiman Mahkamah Tinggi Ipoh Guaman Sivil No. 22-211-1990 bertarikh 12 Mei 2000 digantung sementara menunggu penyelesaian penuh dan muktamad permohonan responden yang difailkan di sini pada 16 Februari 2007;
(b) bahawa kos bagi permohonan ini menjadi kos dalam permohonan;
(c) relif lanjut sedemikian atau relif lain yang dianggap sesuai dan wajar oleh mahkamah yang mulia ini.
Alasan Permohonan
[5] Sebagaimana yang dinyatakan menerusi afidavit sokongan dan hujahan pihak responden, di antara alasan yang mendasari permohonan penggantungan pelaksanaan perintah Mahkamah Persekutuan ini adalah:
(a) bahawa pihak pemohon telah memfailkan satu notis usul untuk kajian semula keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 2 Februari 2007;
(b) bahawa menerusi Perintah mahkamah bertarikh 5 November 1992, pihak perayu telah diperintahkan untuk digulung;
(c) bahawa satu-satunya aset perayu adalah insurans kontingen sebanyak RM32,000,000, manakala jumlah yang kena dibayar kepada pemiutang-pemiutang perayu berjumlah RM3,651,931. Malahan modal berbayar perayu yang berjumlah RM58,400,003 telah hilang sepenuhnya dan tidak diambilkira;
(d) bahawa responden adalah sebuah syarikat insurans berlesen, di bawah peraturan dan penyeliaan Bank Negara dengan aset-aset dan simpanan berjumlah RM1,129.4 juta dan RM352.7 juta masing-masingnya dan tiada kesukaran dalam memenuhi penghakiman tersebut;
(e) bahawa sekiranya penghakiman tersebut diselesaikan dan permohonan untuk semakan semula responden berjaya, maka tiada prospek untuk mendapatkannya semula dari perayu atau penyelesainya.
Keputusan
[6] Undang-undang yang terpakai mengenai pemberian atau penolakan penggantungan pelaksanaan adalah jelas menunjukkan beban pembuktian wujudnya keadaan khas untuk menjustifikasikan pemberian penggantungan pelaksanaan terletak ke atas pemohon. Alasan-alasan itu hendaklah berkait kepada pelaksanaan penghakiman itu. Ia mesti dideposkan di dalam afidavit sokongan permohonan. Namun begitu, merit-merit kes pihak di dalam permohonan penggantungan bukan perkara yang relevan untuk dipertimbangkan. (Sila lihat Kosma Palm Oil Mill Sdn Bhd & Ors v. Koperasi Serbausaha Makmur Bhd, [2004] 1 MLJ 257).
[7] Namun demikian, rujukan keputusan kes-kes yang dibuat di dalam kes Kosma bagi menjustifikasikan pemakaian pendekatan keadaan khas di dalam permohonan penggantungan pelaksanaan adalah terjurus kepada permohonan penggantungan pelaksanaan sementara menunggu rayuan oleh pihak-pihak.
[8] Oleh itu, persoalan yang timbul adalah:
(a) Apakah ujian yang sama boleh diguna pakai di dalam permohonan penggantungan pelaksanaan perintahnya sementara menunggu pelupusan permohonan untuk kajian semula di bawah k. 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 (KKMP) ?
(b) Sekiranya pendekatan kewujudan keadaan khas sebagaimana kelaziman permohonan seumpamanya terpakai, adakah alasan-alasan yang dinyatakan di atas tergolong di dalam kategori keadaan khas yang mewajarkan permohonan ini?
[9] Peguam responden bagi permohonan ini m